Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangApabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump melangkah keluar dari pesawatnya dengan gerak tubuh yang penuh gaya, dunia tahu bahawa sesuatu sedang dipentaskan. Trump tidak sekadar tiba di Malaysia untuk Sidang Kemuncak ASEAN semata-mata. Hal ini dikatakan demikian kerana Trump turut hadir sebagai simbol kuasa yang masih menuntut perhatian dunia.
Di hadapan kamera, Trump menari kecil, menyapa dan tersenyum; satu gerak yang seolah-olah memberitahu dunia bahawa karismanya belum pudar. Di sisi lain, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyambut Trump dengan langkah tenang, senyuman sederhana dan bahasa tubuh yang penuh keseimbangan. Tiada reaksi yang berlebihan, tiada keterujaan yang dibuat-buat, sebaliknya hanya ketenangan yang terpamer seperti mana sambutan terhadap pemimpin dari negara lain sebelum ini.
Rakaman singkat itu menjadi tular dalam media sosial. Di ruang maya yang dipenuhi jenaka dan tafsiran spontan, pertemuan kedua-dua pemimpin ini segera menjelma sebagai naratif politik global, iaitu kisah yang mempertemukan dua dunia, iaitu kuasa populisme Barat yang hidup daripada citra dan kuasa moral Asia yang lahir daripada nilai. Situasi ini memperlihatkan politik antarabangsa kini bukan lagi sekadar urusan diplomasi tertutup sebaliknya sebagai pertarungan terbuka dalam ruang persepsi dan makna.
Trump ialah tokoh yang memahami kuasa naratif dalam era media baharu. Beliau mencipta cerita dengan bahasa tubuhnya, bahkan setiap gaya, setiap ucapan, dan setiap tarian kecil menjadi strategi komunikasinya untuk menarik perhatian dunia agar terus berbicara tentang personalitinya. Itulah karisma yang ada padanya tanpa perlu berucap berapi-api seperti sesetengah pemimpin Asia.
Dalam politik global yang didominasi oleh imej kini, Trump tidak sekadar berpolitik; tetapi turut bercerita. Naratifnya pasti menyentuh keangkuhan AS tentang kebanggaan, kejayaan dan penegasan bahawa dunia masih perlu berputar di sekitar Washington. Bahkan Trump terus membentuk ruang makna global melalui politik populis dan media digital yang sentiasa memerlukan wira dan musuh.
Sebaliknya, Dato’ Seri Anwar hadir dengan naratif yang berbeza. Naratifnya bukan tentang kekuasaan, tetapi tentang makna kuasa itu sendiri. Dalam setiap pertemuan antarabangsa, beliau membawa imej Malaysia sebagai suara yang menjambatani antara Timur dengan Barat, serta Utara dengan Selatan. Dato’ Seri Anwar berbicara bukan untuk menegaskan kehebatan negara, malah lebih jauh lagi untuk membina kefahaman bahawa dunia yang adil mesti berpaksikan kesaksamaan dan hikmah, bukannya mengutamakan nilai hegemoni semata-mata.
Dalam konteks inilah pertemuan beliau dengan Trump harus dibaca bukan sebagai episod protokol, malah lebih jauh lagi sebagai naratif tentang kaedah yang diperlukan untuk berunding dalam konteks makna baharu sebuah kuasa. Dalam dunia yang mengutamakan hegemoni, naratif menjadi senjata utama. Negara yang mampu menulis dirinya sendiri akan bertahan, sebaliknya yang membiarkan orang lain menulis tentang mereka pula akan tenggelam.
Maka itu, Malaysia cuba menempatkan diri bukan sebagai kuasa besar, tetapi sebagai kuasa yang memahami bahasa dunia baharu pada masa ini. Dunia yang tidak lagi diatur sepenuhnya oleh ketenteraan dan ekonomi, tetapi dengan keupayaan dalam membentuk persepsi, moral dan cerita.
Trump “berjoget” sebaik-baik sahaja tiba di lapangan terbang kerana beliau tahu bahawa dunia sedang menonton. Akan tetapi, Perdana Menteri tidak meniru, dan pada masa yang sama juga tidak menolak. Beliau memilih rentak sendiri dengan langkah kecil yang penuh makna, dengan menandakan keseimbangan antara keramahan diplomatik dengan ketegasan prinsip.
Dalam naratif politik global, tindakan kecil seperti ini tidak remeh kerana mampu menentukan posisi dan imej negara. Malaysia menerusi acuan Perdana Menteri, tidak lagi sekadar pengikut arus lebih jauh lagi sebagai pemain yang memahami bahawa diplomasi moden merupakan seni menulis naratif yang meyakinkan dunia.
Namun begitu, seperti yang sering berlaku, makna sesuatu peristiwa kini tidak lagi ditentukan oleh peristiwa yang berlaku di tempat kejadian, namun lebih jauh lagi tentang sesuatu kaedah itu diterjemahkan ke dalam ruang digital.
Tularnya sesuatu perkara dalam media sosial kini mencipta medan naratif sejagat, iaitu sebuah ruang yang memperlihatkan reputasi dan persepsi terbina bukan daripada ucapan rasmi, tetapi daripada klip video ringkas dan komen oleh pelayar media sosial.
Pertemuan Trump dengan Perdana Menteri tidak terkecuali dalam menerima tempias itu. Dalam beberapa jam sahaja, pelbagai tafsiran muncul — ada yang melihatnya sebagai simbol kemesraan global, ada yang tertawa, ada juga yang menilainya dari sudut kuasa dan pengaruh.
Yang menariknya, naratif tentang Perdana Menteri tidak tenggelam dalam gelombang itu. Sebaliknya diperkuatkan dan di tengah-tengah dunia yang sinis terhadap politik, langkah kecil beliau dibaca sebagai tanda kepimpinan yang tenang dan matang — satu gaya yang kontras dengan politik agresif dan elemen populisme yang diwakili oleh Trump. Oleh itu, di sinilah keupayaan naratif Malaysia terserlah, yakni menonjolkan kebolehan memindahkan makna daripada tontonan kepada tafsiran, dan daripada hiburan kepada suatu hikmah.
Kedua-dua tokoh ini berdiri di hujung spektrum naratif dunia. Trump melambangkan dunia lama yang memuja dominasi — dunia yang yakin bahawa kekuatan fizikal dan karisma individu mampu menundukkan sistem global. Dato’ Seri Anwar pula mewakili dunia baharu yang percaya pada hikmah, kesantunan dan dialog antarabangsa.
Jika Trump mewakili semangat America First, maka Dato’ Seri Anwar pula terus membawa mesej kemanusiaan sejagat. Bahkan antara kedua-duanya terbentang jurang makna yang luas, iaitu jurang yang kini menjadi medan utama pertarungan global.
Pertemuan ini juga harus dilihat dalam konteks perubahan geopolitik yang lebih besar. Dunia kini bergerak ke arah multipolar apabila satu struktur yang menyaksikan kuasa tersebar antara blok dengan wilayah, malah turut melibatkan BRICS, ASEAN dan Dunia Selatan yang kini muncul sebagai kuasa naratif alternatif dan mampu mencabar dominasi Barat.
Malaysia, sebagai negara kecil dengan sejarah diplomasi berprinsip, berpotensi menjadi jambatan makna antara dua dunia ini. Perdana Menteri mungkin menyedari bahawa dalam dunia yang semakin dipengaruhi oleh citra dan naratif, kekuatan sebenar tidak hanya terletak pada kekuasaan mutlak, sebaliknya menerusi keupayaan menulis kisah yang boleh dipercayai.
Dalam hal ini, Malaysia tidak boleh sekadar menjadi pentas kepada cerita orang lain kerana harus menjadi penulis kepada kisahnya sendiri kisah tentang sebuah negara kecil yang berani berdiri di tengah arus besar dengan identiti yang berpaksikan nilai dan moral.
Pertemuan Dato’ Seri Anwar-Trump membuktikan bahawa dalam dunia yang dibentuk oleh persepsi, langkah kecil boleh menjadi simbol besar yang menandakan bahawa diplomasi kini bukan lagi tentang siapa yang lebih kuat, tetapi menonjolkan siapa yang lebih difahami.
Naratif global sedang berubah. Dunia tidak lagi melihat kekuatan semata-mata sebagai ukuran kepimpinan, tetapi keupayaan dalam memberikan sesuatu makna. Malaysia melalui Dato’ Seri Anwar sedang menulis dirinya dalam bab baharu dunia — dunia yang menyaksikan nilai, empati dan moral dan tidak lagi berpaksikan aksesori politik bagi membentuk kuasa baharu.
Dalam konteks ini, pertemuan Trump–Dato’ Seri Anwar menjadi metafora kepada peralihan zaman, iaitu daripada politik dominasi kepada politik makna. Akhirnya, pertemuan itu mengingatkan kita bahawa kuasa hari ini bukan lagi hanya soal individu yang memerintah, tetapi melibatkan individu yang menguasai cerita pada peringkat global.
Trump berjoget untuk menegaskan kehadirannya di Asia; manakala Perdana Menteri pula beraksi untuk menegaskan sesuatu makna. Dari satu pihak dilihat berasaskan hiburan, manakala daripada satu pihak lagi berasaskan kesedaran.
Pada hakikatnya, dalam dunia yang semakin haus terhadap makna, tafsiran sentiasa hidup lebih lama daripada elemen sensasi. Malaysia bukan cerminan kuasa besar, tetapi dalam medan naratif sejagat, kita berpotensi menjadi suara yang menenangkan dunia yang semakin hingar bingar, iaitu dunia yang masih mencari kisah baharu untuk dipercayai.
Penulis ialah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa dan mantan pensyarah di Universiti Selangor.