Diterbitkan pada 6 Oktober 2025, 15:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Terengganu – “Usaha memperkasakan budaya membaca dalam kalangan pelajar perlu digiatkan bagi melahirkan generasi MADANI yang progresif, berilmu dan berakhlak tinggi”.

Demikian petikan ucapan daripada Pengarah MARA Negeri Terengganu, YBrs. Encik Mohd Farris Radzuan dalam Majlis Perasmian Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) dan Program Astaka Minda bertajuk “Buli: Di Manakah Silapnya?” bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu 2025 di Dewan Al-Fateh, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Terengganu semalam.

Menurut beliau, Islam juga menggalakkan umatnya membaca sebagai jalan untuk memperoleh ilmu pengetahuan dan mencari jalan penyelesaian kepada pelbagai permasalahan hidup. Hal ini selaras dengan wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, iaitu perintah “Iqra” atau “bacalah” yang menjadi bukti jelas bahawa amalan membaca dapat melahirkan masyarakat yang berilmu tinggi.

“Program MDK Peringkat Negeri Terengganu ini dapat menyemai amalan membaca yang berterusan dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah,” jelas beliau.

 

YBrs. Encik Mohd Farris Radzuan, diiringi oleh Pengarah DBP Wilayah Timur, Puan Ariza Che Ismail dan Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar semasa menyempurnakan simbolik perasmian Program Kembara MDK dan Astaka Minda Peringkat Negeri Terengganu 2025.

Menurut beliau lagi, selaras dengan perkembangan teknologi terkini, maklumat pembacaan kini boleh diakses dengan mudah melalui platform seperti ChatGPT tanpa bergantung sepenuhnya pada informasi daripada orang lain.

“Teknologi sebegini membuka ruang kepada pelajar untuk mendapatkan pelbagai sumber ilmu secara langsung dan pantas, sekali gus menyokong amalan pembelajaran kendiri dan memperkukuh budaya membaca,” ujarnya.

Selain itu, pelaksanaan Program Kembara MDK dan Dekad Membaca Kebangsaan ini sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menginginkan pelajar terlibat dalam proses pembudayaan ilmu, termasuklah menjadikan pembacaan sebagai satu daripada budaya hidup.

Beliau juga menyeru para guru agar memainkan peranan penting dalam usaha memupuk amalan membaca dalam kalangan pelajar dengan menggalakkan aktiviti seperti membaca buku di perpustakaan.

“Para guru seharusnya memainkan peranan aktif dengan mendorong pelajar melanggan majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) seperti Dewan Siswa, Dewan Pelajar dan Dewan Masyarakat bagi memperkaya bahan bacaan mereka serta menyokong keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.

Tambah beliau, Dekad Membaca Kebangsaan juga bertujuan untuk membentuk masyarakat berilmu yang bertaraf dunia dengan tumpuan membaca bagi menimba ilmu pengetahuan dan pembudayaan amalan membaca dalam kalangan pelajar.

“Bagi mencapai status negara maju dan memiliki modal insan kelas pertama, sikap membaca perlu dijadikan sebagai budaya dalam kehidupan kita.”

Encik Mohd Farris Radzuan juga menyatakan bahawa sekolah merupakan tempat bermulanya kecintaan pelajar terhadap ilmu secara formal dan perkongsian pintar dalam bidang ilmu. Oleh itu, pihak sekolah digalakkan untuk bersinergi dengan pelbagai pihak seperti jabatan kerajaan, agensi swasta dan badan bukan kerajaan untuk menjadikan budaya membaca sebagai amalan hidup.

Ujarnya, persekitaran kolaboratif yang terbina antara sekolah dengan rakan strategik dapat meningkatkan keberkesanan program dan aktiviti di sekolah bagi menggalakkan percambahan budaya kecintaan ilmu.

Pengarah MARA Negeri Terengganu, YBrs. Encik Mohd Farris Radzuan sewaktu menyampaikan ucapan dalam Majlis Perasmian Kembara Majalah Dalam Kelas dan Astaka Minda bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu 2025.

Sementara itu, Pengarah DBP Wilayah Timur, YBrs. Puan Ariza Che Ismail pula berkata bahawa MDK diperkenalkan sebagai satu pendekatan kreatif untuk mendekatkan bahan bacaan bermutu kepada warga sekolah, di samping membina generasi yang bukan sahaja celik bahasa, tetapi juga berfikiran kritis serta mencintai ilmu.

Beliau juga menegaskan bahawa program Kembara MDK ini dapat meningkatkan daya saing masyarakat pada peringkat global dalam melahirkan masyarakat yang berilmu tinggi dan berakhlak mulia.

YBrs. Puan Ariza Che Ismail juga menyatakan tentang peri penting isu buli diketengahkan dalam Program Astaka Minda “Buli: Di Manakah Silapnya?” yang dibincangkan oleh barisan panel yang hebat dan berwibawa, iaitu YBrs. Taun Haji Nik Muhammad Nik Lib (Mantan Pegawai Pendidikan Daerah Tanah Merah yang juga merupakan Pakar Motivasi) dan YBrs. Tuan Haji Nik Syuharul Apizo Safien (Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Risiko dan Inspektorat MARA) yang menampilkan YBrs. Encik Mohd Amir Syakirin Maznan sebagai moderator dalam usaha mencegah buli.

“Menerusi forum tersebut, saya dapat memperoleh pengetahuan baharu dan berharap agar forum yang diadakan berjaya membuka minda terhadap isu buli yang kini menjadi antara topik hangat di Malaysia”, jelasnya.

 

 

Pengarah DBP Wilayah Timur, YBrs. Puan Ariza Che Ismail ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam majlis ini.

Dalam majlis yang sama, turut diadakan penyampaian buku kepada sekolah terpilih, antaranya termasuklah Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Mengabang Talipot, Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) Buluh Gading, Sekolah kebangsaan Kompleks Tembesu dan Sekolah Rendah Islam Darul Islam (SRIDI) Kuala Nerus.

Majlis ini turut menerima sokongan daripada pelbagai pihak, antaranya termasuklah Yayasan Islam Terengganu, Penerbit Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Penerbit Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Perbadanan Awam Terengganu dan Lembaga  Muzium Terengganu, yang menyumbangkan buku sebagai inisiatif memperkasakan amalan membaca dalam kalangan pelajar.

Majlis Perasmian Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) dan Program Astaka Minda bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu 2025 ini turut dihadiri oleh Pengetua MRSM Negeri Terengganu, YBrs. Tuan Haji Nordin Ahmad; Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (KORPORAT), YBrs. Puan Nor Sophia Azura Mohd Husin merangkap Setiausaha Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Melayu; Ketua Penolong Pengarah Unit Bahasa, Sektor Pembelajaran, YBrs. Encik Mat Yusof Mat Ali mewakili Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Terengganu, YBrs. Kamal Mohammed merangkap Pengerusi Dekad Membaca Kebangsaan (DMK); Penolong Kanan Pengarah Hal Ehwal Murid Menengah, Yang Mulia Tun Haji Saifullah Syeikh Zaidi mewakili Pengarah Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu, YBrs. Tuan Haji Mod Nor, pegawai JPN Terengganu, guru-guru dan para pelajar.

Kredit Foto: Mohd Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi