Diterbitkan pada 18 November 2025, 16:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bulan November dan Disember sememangnya sinonim dengan musim konvokesyen bagi kebanyakan universiti dan institusi pendidikan di Malaysia. Majlis konvokesyen merupakan antara detik paling bermakna dalam hidup seseorang selain majlis pernikahan dan persandingan. Ketika ini, kebanyakan pusat penginapan seperti hotel dan inap desa berhampiran dengan universiti telah dipenuhi dengan tempahan oleh ibu bapa, adik-beradik, saudara-mara dan rakan-rakan yang mengambil cuti untuk menghadiri majlis konvokesyen dan meraikan kejayaan graduan.

Perkataan “konvokesyen berasal daripada istilah Latin convocare yang bermaksud, memanggil bersama. Pada asalnya, istilah ini menggambarkan perhimpunan formal, khususnya dalam konteks keagamaan seperti majlis rasmi institusi agama. Lama-kelamaan, istilah ini digunakan dalam institusi akademik bagi merujuk perhimpunan rasmi komuniti universiti, sama ada untuk urusan pentadbiran, tadbir urus atau upacara.

Pada Zaman Pertengahan serta fasa awal kemunculan dan penubuhan universiti di Eropah, konvokesyen dikenali sebagai badan formal yang terdiri daripada semua doktor dan sarjana, termasuklah graduan dalam sesetengah konteks. Sebagai contoh, Universiti Oxford mentafsirkan konvokesyen sebagai badan pentadbir yang dianggotai oleh semua doktor dan sarjana universiti. Peranannya kemudian beralih daripada tadbir urus harian kepada fungsi yang lebih bersifat upacara apabila model pentadbiran universiti menjadi semakin moden.

Suasana konvokesyen yang bersifat istiadat dan terbuka kepada khalayak seperti perarakan, pemakaian jubah, penganugerahan ijazah dan perhimpunan rasmi, berkembang dengan lebih tersusun apabila universiti mula memperkenalkan majlis graduasi dan penganugerahan ijazah secara formal. Pengenalan jubah dan hud sejak abad ke-12 hingga abad ke-14 yang pada awalnya digunakan untuk tujuan praktikal menghangatkan tubuh, kemudiannya telah berkembang menjadi simbol status dan perpaduan ilmiah.

Di Universiti Toronto, dewan konvokesyen yang dibina pada tahun 1906 berfungsi sebagai pusat simbolik majlis graduasi dan warisan kolektif universiti. Dalam konteks moden, khususnya di Amerika Utara dan negara Komanwel, konvokesyen lazimnya merujuk upacara penganugerahan ijazah dan perayaan graduan. Di Kanada dan kebanyakan institusi lain, konvokesyen turut merangkumi perhimpunan alumni atau majlis rasmi graduan yang berfungsi sebagai badan pentadbir alumni.

Walau bagaimanapun, adaptasi serantau telah mencerminkan sejarah yang berbeza. Sebagai contoh, majlis konvokesyen di Universiti Malaya yang bermula sejak tahun 1950-an telah dihadiri oleh tokoh kenamaan negara. Hal ini menunjukkan hubungan antara universiti dengan budaya kebangsaan. Pada masa yang sama, kebanyakan universiti di Malaysia mengamalkan pakaian akademik tradisional berasaskan gaya British dan elemen upacara yang disesuaikan dengan konteks tempatan, pakaian adat serta amalan budaya.

Graduan tempatan memakai topi mortar, jubah dan hud konvokesyen seperti yang dipakai oleh para sarjana semasa Zaman Pertengahan Eropah. Pakaian ini sarat dengan nilai sejarah kerana melambangkan pencapaian akademik, kesinambungan komuniti ilmiah dan peralihan penting pendidikan melalui pengijazahan. Topi mortar melambangkan status keilmuan seseorang graduan, manakala jubah dan hud membezakan tahap pendidikan ijazah serta bidang pengajian masing-masing.

Majlis konvokesyen bukan sekadar upacara simbolik atau formaliti semata-mata, sebaliknya mempunyai makna yang lebih mendalam sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan. Ahli keluarga dan insan tersayang berpeluang untuk berkongsi perasaan syukur dan bangga atas segala usaha yang telah dicurahkan untuk membantu graduan mengecapi kejayaan bergraduasi. Hal ini demikian kerana mereka sanggup berkorban masa, tenaga dan kewangan demi membantu graduan menamatkan pengajian dengan cemerlang. Perkara ini menjadikan majlis konvokesyen sebagai detik penghargaan dan ucapan terima kasih yang bermakna. Tanpa upacara ini, pengajian mungkin berlalu dan tamat begitu sahaja tanpa penutup yang jelas. Walaupun nilai sebenar konvokesyen bukan terletak pada keindahan acara, tetapi makna di sebalik majlis yang melambangkan pengiktirafan terhadap usaha pelajar, keluarga, pensyarah dan rakan yang menjadi tulang belakang kejayaan tersebut, wajar diraikan bersama.

Di samping itu, pelaksanaan konvokesyen menandakan secara jelas bahawa satu bab kehidupan telah berakhir dan bab kehidupan baharu akan bermula. Upacara seperti mengenakan jubah, melangkah ke pentas dan memindahkan jumbai pada topi mortar, melambangkan peralihan kehidupan seorang pelajar kepada kehidupan orang dewasa dalam dunia profesional. Ahli antropologi, Arnold van Gennep, membahagikan proses peralihan kepada tiga tahap, iaitu pemisahan, liminal atau keadaan antara dua status dan penggabungan semula dengan status baharu.

Dalam konteks konvokesyen, pemakaian jubah di pentas semasa menerima segulung ijazah berfungsi sebagai simbol pemisahan daripada status pelajar untuk memasuki fasa liminal yang berakhir dengan pengiktirafan rasmi sebagai graduan. Upacara ini bukan sahaja meraikan perubahan, tetapi juga membentuk realiti sosial dan psikologi yang bermaksud, pengiktirafan secara sah dan lengkap. Apabila majlis konvokesyen tidak diadakan, perubahan tersebut mungkin terasa tidak rasmi atau tidak selesai sehingga menyebabkan graduan berasa seolah-olah masih berada dalam keadaan antara dua status. Selain itu, konvokesyen turut memperkukuh identiti dan rasa kebersamaan graduan sebagai individu dan satu komuniti yang melalui perubahan bersama-sama.

Kelazimannya, graduan menerima jambangan bunga sebagai hadiah semasa hari konvokesyen. Pemberian bunga ini melambangkan usaha, ketabahan dan pertumbuhan pelajar sepanjang perjalanan akademik mereka kerana kuntumannya berkembang mekar selepas melalui pelbagai cabaran. Dari bilik kuliah ke dewan konvokesyen, benih harapan pelajar untuk meraih ilmu akhirnya berkembang menjadi satu pencapaian yang mekar dan membanggakan. Bunga diumpamakan proses menuntut ilmu yang bermula dengan langkah kecil, disusuli oleh cabaran, kerja keras dan kekecewaan, sebelum akhirnya meraksi mekar sebagai tanda kejayaan. Setiap kuntum membawa makna dan pengajaran. Apabila memasuki dunia pekerjaan, bunga itu mengingatkan graduan bahawa mereka telah matang dan bersedia untuk menghadapi cabaran baharu kehidupan.

Natijahnya, graduan hendaklah menjadikan majlis konvokesyen sebagai detik bersejarah dalam hidup untuk diraikan bersama-sama dengan insan tersayang. Setiap insan ini wajar diraikan dan dihargai kerana mereka merupakan tulang belakang yang telah banyak berkorban, menyokong dan mendoakan graduan demi meraih kejayaan bergraduasi dan menyambut hari konvokesyen. Selamat maju jaya diucapkan kepada semua graduan dan semoga majlis konvokesyen menjadi pembakar semangat untuk graduan melangkah dengan lebih cemerlang dalam dunia pekerjaan.

Profesor Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, merupakan pensyarah di Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi