Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPada 15 Disember 2022, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah menganjurkan Forum Antarabangsa bagi memperingati ulang tahun kedua pemergian Profesor Diraja Ungku Aziz, iaitu seorang pemikir dan pembina institusi yang paling terkemuka di Malaysia.
Sultan Perak, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menekankan paradigma yang mendalam dalam titah baginda, iaitu “Pembangunan sesebuah negara tidak hanya bergantung pada berapa banyak wang yang kita ada, atau berapa banyak bangunan moden dan lebuh raya yang dapat kita bina; sebaliknya, pembangunan mesti merangkumi elemen bukan material dan dimensi dalaman yang meliputi kematangan budaya, etika, serta kualiti pemikiran rakyatnya.”
Baginda turut mengetengahkan kekaguman Ungku Aziz terhadap karya Kimiya-e Sa‘adat (Kimia Kebahagiaan) oleh Imam al-Ghazali, sebuah karya agung dalam bidang tasawuf dan pembentukan akhlak, serta maknawi oleh Maulana Rumi, yakni karya agung puisi sufi. Kedua-dua karya ini telah memberikan pengaruh yang mendalam terhadap tradisi intelektual dan kerohanian Melayu.
Sebagai seorang pelajar sejarah, saya mendapati perspektif ini amat menarik kerana mencerminkan kualiti pemikiran yang luar biasa daripada para sarjana di rantau Iran dan Asia Tengah—merangkumi Iran, Tajikistan, Uzbekistan dan sebahagian Afghanistan moden. Tokoh seperti Imam al-Ghazali (1058–1111), Maulana Rumi (1207–1273), Ibn Sina (980–1037), Al-Khwarizmi (sekitar 780–850), Omar Khayyam (1048–1131), Imam al-Bukhari (810–870), dan Imam al-Tirmidhi (824–892) berasal dari bandar-bandar lama di sepanjang Laluan Sutera termasuk Tus, Nishabor, Bukhara, Samarkand dan Termez.
Para sarjana bukan Arab ini, yang sering dikenali sebagai golongan Kurasani, telah membentuk peradaban Islam dan meninggalkan kesan yang mendalam terhadap alam Melayu melalui sumbangan mereka dalam bidang keilmuan Islam, tasawuf dan tradisi kesusasteraan. Kini tibalah masa yang sesuai untuk kita menelusuri kepentingan sejarah Tajikistan, Uzbekistan dan Iran sebagai pusat Laluan Sutera serta pengaruh mendalam mereka terhadap budaya Islam-Melayu, tasawuf, tulisan Jawi, dan penghasilan manuskrip, di samping menonjolkan usaha kontemporari untuk memperkukuh hubungan budaya Malaysia–Asia Tengah.
Menurut fakta ssejarah, Laluan Sutera merupakan rangkaian perdagangan luas yang menghubungkan China, Asia Tengah, Parsi, India dan Laut Mediterranean. Lebih daripada sekadar lebuh raya perdagangan, laluan tersebut menjadi simpang pertemuan pelbagai falsafah, termasuklah Islam, Konfusianisme, Hinduisme dan Buddhisme, yang memupuk interaksi antara para pedagang, sarjana dan pemerintah. Tajikistan, Uzbekistan dan Iran, yang terletak di tengah-tengah Laluan Sutera, memainkan peranan penting dalam pertukaran ini.
Samarkand dan Bukhara di Uzbekistan, di bawah Empayar Samanid (819–999 Masihi) dan Empayar Timurid (1370–1507 Masihi), merupakan pusat intelektual dan perdagangan, dengan keajaiban seni bina di Samarkand dan Bukhara di Uzbekistan, serta Khujand di Tajikistan. Sementara itu, Tos dan Nishabor di Iran menjadi pusat keilmuan berbudaya Parsi, yang menyumbang kepada kebangkitan semula budaya di rantau tersebut.
Pengenalan teknologi pembuatan kertas di Samarkand pada abad ke-8 telah merevolusikan penghasilan manuskrip, dengan membolehkan penyebaran teks ke seluruh Asia. Para pedagang Sogdian dari Tajikistan dan pedagang Parsi dari Iran menghubungkan bandar-bandar ini dengan pelabuhan di India, sekali gus memudahkan pertukaran tidak langsung dengan pelabuhan Melayu seperti Pasai dan Melaka menjelang abad ke-13. Penyebaran ini telah memperkenalkan keilmuan Islam, tradisi sufi, dan bentuk kesusasteraan Parsi ke alam Melayu, seterusnya membentuk landskap keagamaan dan kebudayaannya.
Kita mungkin tertanya-tanya, mengapakah negara Asia Tengah seperti Tajikistan dan Uzbekistan agak kurang dikenali di alam Melayu sehingga beberapa dekad kebelakangan ini? Antara sebab utamanya ialah terletak pada sejarah mereka sebagai republik dalam Kesatuan Soviet (1922–1991), apabila amalan keagamaan seperti ritual Islam dan tradisi kebudayaan seperti Nowruz (Tahun Baharu Parsi) telah ditindas di bawah dasar komunis. Selama hampir tujuh dekad, sekatan ini telah mengehadkan keterlibatan warisan Islam dan kebudayaan Asia Tengah yang begitu kaya pada peringkat global. Pembubaran Kesatuan Soviet pada tahun 1991 menjadi titik perubahan, sehingga membolehkan Tajikistan dan Uzbekistan menghidupkan semula identiti keagamaan dan kebudayaan mereka, sekali gus memberikan peluang kepada dunia, termasuklah kepada Malaysia untuk menemui kembali kepentingan sejarah mereka.
Pada masa ini, naratif sejarah Asia Tengah semakin terserlah dengan kejelasan baharu, dengan menawarkan pandangan tentang peranan pentingnya dalam membentuk peradaban Islam dan mempengaruhi alam Melayu. Bandar seperti Samarkand dan Bukhara di Uzbekistan dan Khujand di Tajikistan, serta Nishabor di Iran mempunyai pelbagai kisah untuk dikongsi dengan budaya Melayu. Bandar ini merupakan pusat intelektual dan perdagangan yang menyebarkan keilmuan Islam, tradisi sufi, dan budaya manuskrip ke pelabuhan Melayu seperti Pasai dan Melaka melalui laluan perdagangan Laluan Sutera. Warisan ini terbukti dalam manuskrip bertulisan Jawi seperti Sejarah Melayu dan Hikayat Amir Hamzah, yang mencerminkan pengaruh budaya Parsi dari Asia Tengah.

Dalam usaha ke arah memperkukuh hubungan sejarah ini, Akademi Pengajian Melayu di Universiti Malaya telah menerima kunjungan hormat Duta Besar Tajikistan (YBhg. Ardasher Qodiri) dan Duta Besar Uzbekistan (YBhg. Dr. Karomidin Gadoev) ke Malaysia pada bulan lalu. Duta Besar tersebut berkongsi pandangan tentang sumbangan sejarah negara masing-masing terhadap peradaban Islam dan menyatakan hasrat untuk memupuk kerjasama akademik serta budaya yang lebih erat dengan Malaysia. Lawatan ini menekankan peluang untuk menjalankan penyelidikan bersama, khususnya dalam pendigitalan manuskrip Jawi dan penerokaan pengaruh Asia Tengah terhadap tasawuf dan kesusasteraan Melayu. Memandangkan Malaysia terlibat dalam kerjasama moden dengan Tajikistan dan Uzbekistan ini, usaha tersebut bukan sahaja dapat memelihara dan mempromosikan warisan budaya Melayu, malah memperkukuh solidariti budaya di seluruh dunia Islam, seiring dengan visi pembangunan intelektual dan etika yang diperjuangkan oleh tokoh seperti Profesor Diraja Ungku Aziz.
Dr. Mehdi Soltanzadeh, Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.