Diterbitkan pada 28 Oktober 2025, 15:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kelas pendidikan khas merupakan kelas pembelajaran yang diwujudkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk murid yang mempunyai beberapa jenis ketidakupayaan dan telah disahkan oleh pakar perubatan. Kategori ketidakupayaan murid pendidikan khas dibahagikan kepada enam kategori utama, iaitu Kurang Upaya Penglihatan (BL), Kurang Upaya Pendengaran (DE), Kurang Upaya Pertuturan (SD), Kurang Upaya Fizikal (PH), Kurang Upaya Pembelajaran (LD), dan Kurang Upaya Pelbagai (MD) (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2023).

Di Malaysia, terdapat tiga jenis program pendidikan khas, iaitu Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK) di bawah kelolaan Bahagian Pendidikan Khas, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang berada di sekolah harian biasa dan yang terbaharu ialah Program Pendidikan Inkusif (PPI). Program Pendidikan inklusif yang diwujudkan bertujuan membolehkan murid PPKI yang layak dan melepasi saringan yang diadakan selama tiga bulan, dimasukkan ke kelas aliran perdana.

Pada hari ini, jumlah Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) semakin meningkat bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Statistik MBPK di Malaysia menunjukkan peningkatan secara mendadak pada setiap tahun. Bilangan MBPK mengikut sekolah dan Program Pendidikan Khas secara keseluruhan telah meningkat kepada 97,494 orang murid.

Dunia pendidikan khas di Malaysia kini telah berkembang dengan terlalu cepat dan pesat, sejajar dengan peningkatan kesedaran masyarakat dan pendidikan inklusif. Bilangan murid yang mendaftar dalam Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) meningkat pada setiap tahun di seluruh negara. Menurut Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek, sehingga Disember 2024, jumlah murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) di dalam negara telah meningkat kepada 132,264 orang.

Peningkatan ini berlaku hasil daripada pelaksanaan dasar Zero Reject Policy yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia serta peningkatan jumlah kanak-kanak yang didiagnosis mengalami masalah pembelajaran oleh pengamal perubatan bertauliah.

Pertambahan jumlah murid pendidikan khas memberikan kesan langsung kepada proses pengajaran dan pembelajaran (PdPc) dalam kelas. Jika sebelum ini bilangan maksimum murid dalam satu kelas PPKI adalah lapan orang, kini jumlah tersebut telah meningkat kepada 10 hingga 12 orang. Keadaan ini menimbulkan cabaran kepada guru pendidikan khas, khususnya dari segi pengurusan bilik darjah, keberkesanan pengajaran dan pemantauan kemajuan murid.

Isu keadaan kelas yang semakin padat dengan pelajar PPKI harus difikirkan solusinya bersama-sama. Adakah kita mahu melihat murid pendidikan khas yang mempunyai pelbagai ragam dan kelakuan, diletakkan di dalam kelas yang sempit padat? Hal ini belum ditambah dengan keadaan cuaca yang semakin panas sejak akhir-akhir ini.

Adakah dasar yang digariskan oleh kementerian dapat dicapai jika keadaan bilik  padat begini? Kepadatan ini dibaratkan seperti ikan sardin di dalam tin. Bagaimanakah guru dapat menghasilkan pengajaran yang berkualiti jika keadaan kelas kurang kondusif?

Emosi murid pendidikan khas ini sangat mudah berubah. Keadaan fizikal dan mental mereka harus diambil kira. Jika penyaman udara tidak dapat disediakan untuk semua kelas, mungkin insiatif seperti membesarkan kelas mengikut jumlah murid atau mengecilkan bilangan murid dalam sesebuah kelas dapat dilaksanakan.

Kelas pendidikan khas yang diwujudkan oleh kementerian adalah untuk membantu murid yang mempunyai kad orang kurang upaya (OKU) dapat belajar dan bersekolah sama seperti murid tipikal yang lain. Namun begitu, jika kelengkapan prasarana kurang memuaskan dan keadaan kelas terlalu padat, adakah impian untuk melahirkan murid berkeperluan khas yang memenuhi aspirasi pendidikan negara akan tercapai?

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi