Diterbitkan pada 2 Disember 2025, 17:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau — Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis mengambil langkah memperkukuh ekosistem akademik dan penyelidikannya melalui kunjungan rasmi Dekan Fakulti Sains Gunaan (FSG) UiTM, YBrs. Profesor Dr. Mohd. Rozi Ahmad, dalam satu sesi libat urus yang menekankan penyelarasan akademik, pengukuhan budaya kerja serta pemerkasaan penyelidikan bagi menyokong pembangunan bakat STEM negara.

Dalam sesi tersebut, Profesor Dr. Mohd. Rozi memberikan penekanan kepada beberapa isu kritikal, antaranya termasuklah profesionalisme pensyarah, kemerosotan pengambilan pelajar bidang STEM, integriti organisasi dan pengukuhan kerjasama penyelidikan antara kampus.

Beliau menegaskan kepentingan kefahaman pensyarah terhadap empat trek kerjaya utama, iaitu pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, kepimpinan institusi dan trek pengamal industri.

“Kita mahu semua pensyarah memahami peranan dan sasaran setiap trek agar perkembangan kerjaya dapat dirancang secara lebih strategik,” jelasnya.

Mengulas isu penurunan penyertaan pelajar dalam bidang STEM, beliau menyifatkan situasi itu sebagai memberikan impak langsung terhadap kelangsungan program fakulti.

“Pengurangan pelajar STEM memberikan implikasi besar kepada operasi fakulti. Kita perlu mempergiat promosi STEM secara kreatif agar pelajar melihat masa hadapan dalam bidang ini,” jelas beliau lagi.

Beliau turut menekankan aspek integriti, khususnya isu budaya buli dalam kalangan staf yang menurutnya tidak boleh dikompromi.

“Budaya buli tidak boleh diterima dalam mana-mana organisasi. Persekitaran kerja harus kekal profesional, selamat dan saling menyokong,” tegasnya.

Selain itu, beliau turut menggesa pengukuhan penyelidikan bersama antara FSG UiTM Shah Alam dengan UiTM Cawangan Perlis.

“Kita mahu menggerakkan lebih banyak penyelidikan bersama, permohonan geran, penulisan bersama serta program pembangunan komuniti. Kekuatan FSG Perlis boleh digembleng untuk memberikan impak yang lebih besar,” ujarnya.

Hal Ehwal Akademik FSG, YBrs. Dr. Fadilah Lamun@Jailani, turut menjelaskan hala tuju akademik fakulti meliputi pelan jangka masa pendek dan panjang.

Untuk jangka masa pendek, fakulti memberikan tumpuan kepada semakan kurikulum, pemurnian pelan pengajian, peluasan promosi program dan semakan syarat kemasukan bagi memastikan kesesuaian dengan keperluan semasa.

“Struktur akademik perlu diperkemas, promosi diperluas, dan syarat kemasukan diteliti agar program lebih berdaya saing,” katanya.

Bagi jangka masa panjang, beliau menyatakan hasrat untuk memperkukuh penawaran Massive Open Online Course (MOOC), Micro-Credentials (MC) dan Stand-Alone Micro-Credentials (SAMC) sebagai tambahan nilai kepada kebolehpasaran graduan.

“Kita harus menggerakkan penstrukturan program dan memperkasakan penawaran kursus terbuka dan fleksibel sebagai kelebihan kompetitif graduan,” katanya.

Sesi libat urus itu diakhiri dengan lawatan rasmi Dekan dan Pengurusan Kanan FSG ke Makmal Sains di Kompleks STAR bagi meninjau fasiliti, peralatan penyelidikan serta potensi penambahbaikan dalam sokongan kepada pengajaran, pembelajaran dan aktiviti penyelidikan.

Kredit Foto: FSG, UiTM Cawangan Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi