Diterbitkan pada 5 Mac 2026, 20:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Perlis – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar pemain industri dalam sektor perhotelan dan rumah inap meneroka dan merebut peluang pelaburan yang semakin berkembang di sekitar Padang Besar dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi tempatan melalui sektor pelancongan yang kian menunjukkan potensi memberangsangkan.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kemudahan perhotelan dan rumah inap di Padang Besar perlu dimanfaatkan serta diperkasakan secara strategik, selaras dengan kedudukan Padang Besar sebagai pintu masuk utama antara Malaysia dan Thailand di negeri Perlis.

“Kedudukan geografinya yang unik menjadikan kawasan ini tumpuan penting pergerakan pelancong rentas sempadan,” titah baginda.

“Peningkatan jumlah pelancong terutamanya ketika musim cuti umum dan cuti sekolah, serta kehadiran pencinta flora dan fauna yang mendambakan suasana tenang jauh daripada kesibukan kota, jelas membuktikan bahawa Padang Besar mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai destinasi pelancongan yang lebih berdaya maju dan mampan,” titah baginda lagi.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail  bertitah demikian selepas berkenan berangkat mengadakan lawatan ke beberapa premis peranginan di sekitar Padang Besar iaitu Club Rock Perlis, Border Villa serta Lee Garden Resort & Cafe bagi menyemarakkan kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Club Rock Perlis merupakan pusat peranginan yang menawarkan sebanyak 36 buah bilik penginapan yang dikelilingi keindahan flora dan fauna serta memberikan pengalaman yang mendamaikan kepada para pengunjung, di samping merupakan tempat tarikan pelancong bagi penggemar aktivit tahan lasak dan pencinta lasak.

Club Rock Perlis ini akan dirasmikan oleh DYTM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada 2 April tahun ini.

Manakala, Lee Garden Resort & Cafe pula merupakan destinasi percutian baharu yang menawarkan suasana tenang, eksklusif serta dikelilingi keindahan alam semula jadi di utara Perlis. Pusat peranginan ini mengetengahkan konsep vila dan kafe dalam suasana taman. Ia amat sesuai untuk percutian keluarga, pasangan, penganjuran majlis kecil serta sesi fotografi.

Selain itu, Border Villa yang mula beroperasi tahun lepas pula antara pilihan penginapan yang selesa dan strategik bagi pelancong serta pengunjung ke kawasan sempadan Malaysia–Thailand.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melakukan tinjauan ke tapak projek Club Rock Perlis dalam fasa akhir pembinaan.

Tempat peranginan ini berhampiran dengan pusat pemeriksaan imigresen Padang Besar, dan sesuai untuk urusan perniagaan, percutian keluarga, malahan perjalanan rentas sempadan. Berkonsepkan vila moden dan mesra keluarga, Border Villa menawarkan kemudahan lengkap termasuk bilik yang selesa, akses Wi-Fi percuma, kawasan parkir yang luas serta suasana persekitaran yang tenang.

Padang Besar kini menjadi tumpuan destinasi pelancongan strategik di negeri Perlis dengan gabungan keindahan alam, kemudahan penginapan dan peluang perniagaan, sekali gus berpotensi tinggi menjadi pilihan pelancong tempatan dan antarabangsa.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi