Diterbitkan pada 16 September 2025, 12:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Selepas menyambut Hari Kebangsaan, satu lagi titik penting dalam sejarah negara pastinya Hari Malaysia yang disambut pada tanggal 16 September setiap tahun.

Seperti sudah menjadi budaya dalam media sosial seperti TikTok, Instagram mahupun Facebook, video pendek yang mengimbas kembali Hari Malaysia termasuklah dengan meletakkan tanda pagar lambang semangat patriotisme atau foto bersifat nasionalisme yang berkaitan dilihat memenuhi ruang dalam alam maya.

‎Pendekatan itu diekspresikan oleh golongan muda yang rata-ratanya terdiri daripada generasi Z. Tingkah laku tersebut seolah-olah menunjukkan bahawa mereka mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi terhadap negara. Persoalannya, sejauh manakah nilai patriotisme yang ada dalam diri mereka?

Berdasarkan rekod, jumlah keseluruhan pengguna media sosial di Malaysia mencecah 25.1 juta. Pengguna TikTok kini berjumlah 19.3 juta orang dengan separuh daripadanya merupakan golongan generasi Z (lingkungan umur 13 hingga 24 tahun). Instagram juga tidak kurang popular apabila sebanyak 31.5 peratus pengguna melibatkan generasi Z. Facebook pula tidak lagi menjadi pilihan utama mereka.

Di sebalik kemeriahan teknologi digital, agak membimbangkan kita apabila rata-rata generasi Z dilihat tidak memahami makna sebenar Hari Malaysia. Mereka umpama melaungkan semangat patriotisme palsu, tanpa mengetahui intipati dan peri pentingnya rahsia di sebalik tarikh keramat itu.

Kebanyakan kandungan yang dimuat naik juga dilihat semata-mata mahu mengikut trend demi merancakkan entri media sosial masing-masing. Golongan berkenaan kelihatan taasub mengejar perhatian demi mendapatkan tanda suka dan kongsi tanpa menilai kandungan yang disebarkan. Sesetengahnya sengaja mencipta kontroversi dengan menyebarkan informasi berbaur fitnah sehingga ada yang celaru tentang matlamat sebenar mereka meraikan Hari Malaysia. Mereka dilihat mengutamakan kepuasan serta-merta dengan mengutamakan manfaat jangka pendek berbanding dengan ganjaran jangka panjang. Budaya yang semakin menjadi-jadi itu berupaya mengikis sedikit demi sedikit nilai patriotisme yang lazimnya memerlukan komitmen jangka panjang, pengorbanan serta dedikasi tinggi.

Yang berikut memperlihatkan beberapa sisi negatif lain segelintir sikap generasi Z dalam menyambut Hari Malaysia, iaitu:

  1. Menganggap Hari Malaysia sekadar satu perayaan dan cuti yang wajib dipenuhi tanpa nilai patriotik, apatah lagi menghayati semangat perpaduan dan tanggungjawab terhadap negara.
  2. Memilih melakukan aktiviti yang menyeronokkan sahaja. Program serius seperti perbincangan mengenai sejarah negara diabaikan kerana dianggap membosankan.
  3. Membabitkan diri dalam program sempena sambutan Hari Malaysia, tetapi dengan niat hanya mahu mendapatkan hadiah dan keseronokan sahaja.
  4. Berdiri menyanyikan lagu Negaraku hanya memenuhi syarat tanpa memahami tujuan sebenar.
  5. Turut sama mengibarkan Jalur Gemilang, namun tiada penghayatan yang telus dan tulus.

‎Sesetengah daripada mereka masih khilaf mengenai perbezaan antara sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. Sebagai contoh, sekiranya disoal tentang peranan yang dimainkan oleh tokoh terkemuka seperti Donald Stephens, Fuad Stephens atau Temenggong Jugah anak Barieng dalam pembentukan Malaysia, masih ada yang terpinga-pinga.

Kekeliruan yang melanda mereka itu menjadi kebimbangan besar buat negara. Definisi mengenai kedua-dua peristiwa tersebut merupakan nilai fundamental yang mudah dihadamkan, tetapi dipinggirkan. Secara asasnya, Hari Kebangsaan yang diraikan pada setiap 31 Ogos disambut untuk memperingati kemerdekaan Tanah Melayu yang bebas daripada penjajahan British pada tahun 1957 dengan melibatkan Semenanjung Malaysia sahaja dengan pelibatan 11 buah negeri.

Sementara itu, Hari Malaysia pula disambut bersempena dengan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 dengan penyatuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura (Singapura keluar pada tahun 1965) sebagai sebuah negara yang lengkap seperti hari ini. Momen ini disifatkan sebagai bersejarah kerana menyatukan wilayah di Borneo dengan Semenanjung.

Apabila anak muda masih kurang arif mengenai perbezaan kedua-dua peristiwa penting tersebut, nescaya mereka tiada pengetahuan kukuh dalam menyaksikan Malaysia dibentuk. Kekeliruan tentang sejarah asal negara sendiri juga menunjukkan bahawa betapa dangkalnya diri sebahagian daripada anak muda yang tidak mengerti proses penyatuan negara yang sebenar, lebih-lebih lagi dalam menghayati takrif kemajmukan Malaysia yang merangkumi Semenanjung Malaysia dan Borneo.

Belum Terlambat

Perkara yang dizahirkan oleh generasi muda pada hari ini kebanyakannya mengikut gelombang algoritma dalam media sosial. Mereka menunjukkan rasa cinta akan negara hanya pada permukaan sahaja. Generasi Z juga mudah “termakan” dengan ledakan arus digital. Jika algoritma menunjukkan lebih banyak kandungan patriotisme, maka mereka akan ikut serta tanpa memahami konteks sebenar. Hal ini amat dikesali memandangkan senario sedemikian hanya bersifat sementara dan akan dilupakan kelak.

Generasi muda merupakan pewaris negara yang sepatutnya memaknai Hari Malaysia secara eksplisit dengan menerapkan beberapa elemen penting dalam diri. Yang paling penting, mereka perlu celik sejarah dengan mengetahui bahawa perjalanan untuk mendirikan sebuah negara ini tidak semudah seperti yang disangka. Cabaran yang terpaksa ditempuhi bukan calang-calang kerana Sabah dan Sarawak turut memiliki keunikan dari aspek budaya dan historiografinya.

Seperkara lagi, perpaduan yang kerap dilaungkan merupakan satu prinsip yang perlu dipraktikkan dan tidak sekadar omong kosong yang hanya menghiasi dada akhbar ataupun dalam media sosial. Mereka juga perlu mengetahui bahawa penggunaan tanda pagar atau imbas kembali (throwback) sememangnya tidak memadai, sebaliknya memerlukan tindakan dan usaha aktif yang bersungguh-sungguh.

‎Kita juga tidak mahu generasi Z atau Alpha pada masa akan datang hanya berpaut pada budaya patriotisme yang bersifat sekadar di permukaan, iaitu sekadar memuat naik gambar bendera dalam media sosial, namun sebaliknya mereka perlu memiliki nilai patriotisme dengan menunjukkan komitmen untuk membangunkan negara ini dengan lebih baik.

Hal ini bermaksud, golongan tersebut tidak boleh terus larut dengan kehebatan sejarah lampau, tetapi perlu memikirkan kaedah untuk membina Malaysia yang lebih hebat pada masa akan datang. Oleh hal yang demikian, masih belum terlambat lagi untuk generasi muda bertindak dalam melakukan perubahan terhadap negara.

Pada masa yang sama, negara memerlukan tenaga pengajar yang lebih aktif, dramatik, kreatif dan interaktif dalam menyebarluaskan ilmu tentang sejarah. Sudah tiba masanya, teknologi kecerdasan buatan (AI) dimanfaatkan sepenuhnya untuk menaikkan taraf kaedah pengajaran dan pembelajaran.

Media massa turut berperanan penting, iaitu bukan sahaja perlu menghidupkan sambutan Hari Malaysia, namun pihak media juga sewajarnya perlu membantu menyedarkan generasi muda yang tidak memahami nilai dan konteks sejarah di sebalik sambutan yang bersifat nasionalisme ini.

Kita perlu mengikis pandangan yang menyatakan bahawa Hari Malaysia atau Hari Kebangsaan merupakan satu sambutan rasmi semata-mata, tetapi memerlukan unjuran penting dalam memahami sejarah, politik, perpaduan etnik, bahasa dan nilai bersama.

Hari Malaysia merupakan satu jambatan transformasi yang bukan sekadar mengimbas kembali atau menonjolkan tanda pagar tahunan dan akan hilang selepas trending tersebut berakhir. Dalam konteks Hari Malaysia, penggunaannya perlu disertai dengan pemahaman dan komitmen yang benar-benar jitu.

‎Generasi muda merupakan pemimpin pada suatu hari kelak. Sekiranya mereka gagal mengetahui maksud di sebalik Hari Malaysia, bagaimanakah mereka boleh mempimpin negara ke arah landasan yang betul pada kemudian hari?

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi