Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Terengganu – Bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK), Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) 2025 Peringkat Negeri Terengganu anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur dengan kerjasama Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Terengganu terus memainkan peranannya untuk menyemarakkan penguasaan bahasa Melayu dan pembudayaan ilmu berasaskan bahan majalah berbahasa Melayu, sekali gus memperkukuh budaya membaca.
Penganjuran Program Kembara MDK pada kali ini berjaya menghimpunkan sebanyak 157 orang pelajar dari 15 buah sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Terengganu di sekitar daerah Kuala Nerus yang melibatkan 78 orang pelajar sekolah rendah dan 79 orang pelajar sekolah menengah.
Selain itu, program anjuran DBP ini turut menampilkan pengisian utama, iaitu MDK Dewan Siswa bagi pelajar sekolah menengah dan MDK Dewan Pelajar bagi pelajar sekolah rendah untuk meningkatkan tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar tersebut.



Sementara itu, Program Kembara MDK juga melibatkan penyertaan sebanyak 51 orang guru dari sekolah rendah dan sekolah menengah melalui penganjuran Bengkel MDK untuk Guru sebagai bimbingan dan usaha memperkasakan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas.
Pada masa yang sama, editor JendelaDBP berkesempatan menemu bual seorang pelajar dari Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) untuk berkongsi pandangan tentang pelaksanaan Program Kembara MDK ini.

Menurut Lutfi Hadi, pelajar SRIDI, Program Kembara MDK ini dapat meningkatkan kefahaman dan penguasaannya dalam bahasa Melayu.
“Program MDK ini juga memberikan ruang kepada saya untuk mengasah bakat penulisan dan menghasilkan karya kreatif untuk diterbitkan dalam majalah Dewan Pelajar.”
“Saya juga dapat menguasai kosa kata yang betul dari segi ejaan dan sistem tatabahasa yang terkandung dalam majalah Dewan Pelajar,” jelasnya.
Sebagai rekod, Program Kembara MDK 2025 Peringkat Negeri Terengganu merupakan siri kedua bagi zon timur selepas penganjuran pertama Program Kembara MDK di Negeri Kelantan.
Terdahulu, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek telah merasmikan Dekad Membaca Kebangsaan 2025 pada 29 September 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 9 (2) bagi meningkatkan kesedaran budaya membaca dan membina ekosistem ilmu dalam kalangan pelajar di seluruh Malaysia. Satu daripada aktiviti yang dilaksanakan sempena majlis tersebut ialah Program Kembara MDK.