Diterbitkan pada 1 Mei 2026, 21:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dalam wacana pembangunan kontemporari, perbincangan tentang pekerja tidak lagi boleh dibataskan kepada dimensi ekonomi semata mata. Pekerja hari ini harus difahami sebagai entiti sosial, intelektual dan moral yang membentuk arah dan makna kemajuan sesebuah negara. Tema “Pekerja MADANI Kesuma Bangsa” hadir sebagai suatu gagasan yang sarat dengan lapisan makna, mengajak kita menilai semula kedudukan pekerja yang bukan sekadar sebagai penggerak ekonomi, tetapi sebagai pembina peradaban. Dalam konteks ini, Hari Pekerja bukan lagi sekadar ritual tahunan, tetapi medan refleksi tentang jenis masyarakat yang sedang kita bina dan nilai yang kita pilih untuk dipertahankan.

“Kesuma bangsa” membawa maksud yang halus tetapi mendalam, iaitu pekerja sebagai “bunga” kepada negara. Namun begitu, metafora ini tidak harus difahami sebagai sebagai  simbol keindahan semata-mata. Dalam tradisi pemikiran Melayu, bunga bukan sahaja melambangkan estetika, tetapi juga kesuburan, kesinambungan dan kehidupan. Justeru, apabila pekerja diangkat sebagai kesuma bangsa, hal ini membawa pengertian bahawa merekalah yang mencorakkan keindahan sosial, menyuburkan nilai kemanusiaan dan memastikan kelangsungan tamadun.

Lebih daripada itu, pekerja sebagai kesuma bangsa mencerminkan hubungan organik antara individu dengan masyarakat. Pekerja bukan entiti terasing yang hanya berfungsi dalam ruang ekonomi, tetapi sebahagian daripada jaringan sosial yang lebih luas. Setiap tindakan, keputusan dan nilai yang dibawa oleh pekerja akan memberikan kesan kepada struktur masyarakat secara keseluruhan. Oleh itu, kualiti pekerja akhirnya menjadi cerminan kepada kualiti bangsa itu sendiri.

Dalam kerangka Malaysia MADANI, peranan pekerja perlu dilihat melangkaui produktiviti semata mata. Kita tidak boleh lagi mengukur sumbangan pekerja hanya melalui angka Kelauran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau output industri, kerana ukuran tersebut sering kali gagal menangkap dimensi kemanusiaan yang lebih mendalam. Pekerja bukan mesin yang menghasilkan output, namun sebagai insan yang membawa nilai, aspirasi dan makna ke dalam setiap pekerjaan yang dilakukan.

Persoalan yang lebih penting ialah, apakah jenis budaya kerja yang sedang kita bina? Adakah kita sedang melahirkan pekerja yang hanya patuh kepada sistem tanpa berfikir atau pekerja yang mampu menilai, mencabar dan memperbaik sistem tersebut? Adakah kita mengutamakan kecekapan semata mata, atau kita juga memberikan ruang kepada nilai seperti integriti, ihsan dan tanggungjawab sosial. Jawapan kepada persoalan ini akan menentukan bukan sahaja terhadap masa hadapan tenaga kerja, tetapi juga arah tuju negara.

Pemikir ulung seperti Syed Hussein Alatas telah lama mengingatkan bahawa masalah utama masyarakat bukan sekadar kemiskinan material, tetapi kemiskinan pemikiran. Dalam gagasannya tentang beban minda tertawan, beliau menegaskan bahawa masyarakat yang gagal berfikir secara bebas akan terus terperangkap dalam struktur yang mengekang kemajuan. Dalam konteks pekerjaan, hal ini bermaksud pekerja yang tidak diasuh dengan budaya ilmu dan pemikiran kritikal akan mudah menjadi pelaksana tanpa jiwa.

Begitu juga dengan pemikiran Za’ba yang menekankan bahawa kekuatan bangsa terletak pada budi dan akal. Za’ba pernah mengingatkan bahawa kemajuan yang tidak disertai dengan adab dan nilai hanya akan melahirkan masyarakat yang pincang. Dalam dunia pekerjaan hari ini, peringatan ini menjadi semakin relevan. Kecekapan tanpa etika boleh membawa kepada keruntuhan kepercayaan, manakala kepintaran tanpa nilai boleh mencetuskan ketidakadilan.

Pandangan ini turut disokong oleh tokoh ekonomi tersohor negara, Ungku Aziz, yang sering menekankan bahawa pembangunan tidak boleh diukur semata mata melalui angka, tetapi harus dilihat dari sudut kesejahteraan manusia. Beliau pernah menegaskan bahawa matlamat sebenar pembangunan adalah untuk membebaskan manusia daripada belenggu kemiskinan dan ketidakadilan, bukan sekadar meningkatkan statistik ekonomi. Dalam konteks pekerja, hal ini bermaksud kita perlu melihat mereka sebagai insan yang mempunyai maruah, bukan sekadar faktor pengeluaran.

Hari ini, dunia pekerjaan sedang berubah dengan pantas. Teknologi kecerdasan buatan, automasi dan ekonomi digital telah mengubah cara kita bekerja. Banyak pekerjaan rutin kini semakin hilang, dengan digantikan oleh mesin dan algoritma. Dalam suasana ini, nilai pekerja tidak lagi terletak pada keupayaan fizikal semata mata, tetapi pada keupayaan berfikir, menyesuaikan diri dan mencipta.

Namun begitu, di sinilah cabaran sebenar muncul. Dalam keghairahan mengejar kecekapan dan teknologi, kita berisiko kehilangan dimensi kemanusiaan dalam pekerjaan. Pekerja boleh menjadi sekadar nombor dalam sistem, atau data dalam algoritma. Jika ini berlaku, maka kita mungkin mencapai kemajuan, tetapi kehilangan makna.

Oleh hal yang demikian, menjadi kesuma bangsa pada era ini bukan bermaksud menjadi yang paling pantas atau paling produktif. Sebaliknya, bermaksud menjadi pekerja yang berilmu, beretika dan berjiwa. Pekerja yang bukan sahaja tahu kaedah untuk bekerja, tetapi juga tahu sebab utama mereka bekerja.

Pada masa yang sama, kita tidak boleh mengabaikan isu kesejahteraan. Sebagai contoh, tekanan kerja, keletihan melampau dan masalah kesihatan mental semakin menjadi realiti bagi ramai pekerja, terutamanya dalam ekonomi moden yang serba pantas. Kita sering bercakap tentang produktiviti, tetapi jarang-jarang bertanya tentang kebahagiaan pekerja.

Seperti yang sering ditekankan oleh Ungku Aziz, pembangunan yang sebenar adalah pembangunan yang menyentuh kehidupan manusia secara menyeluruh. Pekerja yang sejahtera adalah pekerja yang lebih kreatif, komited dan mampu menyumbang kepada organisasi dan negara. Jika kita benar benar ingin melihat pekerja sebagai kesuma, maka kita perlu memastikan mereka berkembang dalam persekitaran yang sihat, bukan sekadar bertahan dalam tekanan.

Pada peringkat global pula, tidak dinafikan pekerja Malaysia mampu membawa imej negara ke seluruh dunia. Pada era tanpa sempadan, kualiti tenaga kerja menjadi cerminan kepada kekuatan negara. Sama ada dalam sektor teknologi, kesihatan, pendidikan atau industri kreatif, pekerja kita adalah duta yang menentukan Malaysia dilihat pada peringkat global.

Oleh itu, membangunkan pekerja bukan sekadar tanggungjawab individu, tetapi tanggungjawab bersama yang melibatkan kerajaan, majikan, institusi pendidikan dan masyarakat. Kita perlu membina ekosistem pekerjaan yang bukan sahaja kompetitif, tetapi juga berperikemanusiaan.

Pada skhirnya, tema “Pekerja MADANI Kesuma Bangsa” mengingatkan kita bahawa pekerja adalah lebih daripada sekadar sumber ekonomi. Mereka adalah pembina nilai, penjaga etika dan pencorak masa hadapan.

Seperti yang dapat kita fahami daripada pemikiran Syed Hussein Alatas, Za’ba dan Ungku Aziz, kekuatan sebenar sesebuah bangsa terletak pada kualiti insan, bukan sekadar kekayaan material.

Jika pekerja hanya produktif, negara mungkin akan terus maju. Akan tetapi jika pekerja berilmu, beretika dan sejahtera, maka negara akan terus mengekalkan maruahnya. Maka itu, disinilah letaknya makna sebenar nilai kesuma bangsa.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi