Diterbitkan pada 4 Disember 2025, 17:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis menerima kunjungan delegasi Universitas Airlangga (UNAIR), Indonesia.

Arau — Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis menerima kunjungan delegasi Universitas Airlangga (UNAIR), Indonesia, dalam usaha memperkukuh jaringan penyelidikan merentas bidang yang menyokong perkembangan sains, teknologi serta pembangunan serantau.

Lawatan rasmi itu disertai siri perbincangan strategik bertempat di Bilik Mesyuarat Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri (PJI), UiTM Cawangan Perlis, dengan fokus kepada pelaksanaan kerjasama berasaskan Memorandum Persefahaman (MoU) sedia ada antara kedua-dua institusi.

Antara bentuk kerjasama yang diperincikan termasuklah pembangunan geran padanan (matching grant), penyertaan sebagai rakan kolaborator dalam penganjuran The International Innovation, Invention and Articulation 2027 (i-IDeA 2027) serta pelibatan penyelidik UiTM dalam program Summer School dan International Conference of the Postgraduate School (ICPS) anjuran UNAIR.

Perbincangan turut menekankan kepentingan penyelidikan berimpak tinggi yang mengintegrasikan teknologi terkini seperti analisis data, inovasi reka bentuk dan penyelesaian saintifik berasaskan komuniti bagi menyokong agenda pembangunan mampan pada peringkat serantau dan global.

Koordinator Unit Perundingan, Inovasi dan Kepakaran (UPIK), UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Puan Nur Syafiqah Rahim, berkata bahawa kerjasama rentas negara seumpama itu boleh memperkukuh ekosistem inovasi serta memastikan aktiviti penyelidikan kekal relevan.

Kerjasama dengan UNAIR membuka ruang yang luas kepada para penyelidik kita untuk meneroka aplikasi teknologi baharu dalam bidang seperti kesihatan, alam bina dan komuniti,” katanya.

Melalui jaringan saintifik ini, kita bukan hanya berkongsi kepakaran tetapi turut membina penyelesaian inovatif yang relevan dengan keperluan serantau,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Timbalan Rektor PJI, YBrs. Profesor Madya Dr. Wan Izhan Nawawi Wan Ismail, menyifatkan kunjungan tersebut sebagai perkembangan penting dalam usaha pengantarabangsaan UiTM.

UNAIR merupakan rakan strategik yang aktif dalam penyelidikan berasaskan teknologi dan komuniti. Dengan memanfaatkan MoU yang ada, kita dapat memperluas kolaborasi global, mengukuhkan mobiliti akademik dan menjana penyelidikan dengan impak saintifik lebih besar,” katanya.

Delegasi UNAIR yang diketuai YBrs. Dr. Hijrah Saputra, bersama-sama dengan YBrs. Dr. Wahyu Aditama Putra Mukti Wibawa dan YBrs. Dr. Hariyono dari Sekolah Pascasarjana Universitas Airlangga.

Yang turut hadir dalam sesi itu ialah barisan penyelidik dan pentadbir UiTM Cawangan Perlis antaranya termasuklah Dr. Ahmad Suhail Khazali, Sr. Dr. Khairulazhar Zainuddin, Dr. Faradina Marzuki, Dr. Mimi Diana Ghazali, serta Penolong Pendaftar Kanan PJI, Puan Nor Shida Hussain.

Kerjasama berterusan antara UiTM Cawangan Perlis dengan UNAIR diharap menjadi pemangkin kepada projek penyelidikan jangka masa panjang yang mengintegrasikan sains, teknologi dan inovasi, sekali gus mengukuhkan kedudukan kedua-dua institusi sebagai pusat penyelidikan serantau yang kompetitif pada peringkat global.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi