Diterbitkan pada 27 Oktober 2025, 13:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pada 11 Oktober 2024 di Vientiane, satu upacara simbolik serahan tugas dilakukan oleh Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone kepada Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45. Ini merupakan kali kelima Malaysia memainkan peranan sebagai Pengerusi ASEAN. Malaysia memulakan Kepengerusian ASEAN secara rasmi pada 1 Januari 2025 dan memperkenalkan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.

Pada September 2024, Kishore Mahbubani, penulis buku The ASEAN Miracle a Catalyst for Peace memberikan peringatan tentang mara bahaya taufan geopolitik yang akan melanda dunia global dan peri pentingnya warga ASEAN mengukuhkan saf perpaduan dalam mendepani cabaran yang mendatang. ASEAN yang dihuni hampir 700 juta penduduk dengan keunikan budaya dan warisan yang menjadi contoh kepada dunia sebagai antara rantau paling aman di dunia perlu mengekalkan keharmonian dan kestabilannya.

Setelah hampir setahun Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, kita wajar berbangga apabila Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, dihormati pada peringkat antarabangsa dan telah berjaya meletakkan standard baharu yang amat tinggi kepada Kepengerusian ASEAN. Tema ASEAN “Keterangkuman dan Kemampanan” diterjemahkan dengan penuh hikmah dalam meraikan kepelbagaian dalam bingkai kesatuan.

Sejarah Baharu Tercipta

Malaysia telah memainkan peranan penting dalam merencanakan masa hadapan ASEAN menerusi dokumen ASEAN Vision 2045: Our Shared Future yang dilancarkan pada 26 Mei 2025 semasa Sidang ASEAN Ke-46 di Kuala Lumpur. Visi ASEAN 2045 yang disokong oleh empat pelan strategik ini akan terus memacu transformasi rantau ini untuk terus melangkah lebih jauh dan berdaya saing. Bagi tujuan ini, Malaysia sudah pasti akan menjadi antara watak utama dalam ASEAN bagi memperkukuhkan aspek kelestarian serantau dan kerjasama tenaga menerusi pelaksanaan ASEAN Power Grid selain memperkasakan aspek keselamatan, politik, ekonomi dan sosial budaya.

Sejak sekian lama, prinsip non-interference (tidak campur tangan) menjadi “mantera” pada peringkat ASEAN yang menyaksikan negara anggota lebih memilih untuk menjaga hal ehwal domestik masing-masing walaupun ada perkara yang memberikan kesan kepada negara jiran. Namun begitu, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, prinsip ini diolah semula ke arah dialog konstruktif dalam usaha mencari penyelesaian konflik, melalui kaedah rundingan dan pujukan tanpa paksaan atau ugutan.

Antara sumbangan penting yang dimainkan oleh Malaysia dan menjadi bualan masyarakat antarabangsa termasuklah peranan sebagai orang tengah dalam mengemukakan perdamaian antara Kemboja dengan Thailand. Ketegangan antara kedua-dua negara jiran mengenai pertikaian sempadan sepanjang 817 kilometer itu melarat kepada konfrontasi ketenteraan pada akhir Julai lalu, namun terhenti selepas perjanjian gencatan senjata yang diusahakan oleh Malaysia selaku Pengerusi ASEAN di Putrajaya pada 28 Julai.

Lebih membanggakan, Malaysia merupakan negara Islam yang menjadi pemudah cara bagi penyelesaian kedamaian dan keamanan kepada kedua-dua negara yang penganutnya majoriti beragama Buddha. Setakat pengetahuan saya, Malaysia merupakan satu-satunya negara Islam yang berjaya memainkan peranan strategik dan memperoleh pengiktirafan bagi membantu penyelesaian konflik secara aman antara kedua-dua negara.

Sidang kemuncak kali ini juga menyaksikan peristiwa bersejarah, iaitu majlis penandatangan deklarasi hasil rundingan mengenai pertikaian sempadan Kemboja-Thailand yang disaksikan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan diharapkan akan menoktahkan perseteruan kedua-dua negara. Deklarasi ini antara lain menggariskan pengunduran senjata berat dari kawasan sempadan, pembersihan periuk api, membanteras jenayah rentas sempadan serta pengurusan kawasan sempadan.

Konflik di Myanmar turut menjadi fokus ASEAN, yang pada hakikatnya bukan semata-mata krisis domestik, tetapi telah menghinggapi negara jiran khasnya Malaysia dan Thailand yang terpaksa menanggung kira-kira 200,000 pelarian dari negara tersebut. Peranan proaktif Perdana Menteri juga dapat menghentikan serangan terhadap kawasan yang paling terjejas seperti di wilayah Rakhine.

Perdana Menteri juga merupakan satu-satunya pemimpin ASEAN yang telah mengadakan dialog dan rundingan dengan kerajaan junta tentera dan National Unity Government of Myanmar. Usaha untuk mengadakan dialog ini dilaksanakan setelah mendapat persetujuan dan sokongan daripada negara ASEAN lain. Hal ini membuktikan kepercayaan teguh dan pengiktirafan negara ASEAN terhadap kepimpinan Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Timor Leste kini secara rasmi telah diterima sebagai anggota penuh ASEAN. Proses keanggotaan ini telah mengambil masa bertahun-tahun, sejak negara tersebut mula memohon menjadi anggota ASEAN pada tahun 2011. Hasil usaha yang diterajui Malaysia dengan kerjasama negara ASEAN, akhirnya meletakkan Timor Leste secara rasminya menjadi negara anggota kesebelas ASEAN. Malaysia dan Timor-Leste juga telah mencapai kata sepakat untuk terus memperkukuh kerjasama dalam pelbagai sektor termasuklah perdagangan, pendidikan, kesihatan, pelancongan dan keselamatan. Hal ini sekali gus mengotakan tema Kepengerusian Malaysia yang mengangkat nilai keterangkuman (inclusivity), dalam membantu mengintegrasikan negara sahabat yang masih bertatih pada peringkat global.

Selain itu, perbincangan ke arah mengurangkan kebergantungan terhadap dollar juga mula hangat diperkatakan para penganalisis, iaitu di tengah-tengah ketidaktentuan global, kelemahan mata wang dolar US dan meningkatnya perdagangan intra-ASEAN. Pelan ke arah meningkatkan penggunaan mata wang negara ASEAN dalam hubungan dagang dan pelaburan telah dimasukkan ke dalam Economic Community Strategic Plan for 2026 to 2030, khusus bagi melindungi kepentingan ASEAN daripada naik turun kadar tukaran mata wang asing dan meningkatkan ketersambungan sistem pembayaran serantau. Perdana Menteri sewaktu berucap dalam satu program BRICS di Rio De Janeiro, Brazil menegaskan perkara ini sebagai satu daripada langkah penting dan strategik bagi mengekang dominasi kuasa besar terhadap negara-negara kecil dan sedang membangun.

Kehadiran Trump Jadi Tumpuan

Setakat ini, hanya dua orang Presiden AS pernah mengunjungi Malaysia, iaitu Presiden Lyndon B. Johnson pada tahun 1966 semasa kepimpinan Tunku Abdul Rahman dan Presiden Barack Obama semasa era Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak. Kehadiran Presiden Donald Trump ke Malaysia pastinya menarik tumpuan dan perhatian seluruh dunia sekali gus negara memperoleh pengiktirafan tertinggi di pentas antarabangsa.

Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia bukan sahaja bertindak atas nama negara sendiri, tetapi mewakili seluruh blok serantau. Menjemput Presiden Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN bukan keputusan unilateral Malaysia, tetapi sebahagian daripada tanggungjawab diplomatik terhadap rakan serantau. Menolak kehadirannya secara terbuka akan menjejaskan imej Malaysia sebagai tuan rumah dan rakan rundingan yang berprinsip. Seperti yang ditegaskan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Malaysia harus kekal strategik berpegang pada prinsip kebenaran dan keadilan, sambil menggunakan diplomasi yang berhemah dan bijaksana.

Pada masa yang sama, ahli ekonomi menjangkakan bahawa isu tarif, nadir bumi dan mineral penting yang lain akan menjadi antara topik utama perbincangan semasa lawatan Presiden Donald Trump. Dalam konteks Malaysia, AS kekal sebagai antara rakan dagang utama Malaysia sejak beberapa dekad lalu. Bagi tempoh Januari hingga September 2025, eksport Malaysia ke AS meningkat sebanyak 18.2 peratus dari tahun ke tahun berjumlah RM 166.38 bilion, yang dipacu oleh penghantaran lebih tinggi bagi produk elektrik dan elektronik (E&E), jentera, kelengkapan dan alat ganti, serta makanan diproses. Sementara itu, import dari AS pula meningkat sebanyak 11.2 peratus dari tahun ke tahun berjumlah RM104.50 bilion.

Mengimbangi Persaingan antara Adikuasa dengan Kepentingan Serantau

Sebilangan penganalisis geopolitik memberikan pandangan yang positif terhadap prestasi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN. Malaysia dilihat berjaya mengimbangi kepentingan kuasa besar dunia dalam menangani isu serantau, termasuklah konflik di Laut China Selatan dan perselisihan antara negara anggota ASEAN. Malahan, Profesor Phar Kim Beng, Profesor dalam Pengajian ASEAN di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia mengistilahkan seni diplomasi Perdana Menteri sebagai quiescent diplomacy, iaitu seni menjadi orang tengah yang bukannya mengejar populariti, tetapi membisikkan secara halus mesej kedamaian dan keadilan. Mesej yang mengutamakan dialog dengan penuh ketertiban, bukannya mengheret hiruk-pikuk pertelingkahan.

Seni inilah yang berfungsi meningkatkan kredibiliti dan menyuntik keyakinan kuasa besar kepada Malaysia sebagai orang tengah yang boleh dipercayai, tidak berpihak dan tidak boleh diarahkan sesuka hati. Washington dan Beijing turut memilih Kuala Lumpur sebagai lokasi persinggahan sebelum Sidang Kemuncak APEC 2025 di Korea Selatan pada November ini. Sehari sebelum bermula Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, kita sudah menyaksikan pertemuan penting antara Amerika Syarikat-China. Rundingan ekonomi dan perdagangan China-Amerika Syarikat yang berkisar tentang tarif juga telah diadakan pada 25 Oktober 2025 di Menara Merdeka 118 Kuala Lumpur. Pertemuan yang diwakili Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Scott Bessent dan Naib Perdana Menteri China, He Lifen ini dilihat amat penting kerana apa-apa keputusan antara kedua-dua kuasa besar ini pasti akan memberikan impak kepada dunia termasuklah terhadap Malaysia.

Malaysia dipilih menerusi posisi neutral berprinsip yang diamalkan sejak sekian lama. Sekiranya mesyuarat di Kuala Lumpur kelak berjaya meredakan ketegangan tarif dan menenteramkan sedikit sebanyak persaingan antara Washington dengan Beijing, rantau ASEAN bahkan dunia pastinya akan memperoleh manfaat melalui pengukuhan ekonomi dan pasaran, keyakinan pelabur serta pengintegrasian ekonomi yang lebih kukuh.

Malaysia MADANI Mendunia

Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN tahun ini dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dari 26 hingga 28 Oktober ini. Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang berkaitan yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur bakal menjadi satu detik bersejarah bagi Malaysia dan rantau ini, yang berperanan untuk memperkukuhkan peranan teras ASEAN serta komitmen Malaysia terhadap pendekatan kesederhanaan di pentas global.

Seperti yang diakui sendiri oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, sememangnya tidak dinafikan bahawa masih terdapat banyak isu serantau tertunggak yang perlu diberikan perhatian lebih serius dan ditangani secara tuntas dan strategik khususnya isu berbangkit berkaitan dengan Laut China Selatan, sempadan, keselamatan, kegiatan penipuan (scammer) dan pengedaran dadah yang merentasi sempadan yang telah berlarutan sejak sekian lama.

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 bukan sahaja berjaya menghimpunkan negara anggota ASEAN dan rakan dialog tradisi seperti China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia dan New Zealand, malah turut melibatkan penyertaan pemimpin dari luar rantau ini termasuklah Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Kanada, Rusia, Brazil dan Afrika Selatan. Dalam erti kata lain, Malaysia telah meletakkan standard baharu dalam Kepengerusian ASEAN. Pencapaian ini mencerminkan hala tuju strategik baharu bagi Malaysia dan ASEAN dalam memperluas hubungan diplomatik serta perdagangan pada peringkat antarabangsa. Malaysia MADANI kini terus mendunia.

YB Senator Dr. Zulkifli Hasan ialah Timbalan Menteri (Hal Ehwal Agama) di Jabatan Perdana Menteri.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi