Diterbitkan pada 4 Disember 2025, 19:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 2025 yang berlangsung pada 29 November 2025 lepas telah mencatatkan beberapa sejarah baharu dalam landskap politik negeri tersebut, selain daripada menjadi medan pertempuran untuk menentukan parti yang mana akan memegang tampuk pemerintahan negeri buat lima tahun berikutnya. PRN kali ini telah memperlihatkan peningkatan yang ketara baik dari segi penyertaan parti-parti politik yang ikut bertanding selain daripada calon-calon yang turun bertanding berbanding dengan PRN 2020. Makalah ini bertujuan untuk memberikan perincian mengenai PRN 2025, dan dalam masa yang sama cuba untuk memberikan gambaran menyeluruh tentang dinamika demografi calon, taburan parti, dan tahap penyertaan pengundi di Sabah berdasarkan kaca mata anak tempatan Sabah yang memerhati perkembangan politik negeri di Bawah Bayu ini dari luar.

SPR menjadi nadi penting dalam menentukan mana-mana pilihan raya di negara ini.

PRN Ke-17 Sabah ini telah mencatatkan keputusan yang menarik dengan pertandingan sengit antara pelbagai parti politik dan calon-calon bebas. PRN kali ini mencatatkan penyertaan sebanyak 596 calon daripada 23 parti-parti politik dan calon bebas telah bertanding merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. Pilihan raya kali ini menyaksikan persaingan hebat terutamanya antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (WARISAN) yang kedua-duanya berjaya memperoleh jumlah kerusi yang banyak berbanding dengan parti lain seperti Parti Islam Se-Malaysia (PIS), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Perpaduan, Parti Bumi Kenyalang (PBK), Gagasan, Parti Bersama (BERSAMA), Sabah Progressive Party (SPP), Parti Kita Sabah (PKS), Parti Persatuan Rakyat Sabah (PPRS), United Sabah National Organisation (USNO), Parti Cinta Sabah (PCS), Pertubuhan Kebangsaan Anak Negeri (ANAKNEGERI), Sabah People’s Front (Aspirasi), Parti Bumi Maju (PBM), Sabah Alliance for Peoples Party (SAPP), dan Gabungan Anak Sabah (GAS), tetapi malangnya, tidak mencapai majoriti mudah yang diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri secara sendirian.

Bilangan Kerusi yang Diperoleh Parti Politik

Berdasarkan keputusan rasmi yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, taburan kerusi yang dimenangi oleh parti-parti yang bertanding dalam PRN kali ini adalah seperti berikut:

  • Gabungan Rakyat Sabah (GRS): 29 kerusi (penurunan sembilan kerusi berbanding dengan PRN 2020).
  • WARISAN: 25 kerusi, (peningkatan 11 kerusi berbanding dengan PRN 2020).
  • Barisan Nasional (BN): enam kerusi (penurunan satu kerusi berbanding dengan PRN 2020).
  • Calon Bebas (BEBAS): lima kerusi.
  • Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO): tiga kerusi.
  • STAR SABAH: dua kerusi (peningkatan satu kerusi berbanding dengan PRN 2020).
  • Parti Kerjasama Anak Negeri (KDM): satu kerusi.
  • Perikatan Nasional (PN): satu kerusi
  • Pakatan Harapan (PH): satu kerusi (penurunan enam kerusi berbanding dengan PRN 2020).

Majoriti mudah yang diperlukan untuk membentuk kerajaan ialah sebanyak 37 kerusi daripada 73 kerusi yang dipertandingkan, manakala majoriti dua pertiga memerlukan sebanyak 49 kerusi.

Majoriti Kemenangan Tertinggi dan Terendah

Majoriti kemenangan tertinggi telah dicatatkan di kawasan N.66 Bugaya oleh Jamil Hamzah daripada parti WARISAN dengan majoriti sebanyak 10,046 undi. Beliau memperoleh sejumlah 13,414 undi, menunjukkan sokongan yang sangat kuat daripada pengundi di kawasan tersebut manakala majoriti kemenangan terendah pula dicatatkan di kawasan N.17 Darau apabila Azhar bin Matussin daripada parti WARISAN menang dengan majoriti yang sangat tipis, iaitu hanya dengan majoriti 63 undi. Beliau memperoleh sekitar 8,360 undi, yang yang menyaksikan persaingan yang sangat sengit di kawasan berkenaan.

Bilangan dan Peratusan Undi mengikut Parti (Lima Teratas)

Dari segi jumlah undi yang diperoleh, lima parti teratas adalah seperti yang berikut:

  1. WARISAN: 288,703 undi (59.29 peratus).
  2. GRS: 286,389 undi (58.81 peratus).
  3. BN: 144,584 undi (29.69 peratus).
  4. PH: 75,938 undi (15.59 peratus).
  5. STARSABAH: 73,410 undi (15.08 peratus).

Walaupun parti WARISAN berjaya memperoleh jumlah undi yang lebih tinggi berbanding dengan GRS, tetapi parti GRS berjaya memenangi lebih banyak kerusi berbanding dengan mana-mana parti dalam PRN kali ini. Situasi ini menunjukkan bahawa pengagihan undi yang dirancang secara lebih berkesan dijalankan oleh GRS di kawasan-kawasan yang dipertandingkan.

Bilangan dan Peratusan Undi mengikut Kerusi yang Dimenangi (Lima Teratas)

Bagi parti-parti bertanding yang berjaya memenangi kerusi, lima parti teratas dari segi peratusan undi adalah seperti yang berikut:

  1. GRS: 183,307 undi (37.64 peratus).
  2. WARISAN: 182,567 undi (37.49 peratus).
  3. BN: 31,711 undi (6.51 peratus).
  4. UPKO: 29,332 undi (6.02 peratus).
  5. STARSABAH: 21,941 undi (4.51 peratus).

Dapat dilihat dari segi pungutan undi, kedua-dua parti GRS dan WARISAN bersaing secara sengit untuk mendapatkan undi penduduk tempatan pada PRN kali ini. Ini dibuktikan dengan perbezaan yang sangat kecil,iaitu sekitar 0.15 untuk kedua-dua parti tersebut.

Jumlah Kerusi yang Dipertandingkan dan Dimenangi

Analisis mengenai bilangan kerusi yang dipertandingkan berbanding dengan kerusi yang dimenangi menunjukkan strategi dan keberkesanan setiap parti seperti yang berikut:

  • WARISAN: 73 kerusi dipertandingkan, memenangi sebanyak 25 kerusi.
  • Calon Bebas: 74 kerusi dipertandingkan, memenangi sebanyak lima kerusi .
  • GRS: 55 kerusi dipertandingkan, memenangi sebanyak 29 kerusi
  • BN: 45 kerusi dipertandingkan, memenangi sebanyak enam kerusi
  • STARSABAH: 46 kerusi dipertandingkan, memenangi hanya dua kerusi.

Parti GRS mencatatkan kadar kemenangan yang tertinggi dengan memenangi sebanyak 52.7 peratus daripada kerusi-kerusi yang dipertandingkan, manakala parti WARISAN memenangi 34.2 peratus daripada kerusi-kerusi yang dipertandingkan.

Bilangan dan Peratusan Kerusi mengikut Jantina

Penyertaan calon mengikut jantina:

  • Lelaki: 525 calon bertanding dan memenangi sebanyak 68 kerusi (12.95 peratus).
  • Perempuan: 71 calon bertanding, memenangi sebanyak lima kerusi (7.04 peratus).

Data ini menunjukkan bahawa penyertaan wanita dalam PRN kali ini masih lagi rendah, dengan hanya 11.9 peratus daripada jumlah keseluruhan calon. Kadar kemenangan calon wanita juga lebih rendah berbanding dengan calon lelaki. Antara calon wanita yang menonjol dalam PRN kali ini termasuklah Isnaraissah Munirah Majilis yang bertanding di N10 Usukan mewakili Parti Warisan Sabah, Lisa Hassan Alban di N52 Sungai Sibuga, Vivian Wong Shir Yee di N55 Elopura mewakili Pakatan Harapan, dan Noorita Sual di N43 Kemabong. Kehadiran mereka menunjukkan bahawa wanita mampu bersaing dalam pertandingan sengit, walaupun jumlah mereka masih minoriti.

Bilangan dan Peratusan Kerusi mengikut Kumpulan Umur

Taburan calon dan kemenangan mengikut kumpulan umur:

  • 18-40 tahun: 80 bertanding, lapan menang (10 peratus).
  • 41-50 tahun: 149 bertanding, 18 menang (12.08 peratus).
  • 51-60 tahun: 189 bertanding, 23 menang (12.17 peratus).
  • 61-70 tahun: 159 bertanding, 22 menang (13.84 peratus).
  • 71-80 tahun: 17 bertanding, dua menang (11.76 peratus).
  • 81 tahun ke atas: dua calon bertanding, tiada yang menang.

Kumpulan umur 61-70 tahun mencatatkan kadar kemenangan tertinggi pada 13.84 peratus, menunjukkan para pengundi masih cenderung memilih calon yang lebih berpengalaman. Namun begitu, usia bukanlah satu jaminan kerana beberapa kerusi memberikan kejutan apabila calon-calon yang lebih senior dan berpengalaman ditolak oleh pengundi di kawasan tersebut seperti yang terjadi kepada Pandikar Amin Haji Mulia dan Roland Kiandee yang tewas di kawasan masing-masing.

Pemenang Kerusi Termuda dan Tertua

Pemenang kerusi termuda dalam PRN kali ini ialah Jordan Jude Ellron, calon bebas di kawasan N.44 Tulid, berusia 28 tahun, memperoleh 3,545 undi manakala pemenang kerusi tertua pula ialah Gapari bin Katingan@Geoffrey Kitingan daripada STARSABAH di kawasan N.39 Tambunan, berusia 78 tahun yang memperoleh 12,595 undi dengan majoriti yang besar.

Calon Menang dengan Undi Tertinggi (Lima Teratas)

Lima calon PRN yang memperoleh jumlah undi tertinggi:

  1. Chin Tek Ming (WARISAN) – N.25 Kapayan: 14,597 undi
  2. Jamil bin Hamzah (WARISAN) – N.66 Bugaya: 13,414 undi
  3. Gapari bin Katingan (STARSABAH) – N.39 Tambunan: 12,595 undi
  4. Samuel Wong Tshun Chuen (WARISAN) – N.21 Luyang: 11,942 undi
  5. Ewon Benedick (UPKO) – N.11 Kadamaian: 11,977 undi

Dapat dilihat yang parti-parti tempatan seperti WARISAN, STARSABAH, WARISAN, dan UPKO tetap mendapat tempat dalam kalangan rakyat-rakyat tempatan berbanding dengan parti-parti nasional dan sokongan tersebut dizahirkan melalui undi terhadap calon-calon ini.

Calon Bebas yang Menang

Lima calon bebas yang berjaya memenangi kerusi:

  1. Fairuz bin Renddan – N.08 Pintasan: 4,675 undi
  2. Awang Ahmad Sah – N.23 Petagas: 4,271 undi
  3. Maijol bin Mahap – N.06 Bandau: 3,996 undi
  4. Jordan Jude Ellron – N.44 Tulid: 3,545 undi
  5. Rina binti Jainal – N.70 Kukusan: 3,490 undi

Walaupun bertanding tanpa mana-mana parti (menggunakan tiket calon bebas), namun beberapa orang calon dari parti bebas berjaya menarik perhatian dan undi daripada masyarakat setempat dan seterusnya memenangi kerusi tersebut.

Calon yang Kehilangan Wang Pertaruhan

Sejumlah 389 calon telah kehilangan wang pertaruhan mereka kerana gagal memperoleh sekurang-kurangnya satu perlapan (12.5 peratus) daripada jumlah undi yang dibuang di kawasan masing-masing.

Calon dengan Undi Terendah yang Kehilangan Wang Pertaruhan (Lima Terendah)

  1. Halman bin Maniuk (PBK) – N.01 Banggi: enam undi
  2. Mohd Izahan bin Abdullah (BEBAS) – N.02 Bengkoka: 21 undi
  3. Faizal bin Julaili (PN) – N.29 Pantai Manis: 444 undi sahaja
  4. Sakinolin binti Mohamad (BEBAS) – N.01 Banggi: 25 undi
  5. Azlan Shafie Abdullah (PKS) – N.01 Banggi: 26 undi

Antara faktor yang menyumbang kepada undi terendah ini pada PRN kali ini ialah persaingan amat sengit, sehingga pada satu-satu kawasan seperti di N25 Kapayan, sebanyak 15 calon bertanding dalam satu kawasan yang sama.

Lima parti teratas yang kehilangan wang pertaruhan terbanyak:

  • Parti Impian Sabah (PIS): 66 lelaki, enam perempuan (72 jumlah)
  • Calon Bebas: 54 lelaki, enam perempuan (60 jumlah)
  • STARSABAH: 31 lelaki, lima perempuan (36 jumlah)
  • PN: 30 lelaki, enam perempuan (36 jumlah)
  • KDM: 30 lelaki, tiada perempuan (30 jumlah)

Parti PIS merupakan antara parti yang paling banyak kehilangan wang pertaruhan, dengan penyertaan sebanyak 72 calon daripada parti ini.

Kerusi yang Dipertandingkan dan Wang Pertaruhan Hilang mengikut Kumpulan Umur

  • 71-80 tahun: 17 bertanding, 12 kehilangan wang pertaruhan (70.59 peratus).
  • 41-50 tahun: 149 bertanding, 101 kehilangan wang pertaruhan (67.79 peratus).
  • 51-60 tahun: 189 bertanding, 123 kehilangan wang pertaruhan (65.08 peratus).
  • 18-40 tahun: 80 bertanding, 51 kehilangan wang pertaruhan (63.75 peratus).
  • 61-70 tahun: 159 bertanding, 101 kehilangan wang pertaruhan (63.52 peratus).

PRN kali ini juga menunjukkan kematangan pengundi-pengundi Sabah apabila majoriti daripada mereka menolak calon-calon yang dalam kategori warga emas dan perlu digantikan dengan mereka yang lebih muda dan berkelayakan.

Calon yang Kalah mengikut Parti dan Jantina

Lima parti teratas yang mencatatkan bilangan calon yang mengalami kekalahan tertinggi:

  • BN: 23 lelaki, empat perempuan (27 jumlah).
  • WARISAN: 23 lelaki, dua perempuan (25 jumlah).
  • GRS: 20 lelaki, empat perempuan (24 jumlah).
  • PH: 14 lelaki, lima perempuan (19 jumlah).
  • Calon Bebas: sembilan lelaki, tiada perempuan (9 jumlah).

Walaupun mendapat kerusi yang tertinggi berbanding dengan parti-parti lain, parti WARISAN dan GRS juga perlu menanggung sedikit kerugian apabila sebanyak 25 dan 24 daripada calon mereka tewas semasa bertanding, manakala parti BN yang kuat pada suatu ketika dahulu merupakan antara parti tertinggi yang mengalami kekalahan calon-calon mereka.

 Kerusi yang Dipertandingkan dan Kalah mengikut Kumpulan Umur

  • 18-40 tahun: 80 bertanding, 21 kalah (26.25 peratus).
  • 41-50 tahun: 149 bertanding, 30 kalah (20.13 peratus).
  • 51-60 tahun: 189 bertanding, 43 kalah (22.75 peratus).
  • 61-70 tahun: 159 bertanding, 36 kalah (22.64 peratus).
  • 71-80 tahun: 17 bertanding, 3 kalah (17.65 peratus).

Dapat dilihat bahawa golongan belia masih lagi belum mendapat tempat dalam kalangan pengundi Sabah dalam PRN kali ini, dibuktikan dengan peratusan yang tertinggi jika hendak dibandingkan dengan kumpulan umur yang lain.

Presiden atau Pengerusi Parti yang Bertanding

Lima teratas yang menang:

  1. Hajiji Noor (GRS) – N.12 Sulaman: 10,639 undi (Menang).
  2. Ewon Benedick (UPKO) – N.11 Kadamaian: 11,977 undi (Menang).
  3. Gapari Katingan (STARSABAH) – N.39 Tambunan: 12,595 undi (Menang).
  4. Joachim Gunsalam (GRS) – N.36 Kundasang: 4,640 undi (Menang).
  5. Arthur Joseph Kurup (BN) – N.45 Sook: 8,307 undi (Menang).

Kesemua calon tersebut tidak menghadapi sebarang masalah untuk memenangi kerusi di kawasan yang mereka bertanding.

 Lima teratas yang Tewas

  1. Anifah Aman (GRS) – N.30 Bongawan: 4,604 undi (Kalah).
  2. Phoong Jin Zhe (PH) – N.19 Likas: 3,343 undi (Kalah).
  3. Pandikar Amin Mulia (GRS) – N.08 Pintasan: 3,605 undi (Kalah).
  4. Ronald Kiandee (PN) – N.48 Sugut: 3,498 undi (Kalah).
  5. Priscella Peter (KDM) – N.42 Melalap: 4,539 undi (Kalah).

Walau bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi calon-calon yang berikut kerana tewas, walaupun dengan reputasi mereka yang pernah menyandang jawatan pada peringkat persekutuan seperti Ronald Kiandee (mantan Menteri Pertanian dan Industri Makanan) dan Pandikar Amin Mulia (bekas Yang di Pertua Dewan Rakyat).

Calon Penyandang yang Bertanding

Lima teratas yang menang:

  1. Ewon Benedick (UPKO) – N.11 Kadamaian: 11,977 undi (Menang)
  2. Hajiji Noor (GRS) – N.12 Sulaman: 10,639 undi (Menang)
  3. Gapari Katingan (STARSABAH) – N.39 Tambunan: 12,595 undi (Menang)
  4. Mohd Shafie Apdal (WARISAN) – N.65 Senallang: 8,751 undi (Menang)
  5. Sarifuddin Hata (WARISAN) – N.72 Merotai: 8,855 undi (Menang)

Lima teratas yang tewas:

  1. Md Salleh Md Said (BN) – N.10 Usukan: 5,850 undi (Kalah)
  2. Jannie Lasimbang (PH) – N.25 Kapayan: 5,341 undi (Kalah)
  3. Abidin bin Madingkir (GRS) – N.38 Paginatan: 5,256 undi (Kalah)
  4. Anwar Ayuub (GRS) – N.41 Liawan: 5,239 undi (Kalah)
  5. Peto Galim (PH) – N.18 Inanam: 4,748 undi (Kalah)

Timbalan Menteri Persekutuan yang Bertanding

Empat timbalan menteri persekutuan telah bertanding:

  1. Chan Foong Hin (PH) – N.22 Tanjung Aru: 2,532 undi (Kalah)
  2. Mohamad Alamin (BN) – N.30 Bongawan: 4,569 undi (Kalah)
  3. Arthur Joseph Kurup (BN) – N.45 Sook: 8,307 undi (Menang)
  4. Mohammad Yusof Apdal (WARISAN) – N.62 Silam: 7,116 undi (Menang)

Calon Adik-beradik yang Bertanding di Kawasan yang Sama

Terdapat beberapa kes calon adik-beradik yang bertanding di kawasan yang sama:

  1. N.18 Inanam: Shone Eric Jr. Majimbun (BEBAS, 421 undi) dan Edna Jessica Majimbun (WARISAN, 9,441 undi – Menang)
  2. N.23 Petagas: Awang Husaini Sahari (PH, 3,016 undi) dan Awang Ahmad Sah (BEBAS, 4,271 undi – Menang)
  3. N.46 Nabawan: Junilin Kilan (UPKO, 438 undi) dan Jekerison bin Kilan (KDM, 2,348 undi)
  4. N.70 Kukusan: Ma’mun bin Sulaiman (WARISAN, 2,840 undi) dan Chaya binti Sulaiman (BN, 1,588 undi)

Purata Penjuru Pertandingan dan Kerusi Paling Sengit

Analisis terhadap 16 kerusi menunjukkan bahawa purata bilangan calon yang bertanding bagi setiap kerusi ialah 7.31 calon. Angka ini menunjukkan pertandingan yang sangat sengit dengan pelbagai pilihan diberikan kepada pengundi.

Kerusi dengan pertandingan paling sengit ialah N25 Kapayan dengan sebanyak 15 calon yang bertanding, diikuti oleh N26 Moyog dengan 12 calon, dan N04 Tanjong Kapor dengan 11 calon. Pertandingan berbilang penjuru ini mencerminkan kepentingan strategik kerusi-kerusi tersebut serta persaingan sengit antara pelbagai kumpulan politik untuk memenanginya.

Di kerusi N25 Kapayan, pertandingan melibatkan wakil daripada hampir semua parti utama termasuk WARISAN, PH, UPKO, STAR Sabah, beberapa calon bebas, serta parti-parti kecil seperti PIS, KDM, PBK, Aspirasi, dan ANAKNEGERI. Kehadiran begitu ramai calon menunjukkan kawasan ini merupakan kawasan penting yang diperebutkan oleh pelbagai pihak.

Pilihan Raya Negeri Sabah 2025 telah mencatatkan persaingan yang sangat sengit dengan keputusan yang menunjukkan kegagalan mana-mana parti untuk memperoleh majoriti mutlak. GRS yang memperoleh 29 kerusi dan WARISAN dengan 25 kerusi perlu membentuk pakatan dengan parti lain untuk membentuk kerajaan negeri. Penyertaan calon bebas yang berjaya memenangi lima kerusi turut menunjukkan kecenderungan pengundi untuk memilih berdasarkan kredibiliti individu dan bukannya semata-mata daripada jenama parti. Analisis demografi menunjukkan bahawa penyertaan wanita dan golongan muda masih perlu ditingkatkan untuk mencerminkan demografi sebenar masyarakat Sabah. Selain itu, PRN kali ini juga merupakan satu isyarat bahawa parti-parti pusat kurang mendapat tempat dalam hati rakyat tempatan kerana masih terdapat kecenderungan untuk memilih parti tempatan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi