Diterbitkan pada 3 Mac 2026, 12:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Langkawi − Tindakan berani seorang murid dari Sekolah Kebangsaan Penghulu Ahmad (SKPA), Faris Danish Zulfadli, 12 tahun, terjun ke laut untuk menyelamatkan rakannya yang lemas telah menarik perhatian Pengerusi Kebangsaan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM), Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim untuk mengurniakan sijil penghargaan kepada beliau.

Faris yang juga merupakan ketua Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM), di SKPA telah menyelamatkan rakannya, Iskandar Zulhaqem Zulkifli, 10 tahun, yang hampir lemas di Pantai Pasir Hitam, pada 14 Februari lalu.

Menurut Faris, dia dan rakannya itu sering melakukan latihan merentas desa pada setiap hujung minggu dan latihan dilakukan di persisiran Pantai Pasir Hitam dan Pantai Tanjung Rhu.

“Saya tidak sangka dia tidak tahu berenang, dan saya sangka dia hanya berpura-pura untuk menarik perhatian saya supaya saya turut turun mandi bersama-sama dengannya. Namun, selepas beberapa minit, saya lihat dia sudah tidak muncul di permukaan air dan saya terus terjun ke laut untuk mencarinya,” ujar Faris.

“Saya amat bersyukur kerana sempat menyelamatkannya dan menarik badannya ke tepi pantai. Saya membuat CPR untuk menyelamatkannya,” katanya ketika ditemui di Majlis Penyampaian Penghargaan yang berlangsung di SKPA, baru-baru ini.

Berita Faris menyelamatkan rakannya telah menjadi tular dan menarik perhatian Pengerusi PBSM, Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim dan berkenan untuk mengurniakan penghargaan kepadanya.

Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan telah diadakan atas jasa dan keberanian adik Faris Danish Zulfadli.

Satu Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan diadakan di SKPA pada Ahad lalu. Majlis yang berlangsung selama satu jam itu dihadiri tetamu daripada pelbagai agensi termasuk PBSM negeri Kedah, PBSM daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri serta Pegawai Daerah.

Dalam majlis tersebut, Tunku Puteri Intan Safinaz mengurniakan sijil penghargaan serta beramah mesra bersama-sama dengan Faris. Selain itu, Faris turut menerima penghargaan daripada PBSM negeri atas jasa dan pengorbanan beliau.

Pihak sekolah turut berbangga dengan pengorbanan adik Faris yang telah menjadi contoh yang baik kepada murid lain.

Kredit Foto: Mohd Hilmi Mahmud
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi