Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangEtika ialah asas kepada pembinaan tamadun manusia yang beradab dan beradat. Dalam tradisi pemikiran, etika difahami sebagai cabang falsafah yang meneliti nilai, norma dan prinsip yang mengawal tingkah laku manusia dalam kehidupan individu serta organisasi. Kamus Dewan Perdana mentakrifkan etika sebagai prinsip moral atau nilai-nilai akhlak yang menjadi pegangan individu atau sesuatu kumpulan mengikut profesion, budaya dan sebagainya. Takrif ini menegaskan bahawa etika bukan sekadar konsep abstrak, tetapi kerangka hidup yang membentuk cara manusia berfikir, menilai dan bertindak. Tanpa etika, kuasa dan pengetahuan mudah terpesong menjadi alat kezaliman, penindasan dan penyalahgunaan.

Berlandaskan kefahaman tersebut, penulis telah memperkenalkan kerangka Etika Tadbir Urus Kelas Dunia pada tahun 2020 sebagai suatu pendekatan asli yang berpaksikan al-Quran dan pengalaman sejarah tamadun manusia. Kerangka ini dibangunkan dengan merujuk kepada sifat-sifat pemerintah, pemimpin dan ketua yang digariskan oleh wahyu, yang berobjektifkan keadilan serta berasaskan amalan syura. Dalam perspektif Islam, manusia yang memimpin disebut sebagai khalifah, iaitu wakil Allah SWT di muka bumi yang bertanggungjawab mengurus kehidupan dunia dengan amanah, adil dan berakhlak.
Al-Quran menggariskan lima sifat asas seorang khalifah. Pertama; memegang amanah Allah SWT, dengan menyedari bahawa kuasa dan tanggungjawab ialah pinjaman yang akan dipersoalkan. Kedua; menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, yang menuntut keberanian moral untuk membela kebenaran. Ketiga; mengelakkan kerosakan, iaitu tidak membiarkan kezaliman, penindasan dan salah guna kuasa berakar dalam sistem. Keempat; menanggung tanggungjawab, iaitu sanggup memikul akibat daripada setiap keputusan. Kelima; mempunyai keimanan, iaitu hubungan batin yang kukuh dengan Tuhan yang membentuk kompas moral dalam setiap tindakan.
Daripada lima sifat ini, penulis merumuskan tujuh elemen Etika Tadbir Urus Kelas Dunia, iaitu beramanah, berintegriti, ketelitian, bertanggungjawab, beriman, berlaku adil dan beramalan syura. Beramanah menuntut kesetiaan kepada kebenaran dan kepentingan awam. Berintegriti mengikat seseorang pemimpin supaya konsisten antara kata dan perbuatan serta mematuhi undang-undang. Ketelian melambangkan kebijaksanaan dalam bertindak secara cermat, berhati-hati dan berfikir jauh. Bertanggungjawab mampu menghidupkan budaya muhasabah diri serta kesediaan dipertanggungjawabkan. Beriman pula memastikan komitmen berterusan kepada nilai moral yang tinggi. Berlaku adil sudah pasti meletakkan segala sesuatu pada tempatnya dengan kewajaran. Manakala amalan syura menghidupkan budaya perundingan dalam setiap pembuatan keputusan.
Ketujuh-tujuh elemen ini diangkat sebagai etika tadbir urus bertaraf dunia kerana keseluruhan sifat dan amalan tersebut terpancar dalam keperibadian Nabi Muhammad SAW. Baginda bukan sekadar seorang rasul, tetapi juga negarawan, hakim, panglima dan ketua masyarakat yang memimpin dengan akhlak al-Quran. Islam sebagai agama fitrah dikembalikan kepada manusia melalui kebangkitan Baginda sebagai penutup kenabian dan penyempurna agama yang diredai oleh Allah SWT. Kepimpinan Nabi Muhammad SAW membuktikan bahawa nilai spiritual dan kecekapan pentadbiran dalam urusan sekular atau duniawi tidak pernah bercanggah, malah saling melengkapi.
Keunggulan kepimpinan Nabi Muhammad SAW turut diiktiraf oleh sarjana bukan Islam. Michael H. Hart, setelah membuat kajian mendalam terhadap tokoh-tokoh besar sepanjang sejarah, meletakkan Nabi Muhammad SAW sebagai insan paling berpengaruh dalam sejarah manusia. Pengiktirafan ini bukan bertujuan memuja, tetapi menggambarkan kesan kepimpinan Baginda terhadap pembentukan nilai, sistem dan budaya dunia. Empat sifat utama Nabi Muhammad SAW, iaitu siddiq (benar), amanah (dipercayai), tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana), secara langsung terhimpun dalam tujuh elemen Etika Tadbir Urus Kelas Dunia yang dirumuskan oleh penulis.
Justifikasi kerangka ini dapat ditelusuri melalui sejarah tamadun. Dunia pernah melalui Zaman Gelap sehingga kebangkitan Islam pada abad ketujuh. Selepas kerasulan Nabi Muhammad SAW pada tahun 610 Masihi, Islam tampil sebagai kekuatan peradaban yang membina budaya ilmu, sistem ekonomi yang adil, amalan tadbir urus yang berintegriti serta kemajuan sains dan teknologi. Dari abad kelapan hingga ke-16, dunia Islam menyaksikan Zaman Keemasan yang melahirkan tokoh-tokoh besar seperti al-Khawarizmi dalam matematik, Ibn Sina dalam perubatan, al-Haytham dalam optik, Ibn Rushd dalam falsafah dan Ibn Khaldun dalam sosiologi sejarah. Mereka bukan sahaja terkenal sebagai ilmuwan, malah turut terkenal sebagai pembina metodologi pemikiran yang menjadi asas kepada kebangkitan Eropah.
Renaisans Barat pada hakikatnya tidak menentang ajaran Islam yang lahir daripada kesedaran yang dipengaruhi oleh pemikiran Islam yang menekankan rasionalistik, keadilan dan ilmu. Penentangan tokoh-tokoh Renaisans terhadap penyalahgunaan kuasa gereja dan kemutlakan monarki bertujuan membebaskan manusia daripada penindasan institusi yang menutup pintu kebebasan berfikir secara rasional. Namun begitu, perkembangan pasca Renaisans kemudiannya melahirkan fahaman sekularisme yang memisahkan agama daripada kehidupan awam. Akibatnya, agama dilihat sebagai urusan peribadi semata-mata, manakala kehidupan duniawi ditentukan oleh logik pemikiran manusia. Pemisahan inilah yang akhirnya mempengaruhi sebahagian masyarakat Islam sehingga mengabaikan peranan agama dalam mengatur keadilan sosial dan tadbir urus.
Dalam Islam, Nabi Muhammad SAW ialah contoh terbaik dalam pengurusan keluarga, masyarakat dan negara. Allah SWT memerintahkan Baginda menegakkan keadilan dan mengamalkan syura. Prinsip keadilan ditegaskan dalam Surah al-Nahl ayat 90 yang menyeru manusia supaya berlaku adil, berbuat kebaikan dan menjauhi kezaliman. Keadilan bukan sekadar slogan, tetapi mesti dirasai dan dilaksanakan, sekali gus menuntut sesuatu perkara diletakkan pada tempatnya dengan kewajaran yang sebenar.
Amanah pula mesti diserahkan kepada yang berhak dan tugas hendaklah diberikan kepada yang layak. Firman Allah dalam Surah al-Nisa’ ayat 58 menegaskan bahawa pelantikan dan keputusan hukum hendaklah dilakukan secara adil. Dalam konteks tadbir urus, pelantikan berdasarkan kelayakan akan memupuk integriti, mencegah rasuah dan memastikan keberkesanan pentadbiran. Orang yang tepat pada tempatnya akan melaksanakan tugas dengan ikhlas dan bertanggungjawab.
Untuk mencapai objektif secara berkesan, pemimpin perlu memiliki lima sifat seorang khalifah: beramanah, berintegriti, teliti, bertanggungjawab dan beriman. Elemen Syura pula merupakan mekanisme perundingan yang ditekankan Islam dalam semua urusan. Dalam Surah Ali ‘Imran ayat 159, Allah SWT memerintahkan supaya bermusyawarah dalam membuat keputusan. Melalui syura, ketelusan dapat diwujudkan kerana setiap individu berpeluang berkongsi maklumat, pandangan dan hujah sebelum sesuatu keputusan dibuat.
Kerangka Etika Tadbir Urus Kelas Dunia yang diasaskan oleh penulis bukan sekadar teori normatif, tetapi suatu pendekatan praktikal untuk membina kepimpinan yang berwibawa dan berjiwa rakyat serta menyumbang nilai moral yang tinggi untuk membentuk sahsiah diri yang cemerlang. Amalan syura memelihara ketelusan, membanteras rasuah dan konflik kepentingan serta menggabungkan kepelbagaian kepakaran dalam satu forum keputusan. Dalam dunia yang semakin kompleks dan mencabar, etika tadbir urus yang berteraskan keadilan, amanah dan syura merupakan keperluan mendesak demi kesejahteraan individu, masyarakat dan negara.
Kerangka ini juga secara langsung berkait dengan pembinaan Fiqh al-Watan, yang menekankan kedaulatan watan dan kemaslahatan manusia yang dianalisis melalui kaedah PoCFAM. Fiqh al-Watan memperluas pemahaman hukum daripada semata-mata halal dan haram kepada panduan praktikal dalam aspek pengurusan semua tahap lapisan dan bidang berpandukan prinsip moral dan maqasid syariah. Tujuh elemen etika, iaitu amanah, integriti, ketelitian, tanggungjawab, keimanan, keadilan dan syura menjadi asas metodologi untuk menilai dasar, keputusan dan tindakan pentadbiran secara serentak dari perspektif moral dan perundangan. Dengan pendekatan ini, Etika Tadbir Urus Kelas Dunia memperkukuh Fiqh al-Watan sebagai fiqh yang kontekstual, relevan dan berupaya menangani cabaran kenegaraan dan kehidupan kontemporari tanpa mengorbankan nilai agama dan keluhuran undang-undang.
Dalam menghadapi cabaran dunia moden yang sarat dengan krisis integriti, ketidaktelusan dan konflik kepentingan, masyarakat tidak boleh lagi berpuas hati dengan slogan atau reformasi kosmetik semata-mata. Perkara yang lebih diperlukan ialah pembinaan jiwa kepimpinan dan budaya institusi yang berpaksikan nilai. Etika Tadbir Urus Kelas Dunia yang diasaskan oleh penulis menawarkan jalan pemikiran yang menghubungkan kembali kuasa dengan amanah, kecekapan dengan keadilan, serta kebebasan dengan tanggungjawab. Sekiranya kerangka ini dihayati secara jujur dan diamalkan secara konsisten, maka jelaslah aspek ini bukan sahaja mampu memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap institusi, kemurnian pengurusan organisasi, kerukunan bermasyarakat, malah turut mengembalikan makna kepimpinan sebagai ibadah dan khidmat, di samping ketinggian akhlak mereka yang mengemudi dan dipimpin.
Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, Pengasas Jurisprudens Watan dan Fiqh al-Watan ISTAC-Universiti Islam Antarabangsa Malaysia/Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah.