Diterbitkan pada 16 September 2025, 11:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Penubuhan Persekutuan Malaysia telah membawa perubahan yang besar kepada negara-negara Asia Tenggara. Persekutuan ini menggabungkan beberapa bekas tanah jajahan British di bawah naungan pentadbiran yang sama. Idea ini telah diutarakan oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu Pertama, iaitu YTM Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj melalui penggabungan Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak, Sabah, Singapura dan Brunei.

Pembentukan Malaysia merupakan satu daripada cara kerajaan untuk mengekang ancaman komunis di Singapura dan di Sarawak. Selain itu, rancangan pembentukan ini juga dapat membangunkan wilayah di Sarawak dan Sabah terutamanya dalam usaha untuk meningkatkan taraf hidup kaum peribumi. British pula berpandangan bahawa cadangan ini dapat mewujudkan dasar dekolonisasi di negeri-negeri Borneo.

Sudah tentunya, idea tersebut menerima pelbagai reaksi, ada yang menyokong dan ada juga yang membantah. Pada awalnya, cadangan ini disambut baik oleh pemimpin-pemimpin di setiap negeri. Ramai yang menyokong pembentukan ini agar dapat memajukan negeri masing-masing. Namun begitu, Parti Rakyat Brunei di bawah pimpinan A. M. Azahari telah menolak rancangan tersebut kerana beliau merasakan bahawa gabungan ini merupakan taktik British dalam mengekalkan pengaruhnya di Asia Tenggara.

Persidangan Ahli-ahli Parlimen Komanwel yang telah berlangsung di Singapura pada 23 Julai 1961 telah sebulat suara bahawa kerajaan perlu menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi meyakinkan penduduk Sabah dan Sarawak berkenaan Pembentukan Malaysia dan juga mengumpulkan pandangan rakyat berkenaan dengan pembentukan ini. Oleh itu, Jawatankuasa Setia Kawan Malaysia (JSKM) dibentuk dan dipengerusikan oleh Donald Stephens.

Di samping itu, YTM Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj turut mengambil inisiatif untuk mengadakan lawatan ke Sarawak dan Brunei pada Julai 1961 dan lawatan ke Sarawak dan Sabah pada November 1962. Lawatan ini adalah untuk meninjau keadaan di kawasan tersebut serta bertemu dengan pemimpin-pemimpin tempatan.

Pada 16 Oktober 1961, usul Pembentukan Malaysia yang dibentang di Parlimen telah diluluskan dan juga mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat. Oleh hal yang demikian, pelbagai usaha murni telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi menjayakan pembentukan ini.

Bermula Januari 1962 hingga Jun 1962, Suruhanjaya Cobbold telah melawat 20 buah pusat lawatan di Sarawak dan 15 buah pusat lawatan di Sabah bagi meninjau persetujuan rakyat berkenaan denganpembentukan Malaysia. Nama Suruhanjaya Cobbold telah diambil bersempena dengan nama pengerusinya, Lord Cobblod. Bukan itu sahaja, suruhanjaya ini juga telah dianggotai oleh empat orang pemimpin daripada pihak British dan Persekutuan Tanah Melayu yang lain, iaitu Sir Anthony Abell, Sir David Watherston, Muhammad Ghazali Shafie dan Wong Pow Nee.

Perjanjian Malaysia 1963 yang dikenali sebagai Perjanjian Julai 1963 telah ditandatangani pada 9 Julai 1963 oleh barisan kepimpinan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura di London. Melalui perjanjian ini, British mengiktiraf kedaulatan Malaysia, Sabah, Sarawak dan Singapura.

Namun begitu, pimpinan kerajaan Indonesia yang dipelopori oleh Presiden Soekarno membantah rancangan ini serta mengemukakan bantahan tersebut kepada Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Bagi mengkaji usul ini, PBB telah membentuk sebuah jawatankuasa baharu, iaitu United Nations Malaysia Mission (UNMM) serta melantik Laurence Michelmore sebagai ketua rombongan ke Sarawak dan Sabah bagi menilai dan menyediakan laporan berkenaan dengan persetujuan penduduk tempatan.

Pemasyuran Pembentukan Malaysia yang sepatutnya diadakan pada 31 Ogos 1963 terpaksa ditangguhkan sehinggalah laporan UNMM selesai. Akhirnya, laporan pada 14 September 1963 oleh pihak UNMM menyatakan bahawa misi ini telah berjaya apabila penduduk Sarawak dan Sabah menyatakan sokongan serta bersetuju dengan pembentukan Malaysia.

Pemasyhuran Persekutuan Malaysia secara rasminya dilangsungkan di tiga buah kawasan berbeza, iaitu di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur yang dibacakan oleh DYMM Tuanku Syed Putra ibni Tuanku Syed Hassan Jamalullail, Yang di-Pertuan Agong ketiga dan telah disaksikan oleh YTM Tunku Abdul Rahman, selaku Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu. Selain itu, di Sarawak pula, Datu Abang Haji Openg Abang Sapiee telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak setelah pengisytiharan Malaysia oleh Khir Johari disempurnakan. Seterusnya, Datu Mustapha Datu Harun pula mengumumkan peristiwa bersejarah ini di Kota Kinabalu, Sabah, serta menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah pertama yang disaksikan oleh Tun Abdul Razak.

Sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia ini sangat penting untuk dihayati oleh semua pihak terutamanya anak watan kini. Peristiwa ini melambangkan perahan ilham, keringat serta susah payah tokoh terdahulu dalam memastikan anak Malaysia lahir dan hidup dalam keadaan selesa serta harmoni.

“Kita adalah rakyat Malaysia, inilah ikatan yang menyatukan kita,” ucap YTM Tunku Abdul Rahman.

Marilah kita bersama-sama meraikan Hari Malaysia ke-62 pada kali ini dengan penuh iltizam dan semangat agar kedaulatan Malaysia akan sentiasa dipertahankan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi