Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPermainan digital kini lebih daripada sekadar hiburan kerana telah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian kanak-kanak dan remaja. Melalui pengalaman ini, mereka bukan sahaja belajar dan berinteraksi, namun membentuk identiti diri dalam ruang maya yang kompleks. Setiap pengalaman digital memberikan kesan mendalam terhadap perkembangan sosial, kognitif dan emosi mereka, sekali gus menjadikan permainan sebagai medium pembelajaran yang mampu mempengaruhi kesejahteraan secara menyeluruh.
Walaupun permainan digital menawarkan pelbagai manfaat, namun permainan ini juga membawa risiko yang tidak boleh diabaikan. Kebimbangan terhadap keselamatan kanak-kanak dan remaja semakin meningkat, terutamanya selepas perbincangan di parlimen baru-baru ini mengenai populariti permainan digital. Ibu bapa dan guru turut gusar tentang ketiadaan mekanisme pengawalan umur yang berkesan serta kemungkinan pendedahan kepada kandungan berbahaya.
Keprihatinan ini menekankan perlunya pemahaman yang lebih mendalam terhadap cara golongan muda ini menggunakan permainan digital serta implikasinya terhadap perkembangan mereka dalam jangka panjang. Memahami cabaran ini menjadi langkah penting bagi memastikan pengalaman digital mereka bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga selamat dan membina.
Tahap Keterlibatan Remaja dalam Permainan Digital
Keprihatinan terhadap risiko permainan digital dapat difahami dengan lebih jelas melalui data terkini mengenai tahap keterlibatan remaja. Menurut laporan World Health Organization (WHO), 34 peratus remaja bermain permainan digital setiap hari, manakala 22 peratus menghabiskan sekurang-kurangnya empat jam sehari untuk bermain. Majoriti remaja, iaitu 68 peratus menikmati permainan digital tanpa menghadapi masalah, manakala kira-kira 12 peratus pula tergolong dalam kumpulan yang berisiko menghadapi masalah permainan. Statistik ini menonjolkan cabaran sebenar dunia permainan digital dan menegaskan kepentingan pemantauan serta intervensi yang sesuai.
Remaja yang tergolong dalam kumpulan berisiko menunjukkan kawalan kendiri yang lemah apabila mengutamakan permainan digital berbanding dengan aktiviti harian yang lain. Mereka juga akan terus bermain walaupun menghadapi kesan negatif daripada aktiviti tersebut. Dapatan ini memberikan perspektif penting dalam memahami implikasi permainan digital terhadap kesejahteraan kanak-kanak dan remaja, baik pada peringkat nasional mahupun global. Keadaan ini juga menekankan kepentingan menetapkan standard industri yang kukuh untuk melindungi golongan muda daripada risiko, sejajar dengan usaha memastikan pengalaman digital mereka bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga selamat dan membina.


Dunia Permainan yang Semakin Kompleks
Kanak-kanak dan remaja kini berinteraksi dengan permainan yang jauh lebih kompleks berbanding dengan permainan tradisional. Mereka bukan sekadar menamatkan misi tetapi membina strategi, bekerjasama dalam komuniti maya dan membentuk identiti digital. Kompleksiti ini membuka peluang kepada mereka untuk berkreativiti dan bekerjasama, namun pada masa yang sama turut memperlihatkan risiko yang sukar dikesan oleh ibu bapa. Tanpa panduan dan kawalan yang jelas, kanak-kanak dan remaja mungkin berisiko untuk mendapat tekanan, tingkah laku yang kurang sihat serta ketagihan.
Oleh itu, peranan ibu bapa, pendidik dan masyarakat menjadi semakin penting untuk membimbing kanak-kanak dan remaja untuk mengemudi dunia digital. Presiden Malaysia Digital Association (MDA) dan Ahli Majlis Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), Encik Nicholas Sagau menegaskan bahawa, “Permainan digital berpotensi menyemai kreativiti, kerjasama berpasukan dan penyelesaian masalah dalam kalangan remaja. Namun begitu, tanpa tadbir urus yang tepat, permainan ini juga boleh mendedahkan mereka kepada risiko yang menjejaskan manfaat tersebut.”
Permainan sebagai Medium Pendidikan dan Nilai Sosial
Dengan bimbingan yang betul daripada ibu bapa dan pendidik, permainan digital bukan sahaja selamat, malah berpotensi menjadi medium pendidikan yang efektif. Reka bentuk permainan yang bertanggungjawab boleh mendorong mereka untuk bekerjasama, menyelesaikan masalah dan memahami norma sosial. Permainan yang memberikan ganjaran kepada tindakan positif juga menggalakkan empati dan kesedaran sosial, menjadikannya lebih daripada sekadar hiburan.
Dalam hal ini, pendidik memainkan peranan penting untuk memperkukuh pengalaman ini. Sekolah boleh menyokong literasi digital, membantu pelajar memahami risiko dan peluang dalam permainan, serta membina kemahiran menilai maklumat, berinteraksi secara bertanggungjawab dan bertindak secara beretika. Namun begitu, keberkesanan pengalaman ini juga bergantung pada industri permainan yang mesti mengambil tanggungjawab dalam membina persekitaran digital yang selamat dan mendidik.
Tanggungjawab Industri Permainan
Seiring dengan peranan pendidik, industri permainan turut memikul tanggungjawab besar terhadap keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak dan remaja. Setiap keputusan mengenai reka bentuk, interaksi dan mekanisme permainan memberikan impak langsung kepada pengalaman kanak-kanak dan remaja. Tanggungjawab sosial bukan sekadar pilihan tetapi keperluan yang mesti diutamakan sejak peringkat pembangunan permainan.
Reka bentuk yang bertanggungjawab harus mengambil kira keselamatan kanak-kanak dan remaja sejak awal pembangunan. Sistem kawalan umur, tetapan privasi yang jelas dan mekanisme pengurusan masa bermain bukan sekadar ciri teknikal, namun elemen kritikal yang menyokong pengalaman digital yang sihat. Dengan pendekatan ini, permainan bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga membina kemahiran sosial dan nilai empati.
Di samping itu, ibu bapa turut memainkan peranan pelengkap yang penting. Dengan menetapkan had masa bermain, memahami risiko dan mendampingi interaksi digital anak-anak, mereka dapat memastikan pengalaman bermain lebih selamat. Pendekatan ini bukan sahaja membolehkan ibu bapa mengawasi, malah menjadikan mereka rakan panduan yang aktif dalam menyokong perkembangan digital anak-anak.
Cabaran dan Peluang Industri
Peranan ibu bapa yang aktif juga menyorot cabaran besar yang dihadapi oleh industri permainan dalam menyeimbangkan inovasi dan keselamatan. Kanak-kanak menginginkan pengalaman kreatif, manakala ibu bapa dan masyarakat pula menuntut perlindungan yang lebih baik. Cabaran ini bukan sahaja bersifat teknikal, malah melibatkan aspek etika dan sosial.
Walau bagaimanapun, cabaran ini turut membuka pelbagai peluang kepada industri permainan untuk mengambil pendekatan bertanggungjawab sebagai kelebihan yang kompetitif. Dengan langkah ini, syarikat bukan sahaja menunjukkan inovasi, malah prihatin terhadap kesejahteraan generasi muda, sekali gus menyumbang kepada pengalaman digital yang lebih selamat dan bermakna.
Pengalaman digital yang selamat membolehkan generasi muda mempelajari pengurusan masa, mengenal pasti kandungan yang sesuai dan membuat keputusan secara bijak. Panduan praktikal daripada ibu bapa dan pendidik seterusnya membina kesedaran serta kemahiran membuat keputusan yang penting untuk kehidupan mereka.
Keselamatan sebagai Tanggungjawab Bersama
Keselamatan dalam permainan digital merupakan tanggungjawab kolektif daripada semua pihak berkepentingan. Risiko yang dihadapi merangkumi kandungan, interaksi dan masa bermain yang tidak boleh ditangani secara individu. Dengan pendekatan bersepadu, piawaian dan amalan terbaik dapat dibangunkan secara kolektif untuk melindungi generasi muda dan memastikan pengalaman digital memberikan manfaat.
Ketua Pegawai Eksekutif CMCF, Puan Mediha Mahmood menekankan bahawa “Syarikat permainan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan pengalaman digital kanak-kanak dan remaja selamat, menyeronokkan dan membina kemahiran. Pengurusan yang bertanggungjawab menunjukkan bahawa industri mengambil kesejahteraan dengan serius dan boleh dipercayai untuk bertindak dengan penuh tanggungjawab.”
Pendekatan bersepadu ini membuka ruang untuk sesi dialog antara semua pihak berkepentingan serta membolehkan perspektif dan kepakaran berbeza digabungkan bagi membina pengalaman digital yang lebih selamat, beretika dan bermakna bagi kanak-kanak serta remaja. Hal ini menegaskan bahawa keselamatan digital bukan tanggungjawab individu sahaja, malah tanggungjawab bersama yang memerlukan penglibatan aktif setiap pihak.
Membina Masa Hadapan yang Selamat
Masa hadapan permainan digital bergantung pada sejauh mana industri dan masyarakat dapat bekerjasama secara berkesan. Industri perlu menerajui pembangunan permainan digital yang selamat dan bertanggungjawab, manakala komuniti pula berperanan menyokong pembelajaran digital serta membimbing generasi muda. Dengan kerjasama ini, permainan digital mampu menjadi pengalaman yang selamat, mendidik serta membina nilai sosial dan emosi. Selain menjadi medium pembelajaran, permainan digital juga dapat memperkasakan generasi muda sambil melindungi mereka daripada risiko dalam talian. Dengan komitmen bersama, pengalaman digital dapat memupuk kreativiti, empati dan kemahiran sosial serta menjadikan dunia maya sebagai ruang pembangunan dan pembelajaran yang bermakna, bukannya ancaman.
Dengan komitmen kukuh daripada semua pihak, permainan digital dapat menjadi ruang pendidikan, pembelajaran nilai dan pembangunan sosial yang memberikan manfaat jangka panjang kepada generasi akan datang.