Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
“Dunia kini penuh dengan berita tentang keganasan, kebencian dan konflik. Pada waktu perayaan ini, kita bertukar ucapan dan melawat antara satu sama lain…Kita menyimpul erat tali persahabatan yang kian renggang serta merungkai yang kusut. Moga kehidupan kita terus diberkati Yang Maha Esa.” (Madeline Berma, 25 Disember 2025).
Nukilan terakhir ini ditinggalkan oleh Dato Dr. Madeline Berma dalam laman Facebooknya sempena sambutan Krismas pada 25 Disember tahun lalu. Tersirat dalam kata-kata tersebut yang diharapkan mendiang untuk melihat masyarakat Malaysia kembali menghargai nilai persahabatan dan saling memahami.
Hingga ke penghujung hayat, mendiang Dato Dr. Madeline mengekalkan jiwa yang positif, lembut dan sarat nilai kemanusiaan. Seluruh hidupnya memperlihatkan usaha yang berpanjangan untuk membangunkan kesejahteraan insan dalam masyarakat negara ini. Pepatah Melayu menyebut, “harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”.
Ruang laman sosial setelah pemergiannya dipenuhi ucapan terakhir daripada sahabat handai, rakan seperjuangan dunia akademik, anak didik serta pelbagai lapisan masyarakat. Setiap coretan memantulkan keperibadian yang jujur dan merendah diri. Nama beliau disandarkan kepada kebaikan, ketekunan ilmiah dan nilai kemanusiaan yang dipegang sepanjang hayatnya.
Dalam hubungan persahabatan, banyak yang melihatnya sebagai pengikat yang memastikan jaringan silaturahim terus hidup. Ada yang merakamkan bahawa pertemuan sering bermula dengan usahanya, biarpun masa dan keadaan telah berubah. Seorang sahabat menulis bahawa beliau menjadi “the glue that held our friendship together”. Sokongan emosionalnya menjadi tempat berpaut ketika susah dan gembira. Keyakinannya terhadap orang sekeliling membina semangat mereka untuk melangkah lebih jauh daripada jangkaan diri sendiri. Karakter ini menyebabkan beliau sentiasa disenangi banyak pihak.
Daripada nukilan rakan-rakannya juga, Dato Dr. Madeline Berma dilihat sebagai seorang yang begitu membumi. Beliau mudah mendekati semua golongan termasuklah golongan akar umbi, selain berbual mesra dengan pekerja restoran dan pekerja asing tanpa rasa canggung. Pasar tani pula menjadi lokasi yang sering dikunjunginya kerana minatnya terhadap keluaran hasil tempatan. Setiap kunjungan bukan sekadar untuk membeli. Dato Dr. Madeline mengambil peluang mendengar kisah hidup para peniaga dan menyelami cabaran harian mereka.
Seorang wartawan yang pernah menemu bual Madeline beberapa tahun lalu kembali berkongsi semula kisah yang diceritakan oleh beliau. Pada hari yang mengubah haluan hidupnya, bunyi hon motosikal posmen di Kampung Siol Kandis membawa sepucuk surat tawaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Madeline menangis ketika membaca surat tersebut kerana peluang ke universiti tidak pernah terlintas dalam fikirannya, apatah lagi selepas menghentikan pengajian semasa berada di Tingkatan Empat. Pada waktu itu, beliau sekadar membayangkan masa hadapan sebagai jururawat atau mengambil apa-apa pekerjaan yang ada seperti pembantu kedai.
Usai menamatkan pengajian Sarjana Sastera di Universiti Wisconsin-Madison, Amerika Syarikat pada tahun 1986 beliau kembali ke tanah air untuk mencurah bakti kepada anak bangsa sebagai pensyarah di UKM. Tindakan ini seiring dengan pesanan yang masih segar dalam ingatan seorang daripada anak muridnya: “Apa-apa juga yang kita peroleh dalam hidup, perlu dipulangkan kembali kepada masyarakat.”
Sesuai dengan prinsip itu, beliau “memulangkan kembali” kepada masyarakat melalui UKM kira-kira 35 tahun. Dalam kalangan pelajar, Dato Dr. Madeline sering digambarkan sebagai figura keibuan, yakni tegas terhadap disiplin ilmu, lembut dalam membimbing. Kebanyakan anak muridnya kini memegang peranan profesional dan kepimpinan lahir daripada sentuhan seorang pendidik yang mengajar melalui ilmu serta teladan peribadi.
Seorang mantan pelajar masih mengingati satu detik pada tahun 1986. Katanya, “Pertama kali aku ke bilik beliau, terpampang di hadapan pintu biliknya tulisan yang berbunyi I Fight Poverty. I Work! Bagi anak kampung seperti aku, kata-kata itu merupakan satu ungkapan yang sangat besar, yang sentiasa menyemangati aku sampai kini.” Petikan itu menggambarkan nilai yang dibina oleh beliau. Ilmu baginya berfungsi sebagai ikhtiar untuk mengangkat martabat manusia dan semangat ini yang diturunkan kepada anak muridnya.
Keperibadian yang lembut di hadapan pelajarnya turut bergerak seiring dengan keteguhan prinsip akademik yang dibawa ke dalam dunia sarjana. Dari bilik kuliah, sumbangan Dato Dr. Madeline melebar ke medan penyelidikan dan wacana dasar awam. Beliau dihormati kerana keupayaannya membaca isu kemiskinan melalui lensa kemanusiaan. Bidang penyelidikannya merentasi ekonomi pembangunan, ketidaksamaan, pembangunan luar bandar, ekonomi wanita dan komuniti terpinggir. Setiap kerja ilmiahnya berpijak pada realiti masyarakat. Statistik hanya menjadi alat, manakala manusia kekal sebagai pusat pertimbangan.
Peranan beliau berdenyut serentak dalam dua dunia yang saling bertaut. Dalam dunia intelektual, kajiannya membantu negara memahami jurang sosial secara menyeluruh dan berasaskan bukti. Dalam dunia praktikal, pandangan yang dilontarkan mempengaruhi hala tuju perbincangan dasar pembasmian kemiskinan dan pembangunan inklusif.
Dalam setiap pentas wacana, pesannya konsisten. Di sebalik istilah ekonomi, wujud keluarga yang bergelut dengan masa hadapan yang tidak menentu. Nilai empati inilah yang menjadikan suaranya dihormati dan sering dirujuk media ketika negara meneliti isu pekerjaan, ekonomi rakyat dan kos sara hidup. Komentar yang telus dan bersandar pada fakta mengangkatnya sebagai sarjana yang meletakkan keadilan sosial sebagai nadi pembangunan. Daripada kerangka tersebut, keutamaan pemikirannya sentiasa memberikan ruang kepada masyarakat pada lapisan paling bawah struktur ekonomi.
Dua minggu sebelum pemergiannya, dalam sebuah akhbar tempatan, Dato Dr. Madeline sempat berkongsi pandangan tentang masa hadapan kebolehpasaran pekerjaan rakyat Malaysia. Beliau meneliti perkembangan ekonomi gig yang membuka peluang bekerja sendiri, namun pada masa yang sama mendedahkan kelemahan dalam perlindungan sosial. Saranannya jelas, sistem perlindungan sosial perlu diperluas, terutamanya kepada mereka yang bekerja sendiri. Pada masa yang sama, rakyat disarankan melengkapkan diri dengan kemahiran baharu dalam bidang kecerdasan buatan, data dan teknologi awan, pembuatan bernilai tinggi serta ekonomi hijau. Bagi beliau, masa hadapan ekonomi bererti apabila peluang terhasil untuk semua lapisan masyarakat.
Pandangan yang sentiasa memberikan perhatian kepada kelas akar umbi membawanya aktif dalam forum, dialog awam dan perbincangan dasar. Kehadiran beliau di tengah-tengah masyarakat memastikan isu kemiskinan dan keadilan sosial tidak terperangkap dalam jurnal atau seminar tertutup. Golongan terpinggir memperoleh ruang suara melalui kerjanya, lalu wacana akademik kembali bertemu dengan denyut realiti rakyat.
Kesedaran inilah yang mendorongnya melangkah ke ruang penggubalan dasar secara lebih langsung. Selain dilantik sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia pada tahun 2019, mendiang turut menyumbang dalam Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak. Melalui peranan ini, pandangan akademiknya diterjemahkan kepada hala tuju pembangunan negeri. Anak Iban ini akhirnya kembali ke bumi kelahirannya untuk memimpin perbincangan dasar yang memberi kesan kepada rakyat. Putaran hidupnya terasa lengkap. Ilmu yang ditimba di luar disalurkan semula kepada masyarakat yang membesarkannya.
Begitulah perjalanan 64 tahun hayat Dato Dr. Madeline Berma, iaitu perjalanan yang berakar pada keilmuan dan kesungguhan membangunkan nusa serta bangsa. Dalam bahasa Iban, ungkapan “baka jalai di pun raba, nganti ke ujung ari” menggambarkan perjalanan yang bermula dari akar dan diteruskan hingga ke penghujung hari. Roh ungkapan itu terpancar dalam kehidupannya. Sumbangannya mengalir dari bilik kuliah, berkembang melalui dunia penyelidikan, lalu kembali kepada masyarakat yang diangkat martabatnya melalui ilmu.
Pemergiannya meninggalkan ruang yang terasa jelas. Negara kehilangan seorang ahli ekonomi, ahli akademik dan pemikir yang menempatkan keadilan sosial sebagai nadi pembangunan. Warisan pemikirannya wajar terus hidup dalam dasar, penyelidikan dan pendidikan sebagai kesinambungan amanah seorang sarjana kepada masyarakat.
Penulis, sedang mengikuti pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia dan merupakan pensyarah sambilan di Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE), Universiti Utara Malaysia.