Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSejak kebelakangan ini, tular kisah mengenai Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang berhasrat membeli pelantar media sosial seperti Tik Tok dan ChatGPT demi kepentingan negara mereka yang tidak sah. Dalam hantaran akaun media sosial rasminya, beliau menjelaskan motif di sebalik hasrat tersebut adalah untuk melawan pro-Palestin menggunakan pempengaruh. Beliau turut memaklumkan bahawa pertemuan dengan komuniti pempengaruh dan syarikat pelantar berkenaan akan diadakan. Sementara itu, Pengerusi Oracle, Larry Ellison yang bertindak sebagai pemimpin konsorsium telah mengambil alih operasi untuk melakukan perubahan pemilikan Tik Tok di Amerika Syarikat. Walaupun Operasi ini belum selesai sepenuhnya, tetapi hal ini telah mencipta langkah yang besar untuk menjayakan hasrat itu.
Dalam hantaran yang lain pula, Israel mengesahkan bahawa mereka sedang melatih semula sistem perisian ChatGPT supaya menjadi pro-Israel. Perbelanjaan sebanyak enam juta dolar Amerika telah dikeluarkan melalui kontrak dengan Clock Tower, iaitu syarikat yang menghasilkan kandungan pro-Israel dalam bentuk artikel, blog dan platform lain. Hal ini bertujuan membolehkan mereka membuat rujukan daripada platform tersebut bagi mendapatkan maklumat melalui ChatGPT yang pada masa ini menjadi sumber utama masyarakat di seluruh dunia dalam pencarian pelbagai informasi. Perkara ini menunjukkan strategi mereka untuk meracuni pemikiran dan gaya hidup generasi yang akan datang dengan memberikan menyebarkan propaganda secara halus melalui teknologi untuk memadam segala visual yang berkaitan dengan Palestin dan Islam.
Sebagai warga dunia yang cakna, kita sebenarnya mampu membina generasi yang kebal terhadap manipulasi dan propaganda zalim bermula dari rumah. Pada hakikatnya, musuh sebenar kita bukanlah teknologi, tetapi kejahilan, kelekaan dan kehilangan pegangan agama. Namun begitu, media sosial mempunyai peranan yang besar sebagai alat penyebaran pengaruh dan naratif oleh kuasa besar, golongan korporat dan pihak berkepentingan. Sekiranya kita melihat perkara ini dari sudut gambaran yang lebih besar, tentunya hal ini sangat berbahaya untuk generasi yang akan datang. Sebagai ibu bapa, pendidik dan masyarakat, kita harus bertanya kepada diri tentang apakah peranan dan persediaan kita pada masa ini?
Keperluan pembentukan identiti yang telus ialah perkara utama yang seharusya dipupuk dalam diri anak kecil sejak peringkat akar umbi kerana mereka sering terdedah kepada teknologi. Anak muda yang kuat pegangan jati diri akan membesar menjadi orang yang tidak akan mudah dipengaruhi. Oleh itu, kita sebagai orang dewasa mempunyai tanggungjawab untuk menerapkan ajaran agama serta menjelaskan asal usul, fakta dan sejarah kepada anak-anak. Didiklah mereka tentang sejarah Islam dan bukannya bergantung pada bacaan tentang isu yang tular semata-mata. Kita juga perlu mengambil tahu akan naratif golongan yang tertindas seperti rakyat Palestin. Kita boleh memperkenalkan kepada mereka tentang golongan ulama, sejarawan, pemimpin yang berprinsip, ilmuwan yang jujur serta aktivis yang beretika, dan bukannya membiarkan mereka percaya akan pempengaruh hiburan yang popular.
Sebagai ibu bapa, kita kena menjadi contoh utama dahulu. Anak sering memerhati segala tindak tanduk kita seperti apabila kita sedang bercakap tentang isu dunia, berkongsi berita dan berinteraksi dengan orang. Sekiranya kita sendiri berkongsi tentang sesuatu perkara dalam media sosial tanpa membuat sebarang semakan ke atas faktanya, anak-anak akan mencontohi kita kerana menganggap tabiat itu sesuatu yang normal. Oleh itu, kita hendaklah menunjukkan kematangan dan kebijakan dalam setiap tindakan.
Selain itu, kita boleh menggunakan media sosial untuk menyebarkan maklumat yang betul dan menegakkan kebenaran daripada fitnah dunia yang tidak adil. Penulis menggalakkan supaya kita menyimpan segala video, gambar dan artikel yang ditulis oleh rakyat dan wartawan Palestin dalam sebuah fail peribadi agar boleh dijadikan sebagai bukti dan rujukan pembelajaran kepada generasi yang akan datang. Rekod ini menunjukkan bahawa rakyat Palestin sememangnya ditindas dan terdapat pihak yang cuba memadam bukti ini dari semua platform media sosial. Menerusi hal ini, kita dapat membezakan antara fakta dengan propaganda. Hal ini seterusnya membolehkan generasi muda mencari tahu perkara yang sebenar dan tidak menerima sesuatu cerita dari media sosial secara bulat-bulat yang diketahui telah dikaburkan oleh golongan Zionis.
Secara tidak langsung, tindakan kita dapat melahirkan anak-anak yang mampu menjadi pemimpin dan bukan pengikut semata-mata. Pada masa akan datang, mereka boleh menulis, berkongsi ilmu dan menyebarkan kesedaran tentang kebenaran, serta memberikan kandungan yang bermanfaat, bermoral dan beretika. Namun begitu, kita juga perlu mengingatkan anak-anak bahawa tidak semua kandungan media yang kelihatan neutral sebenarnya bertindak secara adil. Hal ini demikian kerana kebanyakan kandungan yang kelihatan profesional, berbahasa lembut dan menggunakan istilah akademik, sebenarnya menyembunyikan agenda tersendiri. Oleh itu, anak-anak kita perlu didedahkan dengan konsep pembingkaian (framing) yang merangkumi pemilihan perkataan, gambar dan sudut cerita yang boleh mengubah persepsi walaupun fakta asasnya sama. Kita hendaklah mencipta ruang yang selamat di rumah sebagai tempat untuk membincangkan isu semasa dunia secara aman-damai. Sekiranya ruang ini tidak diwujudkan, media sosial akan menjadi guru mereka. Pendedahan tentang penggunaan media lain seperti majalah, buku, surat khabar juga amatlah penting untuk diambil kira sebagai sumber maklumat dan pengetahuan generasi baharu agar mereka boleh mendapatkan pelbagai sumber rujukan tanpa batasan.
Dalam peranan pendidikan sekolah pula, kurikulum dan kokurikulum harus mengintegrasikan pembelajaran tentang dunia digital dengan lebih spesifik. Kepentingan menguasai literasi media dalam sistem sosial media adalah sangat penting kepada generasi pada masa ini. Hal ini demikian kerana media sosial bukanlah platform yang neutral, tetapi mempunyai algoritma dan kamar gema (echo chamber) yang boleh memanipulasi maklumat. Oleh itu, kita hendaklah menormalisasikan budaya bertanya, berfikir dan menyelidik kepada anak-anak supaya mereka tidak bergantung pada satu rujukan semata-mata. Sebagai ibu bapa, guru dan penjaga, kita perlu rajin menjawab soalan mereka dan memberikan ruang untuk melakukan perbincangan mengenai isu semasa seperti isu penghapusan bangsa (genosid). Bagi anak muda, aktiviti ini sangat sesuai dijadikan sebagai aktiviti keluarga agar mereka boleh belajar mendengar cadangan dan berkongsi pendapat.
Sekiranya kita kerap menyalahkan gaya hidup generasi masa ini, tidak mustahil bahawa dalam tempoh setahun hingga dua tahun lagi, kita akan menyaksikan perkembangan generasi alfa dan generasi seterusnya yang lebih mencabar. Barangkali, pelbagai platform baharu yang lebih canggih dan menyesatkan anak muda akan wujud bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Maka itu, langkah penjagaan haruslah diambil dari sekarang. Sementara itu, tragedi penghapusan bangsa dan penaklukan tanah suci Islam masih berlaku sedangkan masyarakat global dikatakan telah menikmati kestabilan dan kemakmuran relatif. Ironinya dunia yang diuji bukanlah Palestin tetapi negara-negara lain yang masih berasa selesa dan berdiam diri apabila melihat penindasan yang telah berlaku. Hal ini menimbulkan persoalan tentang kredibiliti moral antarabangsa terhadap penindasan bangsa.
Setiap imej, rakaman dan naratif yang beredar dalam ruang digital berfungsi sebagai panggilan kesedaran yang menembusi kawasan geografi dan pentadbiran politik. Pada tahun ini, kita dapat melihat dengan jelas bahawa liputan dan penceritaan mengenai kemusnahan yang dilakukan oleh tentera Israel dengan sokongan geopolitik Amerika Syarikat semakin berkurangan di media sosial. Yang lebih membimbangkan ialah peningkatan jumlah kematian dalam kalangan wartawan serta tekanan terhadap pengamal media yang telah menimbulkan persoalan serius tentang ruang kebebasan pelaporan di kawasan konflik. Apabila maklumat boleh diperlahankan, dipinggirkan atau ditenggelamkan, dunia akhirnya berdepan dengan persoalan yang lebih besar, iaitu siapakah yang mengawal kandungan daripada diketahui oleh masyarakat dunia? Adakah maklumat yang dibenarkan untuk tersebar hanyalah yang berkaitan dengan dunia hiburan semata-mata? Oleh itu, pilihan terletak di tangan kita untuk mendidik diri sendiri dan anak-anak tentang isu semasa atau dunia yang melalaikan.
Pada hakikatnya, kita tidak boleh menghalang anak-anak daripada menggunakan peranti kerana teknologi ini juga membantu kita memudahkan urusan harian. Namun begitu, kebergantungan terhadap gajet boleh dihadkan untuk mendidik anak-anak membezakan fakta dengan propaganda agar mereka tidak mudah percaya terhadap sesuatu maklumat. Hal ini seterusnya membolehkan mereka bertindak berani untuk menghalang kezaliman dan terus bersuara demi menegakkan kebenaran. Selain itu, kita hendaklah terus mendoakan kesejahteraan diri, akhlak dan cara berfikir agar kita mengetahui cara untuk mempertahankan Palestin walau dengan cara yang kecil. Marilah kita bersama-sama mencari jalan dan meningkatkan usaha untuk membantu mereka yang tertindas mulai sekarang.