Oleh Sakinah Sahwati
18 November 2022, 16:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa memfokuskan pelbagai usaha untuk memastikan berlaku peningkatan terhadap akses pendidikan dalam setiap peringkat persekolahan. Di negara ini, hal itu dibuktikan menerusi keseriusan kerajaan menggariskan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 yang memperincikan usaha kerajaan untuk menyediakan pelbagai akses pendidikan di segenap sekolah di negara ini. Hal ini diperkukuh lagi dengan pengumuman belanjawan pada setiap tahun yang menyaksikan kerajaan memperuntukkan belanjawan yang tertinggi kepada KPM yang tujuannya tidak lain tidak adalah untuk meningkatkan kualiti pendidikan di Malaysia. Pada pengumuman belanjawan 2023, KPM menerima peruntukan terbesar, iaitu  sebanyak RM55.6 bilion.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah itu menyaksikan peningkatan daripada peruntukan yang sedia ada dalam Belanjawan 2022, iaitu sebanyak RM52.6 bilion.

Menurut beliau, menerusi belanjawan itu nilai Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang dinaikkan kepada RM150 adalah untuk meringankan beban ibu bapa berpendapatan RM3000 ke bawah untuk menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak pada Belanjawan 2022 yang akan diberikan kepada semua murid tanpa mengira had pendapatan ibu bapa mereka. Sebagai contoh, jika sebuah keluarga mempunyai tiga orang anak  bersekolah, maka mereka layak menerima BAP sebanyak RM450.

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz turut memaklumkan bahawa peruntukan disediakan untuk BAP adalah sebanyak RM825 juta, iaitu jauh melebihi peruntukan tahun ini, iaitu RM450 juta. Dalam pada itu, katanya, kerajaan juga menambah baik Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dengan menyediakan bekalan susu pada setiap hari. Untuk itu, sejumlah RM777 juta disediakan, iaitu peningkatan signifikan berbanding dengan RM280 juta pada tahun 2020 atas peluasan penerima, kenaikan kadar dan penyediaan bekalan susu pada setiap hari. Dengan itu, katanya, lebih daripada 800 ribu orang  pelajar serta 7300 orang pengusaha makanan dan pembekal susu tempatan akan menerima manfaat daripada penambahbaikan itu.

Dalam Laporan Tahunan 2021,  PPPM 2013-2025, KPM memperincikan bahawa setiap kanak-kanak warganegara Malaysia, tanpa mengira taraf ekonomi, etnik atau latar belakang berhak mendapat akses yang sama kepada pendidikan berkualiti bagi membolehkan mereka mencapai potensi masing-masing. Hal ini membuktikan bahawa sistem pendidikan Malaysia berhasrat untuk memastikan penyertaan sejagat dan enrolmen penuh daripada peringkat prasekolah hingga peringkat menengah atas yang meliputi murid di semua sekolah kerajaan dan swasta, termasuk Kolej Vokasional.

Sejak pelaksanaan PPPM 2013-2025, sistem pendidikan telah berjaya meningkatkan tahap akses pada peringkat pendidikan prasekolah hingga menengah atas. Walau bagaimanapun, pandemik COVID-19 yang melanda sejak tahun 2020 hingga lewat tahun 2021, telah sedikit banyak memberikan kesan terhadap peratus enrolmen murid pada semua peringkat pendidikan.

Bab 3 laporan itu turut memperincikan fokus 2021 yang ditekankan oleh KPM merangkumi tiga fokus utama, iaitu Peningkatan Enrolmen Murid: Meningkatkan enrolmen murid prasekolah awam dan swasta; Meningkatkan enrolmen murid melalui Pemantapan Program Peningkatan Enrolmen Menengah Atas kepada pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta ziarah cakna ke kelompok sasar; dan Meningkatkan program jalinan kerjasama antara agensi melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN). Fokus kedua pula meliputi Peningkatan Enrolmen dalam Bidang TVET: Kualiti graduan TVET; Penambahbaikan prasarana institusi TVET; dan Meningkatkan kerjasama dengan agensi-agensi luar dan pihak yang berkaitan dengan Pendidikan TVET. Sementara itu, Pengurangan Kadar Keciciran Murid pula menjadi fokus ketiga KPM.

Keseriusan KPM dalam peningkatan enrolumen murid dapat dilihat menerusi pencapaian tahun 2021, iaitu pencapaian enrolmen prasekolah bagi tahun 2021 telah menunjukkan penurunan kadar enrolmen bagi kedua-dua kohort umur 5+, iaitu sebanyak 6.53 peratus kepada 83.65 peratus dan bagi kohort umur 4+ peratus enrolmen telah berkurang sebanyak 8.1 peratus kepada 68.45 peratus.

Penurunan ketara terhadap kadar penyertaan kanak-kanak yang mengikuti pendidikan prasekolah pada tahun 2021 yang jelas disebabkan oleh kesan daripada pandemik COVID-19 yang juga telah mengakibatkan pengurangan prasekolahj sebanyak 1342 kepada 51 565 kelas. Dalam usaha menambah bilangan kelas prasekolah, KPM telah membuka sebanyak 118 kelas pada tahun 2021. Namun begitu, kesan pandemik yang hebat telah menyebabkan penutupan kelas tadika agensi lain yang merangkumi sebanyak 65 kelas Tadika Kemas, satu kelas Tadika Perpaduan dan yang paling terkesan, iaitu tadika swasta di mana sebanyak 1394 tadika terpaksa ditutup. Oleh itu, bagi meneruskan komitmen untuk memberikan akses terhadap pendidikan prasekolah, KPM telah meneruskan bantuan yuran prasekolah swasta terutama kepada golongan B40 untuk mereka meneruskan pendidikan di tadika swasta. Pada tahun 2021, bantuan ini telah disalurkan kepada 1811 murid yang layak daripada 803 buah tadika swasta melibatkan peruntukan sebanyak RM1.25 juta.

 

Pada peringkat menengah atas pula, peratus enrolmen bagi tahun 2021 menunjukkan peningkatan sebanyak 1.11 peratus. Peningkatan ini didorong oleh usaha pihak KPM yang berterusan serta kerjasama yang diberikan oleh pihak komuniti, agensi-agensi lain, pihak swasta, NGO serta lain-lain pihak yang sedia membantu KPM demi menyokong pembelajaran murid menengah atas yang bakal menduduki peperiksaan SPM demi menjamin masa depan generasi ini.

Pencapaian tahun 2021 juga menyaksikan berlakunya peningkatan enrolmen dalam bidang TVET, iaitu kepada 6.30 peratus (23,539). Enrolmen tersebut merangkumi sebanyak 70.39 peratus (16,570) pelajar mengikuti program TVET di Kolej Vokasional (KV); sebanyak 453 Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV); sebanyak 4448 pelajar Program Vokasional Menengah Atas (PVMA); dan sebanyak 155 pelajar program Perantisan Industri Menengah Atas (PIMA). Pelibatan seramai 304 pelajar lepasan Tingkatan 3 dalam program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) Kolej Vokasional dengan McDonalds’ Malaysia merupakan alternatif ke arah peluasan TVET KPM melalui kerjasama awam-swasta. Enrolmen tahun semasa turut merangkumi enrolmen kumulatif daripada agensi luar KPM seperti GIATMARA dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dengan pelibatan sebanyak 3.78 peratus enrolmen pelajar TVET KPM.

Penularan wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada tahun 2021 telah menyaksikan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) menggunakan pelbagai kaedah alternatif bagi memastikan kanak-kanak cicir didekati terutamanya dengan kerjasama komuniti setempat. Sebagai contoh, JPN Pulau Pinang telah mengedarkan poster ke seluruh pelosok negeri bagi membantu pemakluman dan informasi berkaitan dengan program outreach murid cicir dan tatacara pendaftaran semula murid ke sekolah.

JPN Terengganu pula telah menjalankan Program Turun Padang bersama-sama Jabatan Pendaftaran Negara Cawangan Terengganu bagi menguruskan isu murid tiada dokumen, disamping menjalankan program ziarah ke rumah murid cicir bagi membantu mereka kembali semula ke sekolah.

Sementara itu, JPN Sabah telah menjalankan Operasi Sifar Cicir Sabah (OPSCIS) di Pulau Banggi, Kudat, pada 9 November hingga 11 November 2021 dengan memberikan kelulusan permohonan dan pendaftaran murid dengan segera di kawasan tersebut. Program ini berjaya mengembalikan sebanyak 53 orang murid cicir ke sekolah serta menjimatkan kos kewangan ibubapa dalam kalangan B40 kerana tidak perlu ke JPN permohonan belajar.

JPN Pahang turut menjalankan bantuan murid cicir dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) negeri Pahang semasa menjalankan program vaksinasi di Sekolah Kebangsaan Titom dan Sekolah Kebangsaan Lejang Lipis. Program ini telah berjaya mengembalikan seramai 23 orang murid orang asli kembali ke sekolah.

Setelah pergerakan merentas daerah dibenarkan, beberapa JPN lain juga telah menjalankan program bantuan murid cicir bagi membantu mereka kembali ke sekolah. Dengan pelbagai aktiviti yang telah dijalankan daripada peringkat JPN hingga ke sekolah, kadar keciciran menunjukkan penurunan daripada 1.13 peratus pada tahun 2020 kepada 1.11 peratus pada tahun 2021.

Dapatan daripada program bantuan yang telah dijalankan menunjukkan isu keciciran yang berlaku sepanjang tempoh pandemik COVID-19 melibatkan murid sekolah peringkat rendah dan peringkat menengah di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan KPM akibat daripada pelbagai faktor keluarga dan murid. Walau bagaimanapun, program yang dijalankan mampu membantu murid cicir kembali ke sekolah. Bantuan murid cicir ini akan diperkukuh di semua PPD pada tahun 2022 bagi membendung isu keciciran murid pada peringkat rendah dan menengah. Program bantuan ini juga perlu disusuli dengan intervensi berfokus dan kerjasama padu daripada pelbagai agensi, kementerian dan komuniti setempat agar apa-apa yang digariskan berjaya seperti yang telah dijalankan oleh beberapa JPN. Selain itu, murid yang terkesan akibat COVID-19 perlu dikenal pasti secara individu agar mereka dapat diberi intervensi yang sesuai bagi memastikan mereka kekal dalam enrolmen pada peringkat rendah dan menengah serta dapat menamatkan pendidikan hingga tamat tingkatan lima.

Ternyata KPM sentiasa melangkah ke hadapan dalam memperbaik enrolmen murid. Maka itu, setiap program yang telah dijalankan pada tahun 2021 telah dianalisa keberkesanannya bagi memastikan perancangan bagi tahun seterusnya akan dapat memperbaik enrolmen murid di sekolah bagi setiap peringkat. Impak program yang dijalankan telah menunjukkan bahawa kerjasama yang dijalin dengan pelbagai pihak bagi mengesan dan mengenal pasti murid-murid yang terkesan dengan pandemik COVID-19 berjaya menarik semula serta mengekalkan murid-murid ini di sekolah. Oleh itu, bagi tahun 2022, KPM komited dalam meningkatkan kerjasama dengan komuniti setempat bagi meningkatkan enrolmen murid pada semua peringkat pendidikan. Hal ini termasuklah aktiviti seperti yang berikut:

1. Peluasan prasekolah KPM sebanyak 90 buah kelas di seluruh negara bagi memberikan peluang dan lebih ramai kanak-kanak mendapat pendidikan awal dan bersedia ke pendidikan formal.

2. Peningkatan enrolmen prasekolah swasta melalui pelaksanaan verifikasi data di tadika swasta, mengadakan beberapa siri sesi townhall bagi memberikan pendedahan kepada pengusaha tadika swasta mengenai kelebihan berdaftar dengan KPM.

3. Pelaksanaan bantuan yuran murid di tadika swasta bagi kumpulan murid daripada keluarga berpendapatan rendah.

4. Pengukuhan jalinan kerjasama dengan pelbagai agensi bagi meningkatkan enrolmen pada peringkat menengah atas.

5. Pencapaian TVET tidak hanya diukur menerusi kuantiti kemasukan murid tetapi perlu lebih berfokus kepada kualiti graduan TVET. Penambahbaikan prasarana di sesebuah institusi TVET hendaklah sentiasa dinaik taraf bagi memastikan pendidikan teknikal dan vokasional berkualiti diterima oleh pelajar KV. Pelaksanaan TVET KPM yang mampan tidak akan terlaksana dengan jayanya tanpa kerjasama semua pihak yang bertanggungjawab dalam merealisasikan agenda negara. Hal ini bermaksud, TVET KPM perlu terus diperkasa ke arah mengarusperdanakan pendidikan teknikal dan vokasional.

6. Perluasan cakupan pencarian murid cicir dan juga kanak-kanak yang tidak pernah mendapat pendidikan di mana-mana institusi pendidikan. Intervensi berfokus akan dirancang agar mereka kekal bersekolah hingga tamat menduduki peperiksaan SPM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.