Diterbitkan pada 6 Julai 2026, 16:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Banting – Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan bahawa rawatan perubatan kepada mangsa tikam di sebuah sekolah di Selangor serta sokongan psikososial kepada warga sekolah berkenaan menjadi keutamaan tertinggi kementerian pada masa ini.

Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek menerusi satu hantaran di laman sosial rasminya, selepas beliau bergegas turun padang bagi meninjau sendiri lokasi kejadian, pada hari ini.

Menurut beliau, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak pantas mengambil alih kawalan keselamatan di tempat kejadian, termasuk berjaya memberkas orang yang disyaki terlibat.

“Tumpuan pada ketika ini adalah untuk memastikan mangsa diberikan rawatan perubatan dan sistem sokongan psikososial untuk warga sekolah yang menjadi keutamaan KPM.

“Semoga Tuan Pengetua, para guru yang kami kasihi dan anak-anak pelajar semuanya diberikan kesabaran serta kekuatan menghadapi ujian ini,” jelas beliau menerusi hantaran tersebut.

Kenyataan Menteri Pendidikan itu selari dengan pengesahan awal yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.

Menerusi kenyataan medianya, JPN Selangor memaklumkan bahawa sepasukan kaunselor dan Guru Bimbingan dan Kaunseling telah pun digerakkan untuk melaksanakan intervensi sokongan emosi kepada mangsa, guru dan pelajar yang terjejas.

Dalam perkembangan yang sama, pihak kementerian dan JPN Selangor senada memberi amaran tegas kepada masyarakat agar menghormati proses siasatan yang sedang berjalan.

Orang ramai digesa supaya tidak menyebarkan berita palsu, membuat spekulasi liar, atau merekayasa fitnah yang boleh mengganggu tugas pihak PDRM dan menjejaskan privasi keluarga mangsa.

Mengakhiri hantarannya, Menteri Pendidikan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi penguatkuasaan dan perubatan yang terlibat dalam mengawal situasi tersebut.

“Insya-Allah, jika ada perkembangan berkaitan dengan kes ini yang boleh dikongsikan dengan kebenaran pihak berkuasa, saya akan kongsikan dari semasa ke semasa,” tambah beliau lagi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi