Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTumpat – “Penggunaan kata-kata kesat dalam komunikasi harian dapat dikenal pasti menjadi sebahagian daripada punca berlakunya gejala buli dalam kalangan masyarakat”.
Demikian kata Yang Berusaha (YBrs.) Dr. Fatimah Syarha Mohd Nordin yang bertindak sebagai panel ketika mengupas isu buli dalam Forum Astaka Minda yang berlangsung di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) Peringkat Negeri Kelantan.
Menurut beliau, gejala buli bukanlah satu fenomena baharu, sebaliknya telah berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW lagi apabila Baginda berhadapan dengan ejekan dan penghinaan daripada kaum Quraisy, namun Baginda sentiasa menunjukkan akhlak yang baik.
“Pengajaran daripada sirah ini jelas menunjukkan bahawa ketidaksantunan bahasa boleh menjerumuskan masyarakat kepada budaya buli, tetapi kesantunan bahasa mampu menjadi penawar dan bentengnya,” ujar beliau.
YBrs. Dr. Fatimah Syarha menjelaskan Rasulullah SAW menunjukkan akhlak positif dengan menghormati serta mengiktiraf para sahabat, dan contoh kesantunan bahasa disifatkan mampu mencegah budaya gejala buli.
Jelas beliau lagi, ketidaksantunan bahasa melalui kata-kata kesat mampu mempengaruhi emosi dan hati seseorang, sekaligus mendorong kepada tindak balas negatif seperti perlakuan dendam dan sikap membuli.
Beliau turut menekankan bahawa kesedaran terhadap kesopanan bahasa amat penting kerana dapat melahirkan bahasa kemanusiaan, yakni bahasa yang dihargai serta mampu membina masyarakat yang berakhlak mulia.
“Kita tidak mahu penggunaan bahasa kasar dinormalisasikan dalam masyarakat sehingga menjadi pintu masuk kepada gejala membuli,” tegas beliau.
Selain itu, Dr. Fatimah Syarha turut mengupas isu penggunaan media sosial menyumbang kepada ketidaksantunan bahasa dan keruntuhan nilai akhlak dalam kalangan masyarakat.
Ujar beliau lagi, siber buli merupakan antara gejala yang sukar untuk dibendung dalam penggunaan media sosial kerana bersifat meluas dan memberikan kesan negatif kepada mangsa buli.
“Gejala ini meninggalkan kesan psikologi yang serius kepada mangsa, termasuk tekanan emosi, rasa rendah diri dan trauma berpanjangan akibat kesukaran mengawal siber buli akibat daripada media sosial yang pantas, terbuka dan sukar dipantau sepenuhnya”, kata beliau.

Sementara itu, panel seterusnya YBrs. Tuan Haji Nik Syuharul Apizo Safien turut bersetuju dengan pandangan yang dibahaskan oleh Dr. Fatimah Syarha berkaitan dengan isu ketidaksantunan bahasa dan kesannya terhadap masyarakat.
“Gejala buli bukan sahaja berlaku dalam bentuk fizikal, malah turut dilakukan melalui lisan dengan mengeluarkan perkataan kesat yang mampu menjatuhkan maruah seseorang,”
“Contohnya, ejekan dan panggilan nama buruk yang memperkecil keadaan fizikal seseorang, celaan serta makian yang menjatuhkan maruah, sindiran yang menyinggung perasaan, ugutan secara verbal yang menimbulkan rasa takut, serta penyebaran fitnah melalui percakapan boleh merosakkan reputasi individu,” ujar beliau lagi.
Malah, beliau menegaskan bahawa kesantunan bahasa adalah kunci utama dalam mencegah gejala buli kerana penggunaan bahasa yang baik mampu membina suasana harmoni dan sikap saling menghormati dalam kalangan masyarakat.

Pada masa yang sama, turut berlangsung sesi soal jawab secara interaktif melibatkan barisan panel dengan para pelajar untuk memberikan peluang kepada mereka mengemukakan persoalan dalam forum tersebut.
Turut hadir dalam forum tersebut ialah Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar; Pegawai Perancang Bahasa, Puan Anis Salwani Awang Mohammad; Barisan Pengurusan KPM.