Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSistem perundangan sesebuah negara berdaulat bukan sekadar himpunan statut atau kodifikasi yang kaku, tetapi merupakan cerminan kepada identiti dan jiwa watan rakyatnya. Bagi Malaysia, sejarah membuktikan bahawa sistem keadilannya telah lama berdiri tegak atas prinsip syariat yang syumul melalui peranan Sultan sebagai Ulil Amri. Antara instrumen keadilan yang menjadi tunjang dalam Hukum Kanun Melaka, Hukum Kanun Pahang, serta pelbagai naskhah adat Melayu bertulis yang lain ialah pengenaan Qisas, Diyyat dan Arsy. Instrumen ini bukan sekadar kaedah penghukuman, tetapi merupakan manifestasi keseimbangan antara hak individu, kebajikan keluarga mangsa, dan ketenteraman awam.
Walaupun kodifikasi perundangan moden pasca-sistem penasihat British tidak meneruskan peruntukan khusus Diyyat dan Arsy secara nyata dalam Kanun Keseksaan (Penal Code), bentuk hukuman tersebut hakikatnya tidak pernah terbatal daripada kerangka perundangan Malaysia. Kesinambungan undang-undang sedia ada ini dijamin melalui Perkara 162 Perlembagaan Persekutuan, manakala kedudukan adat Melayu yang secara intrinsik merangkumi prinsip keadilan Islam dan diiktiraf secara jelas di bawah Perkara 160(2). Oleh itu, sebutan ringkas mengenai pampasan kewangan dalam Kanun Tatacara Jenayah hari ini wajar ditambah baik dengan pemulihan hak mangsa sebagaimana yang dilindungi oleh Law of the Land (Undang-undang dasar) Tanah Melayu.
Asas Keadaan Tempatan dan Preseden Kehakiman
Melalui lensa Jurisprudens Watan, kedaulatan Islam yang diamanahkan kepada Raja-raja Melayu merupakan undang-undang dasar bagi setiap Negeri baginda. Mahkamah dalam kes Ong Cheng Neo v. Yap Kwan Seng (1897) menegaskan, “Undang-undang Inggeris sedemikian tidak terpakai di Mahkamah-mahkamah ini melainkan setakat mana ia telah diterima pakai, dan tiada undang-undang bertulis mahupun keputusan kehakiman yang boleh dirujuk untuk menunjukkan bahawa kuasa wasiat orang Islam yang bermastautin di sini telah terhenti daripada ditadbir oleh undang-undang Islam disebabkan oleh penerima pakaian undang-undang Inggeris sebagai ganti bagi subjek tersebut.” Prinsip tersebut terus diiktiraf secara kehakiman dalam kes Shaikh Abdul Latif & Ors (1915) bahawa undang-undang yang terpakai ke atas orang Melayu di Negeri Melayu sebelum kedatangan pentadbir British hanyalah undang-undang Islam dengan modifikasi adat tempatan; kes Ramah v. Laton (1927), mahkamah dengan tegas mengesahkan bahawa undang-undang Islam bukan undang-undang asing, tetapi undang-undang tempatan yang mana mahkamah wajib mengambil tahu secara kehakiman (judicial notice); Re Ismail bin Rentah (1940) bahawa undang-undang Islam adalah sebahagian daripada common law Tanah Melayu, khususnya bagi orang Melayu; Re Timah binti Abdullah (1941) pula memutuskan bahawa undang-undang Islam ialah sebahagian undang-undang yang berkuat kuasa di Pahang dan undang-undang dasar bagi orang Islam, justeru bukan orang Islam tidak boleh mewarisi pusaka orang Islam.
Penerimaan prinsip Common Law dan Kaedah Ekuiti tertakluk secara mutlak kepada syarat “keadaan tempatan” (local circumstances) dengan penyesuaian yang perlu dan ini kemudiannya dimaktubkan dalam undang-undang bertulis. Maka itu, Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah harus dilihat sebagai instrumen Takzir moden yang diperkenankan oleh Sultan. Dalam konteks ini, pandangan Profesor Jasser Auda (2026) dalam Al-Tafsir Al-Maqasidi memberikan dimensi baharu apabila beliau menegaskan bahawa hukuman bunuh oleh pemerintah seharusnya terbatas kepada kategori Hudud (pembunuhan, hirabah, dan pemberontakan). Beliau berpendapat hukuman Takzir bunuh tidak wajar digubal dan perlu dimansuhkan, bagi memastikan budi bicara pemerintah tidak melampaui sempadan kesucian nyawa yang ditetapkan syarak.
Klasifikasi Jenayah: Antara Niat, Kesilapan, dan Hak Waris
Bagi memahami kepentingan mengembalikan bentuk hukuman tersebut, klasifikasi penemuan kes jenayah bunuh membantu pelaksanaannya. Dalam undang-undang jenayah pada hari ini, terdapat tiga aspek besar, iaitu pembunuhan dengan niat, tanpa niat (culpable homicide not amounting to murder), dan pembelaan penuh (full defence). Dalam perundangan Islam, pelaksanaan Qisas, Diyyat dan Arsy terbahagi kepada tiga kategori yang berikut:
Qisas ialah instrumen keadilan mutlak bagi jenayah dengan niat demi menghalang dendam. Namun, dalam kerangka keadilan Islam, Diyyat bagi pembunuhan dengan niat hanya boleh dilaksanakan sekiranya waris mangsa memberikan persetujuan secara sukarela untuk menggantikan hukuman Qisas tersebut. Namun begitu, pemerintah masih boleh mengenakan hukuman Takzir untuk menjaga ketenteraman awam. Bagi kes pembunuhan bukan dengan sengaja (khata’), selain daripada pampasan material, pelaku tetap dikenakan Kaffarah sebagai bentuk penyucian jiwa dan tanggungjawab keagamaan. Bagi kes pembunuhan separa niat, pelaku dikenakan Diyat Mughallazah (pampasan yang berat), Kaffarah dan Takzir. Hanya dalam kes tertuduh tidak bersalah maka Diyyat tidak dikenakan. Terdapat syarat lain yang tidak dibincangkan di sini secara terperinci.
Evolusi Moden al-’Aqilah dan Rehabilitasi
Satu aspek mendalam dalam sistem Diyyat ialah konsep al-’Aqilah—tanggungjawab kolektif komuniti. Menurut Jasser Auda (2026), al-’Aqilah moden perlu dipertimbangkan selain kes pembunuhan dengan niat, berbeza dengan amalan klasik yang meletakkan beban secara kaku kepada kabilah.
Bagi mereka yang terlepas daripada Qisas melalui Takzir dan bayaran Diyyat, Arsy, atau pengampunan, mereka masih perlu menjalani proses rehabilitasi yang sesuai. Di sini, hukuman Takzir khidmat masyarakat boleh diperkenalkan sebagai hukuman tambahan bagi memastikan elemen pemulihan sosial berlaku. Al-’Aqilah moden boleh diinstitusikan melalui Dana Pemulihan Komuniti dan Tabung Khairat yang bersifat sukarela, mewujudkan “Takaful Sosial” yang melindungi individu daripada kemusnahan ekonomi sambil memastikan waris mangsa mendapat pampasan segera. Langkah ini akan mengembalikan rasa kebersamaan untuk mendidik dan memantau akhlak ahli komuniti di tempat masing-masing.
Penilaian Diyyat Kontemporari dan Kesetaraan Hak
Mengenai kadar bayaran, Jasser Auda (2026) mencadangkan agar nilai Diyyat diasaskan kepada keadaan kecukupan kewangan diri semasa (financial self-sufficiency), dan tidak lagi terikat secara tegar kepada nilai 100 ekor unta. Beliau juga menegaskan prinsip kesetaraan, iaitu tiada perbezaan kadar Diyyat antara orang Islam dengan bukan Islam, mahupun antara lelaki dan perempuan.
Takrifan Diyyat juga wajar diperluas kepada perlanggaran hak yang mengakibatkan kehilangan manfaat (ibtāl al-manfa’ah), seperti kemusnahan fungsi saraf atau kewarasan akal akibat tindakan pihak lain. Mengikut kaedah fiqh “Al-Manfa’ah Tuqabalu bil-Mal”, setiap kehilangan kualiti hidup yang disebabkan oleh pencabulan integriti tubuh badan wajib diberikan pampasan yang setimpal.
Aplikasi Perundangan dan Insentif Fiskal
Integrasi elemen ini memerlukan pindaan strategik yang melibatkan pindaan Kanun Keseksaan, Kanun Tatacara Jenayah dan pengenalan insentif pelepasan cukai.
Fiqh Al-Watan
Mengembalikan Diyyat dan Arsy bukanlah langkah regresi, namun usaha agung menjunjung undang-undang dasar yang berdaulat. Perlu ditegaskan bahawa undang-undang sedia ada yang tidak dipinda secara nyata oleh statut, serta tidak diperuntukkan dalam undang-undang keterangan khususnya yang berkaitan dengan jenayah dan kesalahan pastinya akan tergantung kerana pentadbiran keadilan menuntut keadilan dalam semua aspek pelaksanaannya.
Oleh itu, penggubalan peruntukan yang mampu mengembalikan undang-undang sedia ada ini, berserta modenisasi yang menepati prinsip patuh syariah, adalah amat wajar dan mendesak. Usaha seharusnya dibuat untuk memperkasakan tradisi sendiri daripada terus mengimport prinsip perundangan asing yang tidak menepati adat serta keadaan tempatan. Keadilan hakiki di Malaysia akan tercapai apabila sistem tempatan kembali berakar kepada jati diri watan, moden pada aplikasi, namun tetap kukuh dan berdaulat terhadap jiwanya.
Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, Profesor Madya ISTAC, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia/Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah serta Pengasas Jurisprudens Watan dan Fiqh Al-Watan.