Diterbitkan pada 27 Mac 2026, 17:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Langkawi – Panitia Bahasa Melayu, Sekolah Kebangsaan Penghulu Ahmad (SKPA) mengadakan inisiatif bagi membantu murid menguasai kemahiran membaca dan menulis (2M) melalui Program “Saya Anak Bijak” yang dilancarkan pada tahun lepas.

Program yang bermula pada April 2025 itu menunjukkan kesan yang positif kerana telah membantu murid yang mempunyai masalah 2M menguasai kemahiran menulis dan membaca.

Menurut Ketua Panitia, Puan Rozita Hassan, lebih 50 peratus murid yang mempunyai masalah membaca dan menulis telah berjaya menguasai kemahiran tersebut.

“Jumlah murid yang kita kenal pasti mempunyai masalah ini adalah sebanyak 55 murid dan 27 daripadanya telah berjaya menguasai kemahiran berkenaan, manakala selebihnya dalam proses menguasai kemahiran 2M.

“pada tahun ini, kita telah mengenal pasti sebanyak 67 murid yang mempunyai masalah membaca dan menulis dan kita telah membuat modul baharu yang lebih mudah bagi murid yang tidak menguasai kemahiran berkenaan,” ujarnya.

Program “Saya Anak Bijak” tahun ini diteruskan dan dilancarkan buat kali kedua pada Februari lalu dengan bertujuan membantu murid yang mempunyai masalah menulis dan membaca. Fokus utama program ini adalah untuk mengurangkan murid yang mempunyai masalah 2M.

Selain itu, program ini juga memberikan fokus utama kepada pencapaian tahap 3 (TP3) bagi Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

Menurut Puan Rozita Hassan, kebanyakan murid yang mempunyai masalah 2M ini tidak dapat mencapai tahap 3.

“Hampir semua murid yang mempunyai masalah 2M ini mencapai tahap pencapaian TP 2 dan ke bawah. Oleh itu, kita cuba untuk mengubah pencapaian mereka dalam pembelajaran supaya mendapat TP 3 dan ke atas.

“Fokus kita bagi program ini untuk tahun 2026 adalah untuk mengubah TP murid yang mempunyai masalah 2M. Kita akan memberikan ujian bagi melihat tahap pencapaian mereka dari semasa ke semasa,” katanya.

Program “Saya Anak Bijak” ini akan diteruskan pada setiap tahun dan fokus akan berubah mengikut tahun serta keperluan murid.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi