Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLaporan IMD World Talent Ranking 2025 membawa khabar gembira apabila kedudukan Malaysia melonjak sebanyak lapan anak tangga, iaitu pencapaian tertinggi sejak tahun 2020. Di rantau Asia-Pasifik pula, Malaysia menduduki tempat kelima selepas Hong Kong, Singapura, Taiwan dan Australia. Kedudukan ini menunjukkan mesej yang jelas bahawa negara kita sedang melahirkan bakat berkualiti yang diiktiraf pada peringkat dunia.
Saya meneliti dengan lebih lanjut tentang faktor yang membolehkan Malaysia mencapai kedudukan ini.
Pencapaian Malaysia pada hari ini tidak berlaku dalam sekelip mata, sebaliknya merupakan hasil daripada perancangan dan usaha yang berterusan oleh pelbagai pihak. Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dahulunya sering dipandang sebagai pelajaran kelas kedua telah menjadi bidang lazim, dengan kadar kebolehpasaran graduan melebihi 90 peratus.
Walaupun universiti tempatan sering dikritik, negara kita sudah mula menempatkan diri dalam bidang tertentu menerusi kedudukan QS Top 200. Buktinya, Malaysia menduduki tempat kedua dunia dalam penghasilan graduan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Pencapaian ini menunjukkan bahawa sistem pendidikan kita sebenarnya sedang melahirkan bakat yang diiktiraf dan diperlukan pada peringkat antarabangsa.

2. Pelaburan negara yang berterusan
Dalam mendepani cabaran fiskal, Malaysia tetap memilih untuk melabur dalam aspek bakat. Perbelanjaan pendidikan pada masa ini menunjukkan jumlah keseluruhan 4.2 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK). Peruntukan yang dibekalkan untuk pendidikan rendah hingga pendidikan tinggi kekal sebagai yang belanja terbesar negara pada setiap tahun.
Hal ini bukan kebetulan, sebaliknya hasil daripada pilihan negara untuk mencorakkan masa hadapan yang lebih cerah melalui pembangunan modal insan yang berkualiti. Oleh hal yang demikian, kerajaan meletakkan pelaburan bakat sebagai keutamaan tertinggi dalam sektor pendidikan.
Pada hakikatnya, nilai 4.2 peratus KDNK ini belum mencukupi kerana Malaysia hanya berada pada kedudukan ke-43. Namun begitu, komitmen berterusan daripada pelbagai pihak dapat dilihat melalui peningkatan pencapaiannya pada setiap tahun.
3. Kemahiran semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling)
Kedudukan Malaysia dalam IMD World Competitiveness 2025 menunjukkan peningkatan ketara dalam Talent Landscape Score, iaitu sebanyak 65.17 markah pada tahun 2025 berbanding dengan 59.43 pada tahun 2024. Skor ini mengukur keseluruhan landskap bakat termasuklah aspek kesediaan dan pembangunan kemahiran, sekali gus membuktikan bahawa usaha kemahiran semula dan peningkatan kemahiran tenaga kerja kita mula membuahkan hasil yang diiktiraf pada peringkat global.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui agensinya, TalentCorp telah memperkenalkan program MyMahir Future Skills Talent Council (FSTC) dan Industry-Academia Collaboration (IAC) yang menghubungkan industri dengan akademik. Inisiatif ini selari dengan agenda Malaysia Digital (MyDigital) untuk menerapkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) di sekolah dan universiti serta meluaskan kelayakan mikro pekerja. Hasilnya, kita bukan sahaja melahirkan graduan semata-mata, malah graduan yang mampu beradaptasi serta menguasai kemahiran teknikal dan insaniah, sekali gus menjadikan Malaysia lebih kompetitif di pentas global.
4. Mematahkan naratif negatif
Dalam pengetahuan saya, masih ada suara sinis yang mengatakan bahawa graduan kita tiada kualiti, sekolah kita ketinggalan dan pendidikan kita gagal. Sehingga ke hari ini, naratif negatif ini sering kita dengari.
Namun begitu, saya percaya bahawa peningkatan kedudukan Malaysia sebanyak lapan anak tangga dalam IMD World Talent Ranking 2025 telah menepis segala pandangan yang tidak sahih itu. Realitinya, negara kita tidak gagal dan bukan dalam krisis.
Sungguhpun negara kita masih kekurangan dalam beberapa aspek, tetapi sistem pendidikan dan pembangunan modal insan yang sedia ada mampu menghasilkan bakat yang diperlukan oleh dunia. Menurut pengamatan saya, kadangkala kita terlalu sibuk mencari silap, sampai kita tidak nampak hasilnya.
5. Perkara yang mesti diperbaik
Yang berikut saya senaraikan tiga jurang yang mesti dirapatkan untuk kita melonjakkan lagi potensi pendidikan ke hadapan.
i) Kualiti pendidikan asas masih menjadi titik lemah yang tidak boleh disembunyikan. Laporan Programme for International Student Assessment (PISA) dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) menunjukkan jurang literasi dan numerasi murid di Malaysia masih jauh di belakang negara jiran tertentu. Hal yang membimbangkan ini bukan tentang kedudukan negara semata-mata, tetapi tentang keupayaan generasi kita untuk bersaing pada masa hadapan. Maka itu, perhatian serius diambil oleh KPM yang telah memulakan langkah melalui pelaksanaan program intervensi 3M untuk membantu murid yang lemah menguasai kemahiran asas 3M, iaitu membaca, menulis dan mengira. Selain itu, KPM sentiasa fokus dalam membina semula kurikulum Persekolahan 2027. Dengan pengambilan langkah yang proaktif ini, jurang asas dapat ditutup dan potensi negara akan berkembang lebih besar.
ii) Penyelidikan dan inovasi (R&D) masih menjadi jurang besar bagi Malaysia. Perbelanjaan negara untuk R&D hanyalah sekitar satu peratus daripada KDNK, iaitu jauh lebih rendah berbanding dengan Korea Selatan yang melaburkan lebih daripada empat peratus KDNK. Hal ini menyebabkan kapasiti inovasi dan paten baharu kita terbatas, sekali gus menjejaskan keupayaan bakat untuk menterjemahkan ilmu kepada penemuan yang bernilai tinggi. Dalam ekosistem penyelidikan, tanpa peningkatan ketara dari segi dana, kerjasama industri dan insentif, Malaysia berisiko kekal menjadi pengguna teknologi semata-mata, bukannya pencipta.
iii) Etika dan nilai kerja turut memisahkan jurang antara Malaysia dengan negara lain. Perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana laporan IMD menilai aspek motivasi, daya tarikan bakat dan kesediaan tenaga kerja. Inilah cabaran Malaysia; walaupun kita sudah melahirkan graduan berkemahiran, tetapi dunia pekerjaan menuntut lebih daripada itu, iaitu integriti, disiplin dan adab bekerja. Singapura dan Korea Selatan menunjukkan aset kebangsaan yang berkualiti tinggi menerusi etika dan budaya kerja yang konsisten. Malaysia perlu mengarusperdanakan nilai ini supaya bakat yang kita hasilkan bukan sahaja kompeten secara teknikal, tetapi juga dipercayai sebagai tenaga kerja yang berintegriti.
Segala kekurangan ini bukanlah alasan untuk menolak naratif kemajuan yang sedang berlaku. Perkara ini perlu diteliti dengan lebih lanjut dari peringkat prasekolah hingga ke pengajian tinggi.
6. Mentafsirkan makna peningkatan kedudukan negara
Kenaikan lapan anak tangga dalam IMD World Talent Ranking 2025 ini bukan kebetulan, sebaliknya hasil gabungan pelaburan fiskal, reformasi pendidikan dan kebijakan tenaga kerja. Hal ini menandakan bahawa benih yang ditanam sudah mula menampakkan hasil.
Sungguhpun pencapaian negara belum sempurna, tetapi sistem pendidikan kita masih berkesan. Perkara yang penting untuk kita berikan perhatian ialah hala tujunya. Pada hari ini, kita sudah melihat bukti di hadapan mata dan kita sedang bergerak ke arah jalan yang lurus.
Kesimpulannya, IMD World Talent Ranking 2025 ialah cerminan pertumbuhan negara, bukannya kedudukan semata-mata. Perkara ini menunjukkan bahawa Malaysia berjaya melahirkan bakat yang diiktiraf oleh dunia.

Walaupun pendidikan kita dikritik, hal ini tidak bermakna bahawa sistem kita gagal. Sebaliknya, sistem pendidikan negara sedang berubah ke arah inisiatif yang membuahkan hasil. Kita tidak mereka-reka cerita dan bukannya syok sendiri. Laporan IMD World Talent Ranking 2025 telah mengesahkan pencapaian ini.
Jika Singapura kekal berada pada kedudukan teratas dalam kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia pula muncul sebagai negara paling laju mendaki dalam kedudukan dunia pada tahun 2025. Hal ini menandakan bahawa hala tuju pendidikan dan pembangunan bakat negara berada pada landasan yang tepat.
Persoalannya, beranikah kita menggandakan usaha agar lonjakan ini bukan sekadar pencapaian sementara, tetapi menjadi trajektori jangka masa panjang untuk menuju ke arah status negara berdaya saing tinggi?
Sungguhpun kedudukan hanyalah cerminan kepada usaha negara, perkara yang lebih penting untuk kita perhatikan adalah wajah sebenar yang terpantul daripadanya. Pada hari ini, kita melihat perkembangan anak di dalam bilik darjah menjadi graduan dalam majlis konvokesyen dan pekerja muda yang bersemangat tinggi di kilang dan pejabat. Inilah makna sebenar dalam erti kata lonjakan bakat.
Oleh itu, semua pihak perlu bekerjasama lebih erat untuk membekalkan graduan kita dengan ilmu, kemahiran dan nilai yang berguna untuk menjadikan kedudukan negara sebagai bonus yang menjamin masa hadapan mereka.
Dr. Radin Muhd Imaduddin Radin Abdul Halim ialah Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri Pendidikan.