Oleh Aninah Janang
20 November 2022, 17:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Malam yang panjang untuk Malaysia apabila keputusan penuh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hanya dimuktamadkan pada pukul 5.00 pagi tadi dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Parlimen tergantung apabila tiada parti yang mampu menawan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh, mengumumkan keputusan rasmi dengan Pakatan Harapan (PH) menguasai 82 kerusi, Perikatan Nasional (PN) sebanyak 73 kerusi, Barisan Nasional (BN) sebanyak 30 kerusi, Gabungan Parti Sarawak (GPS) 22 kerusi, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) 6 kerusi, dan Lain-lain parti 6 kerusi.

Tan Sri Abdul Ghani Salleh mengumumkan tiada mana-mana parti yang mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan.

Seperti sudah dijangka oleh banyak pihak, PRU pada kali ini mencatatkan tiada parti yang mampu meraih majoriti untuk membentuk kerajaan. Kajian dan ramalan oleh tujuh badan penyelidikan, antaranya termasuklah Merdeka Centre, Ilham Centre, Emir Research, Invoke, dan Unit Perisikan Ekonomi yang ratanya-ratanya merumuskan bahawa tiada gabungan yang akan menguasai majoriti mudah (112 kerusi) adalah benar.

PAS menguasai kesemua kerusi Parlimen di Kelantan dan Terengganu.

PH memenangi kerusi terbanyak tetapi masih gagal membentuk kerajaan. Hal ini diikuti dengan PN dan BN. Tidak cukup dengan keputusan itu, prestasi BN yang merudum mengejutkan negara. Parti itu hanya memenangi 30 kerusi berbanding dengan 79 kerusi pada PRU-14. Malah beberapa kawasan yang dikatakan kubu kuat BN turut dirampas oleh parti lawan. Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pula mengukuhkan kedudukannya apabila berjaya membolot bersih kesemua kerusi Parlimen di Kelantan dan di Terengganu.

 

Paling mengejutkan, PRU-15 turut menyaksikan Tun Dr. Mahathir Mohamad dari Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) tewas di Parlimen Langkawi. Selain Tun Mahathir, anak beliau, Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut kecundang di Parlimen Jerlun. Tidak kurang mengejutkan apabila anak Presiden Parti Keadilan Rakyat, Nurul Izzah Anwar tumpas di Permatang Pauh. Nasib yang sama turut menimpa Khairy Jamaluddin di Parlimen Sg. Buloh, Tengku Razaleigh Hamzah di Parlimen Gua Musang, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di Parlimen Gombak, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Parlimen Putrajaya, Tian Chua di Parlimen Batu, dan Datuk Joniston Bangkuai di Parlimen Tuaran.

Parti Pejuang kalah di semua kerusi Parlimen.

Hakikatnya, rakyat sudah membuat keputusan. Kini, sebuah kerajaan perlu dibentuk untuk memastikan sistem pemerintahan negara dapat berjalan dengan sempurna. Maka itu, kerajaan gabungan diperlukan untuk membentuk majoriti yang akan memerintah negara ini.

Pastinya, gabungan ini tidaklah mudah seperti yang disangkakan. Hal ini dikatakan demikian kerana kerajaan yang diperlukan mestilah dalam kalangan parti yang dapat membawa kestabilan dalam pemerintahan negara bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan negara terus terpelihara.

Menurut Penganalisis Politik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd. Muis, keputusan PRU-15 membuktikan bahawa rakyat sudah berubah dalam membuat keputusan. Pada kali ini katanya, rakyat bersuara melalui naluri mereka yang mahu melihat perubahan yang menyeluruh.

PN dikatakan menepati formula mengetuai gabungan parti untuk membentuk kerajaan campuran.

“Kita menyaksikan parti terbesar Melayu yang kalah hampir di keseluruhan negeri-negeri pengundi majoriti Melayu. UMNO tidak mampu menawan sebarang kerusi Parlimen di Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Melaka. Maka itu, tidak keterlaluan kita menyatakan bahawa ini PRU tsunami Melayu. Walau bagaimapaun, apa-apa yang disuarakan oleh rakyat itu wajar kita hormati. Cuma selepas ini yang terpenting dalam permainan politik angka dalam PRU ini ialah parti mana yang akan membentuk kerajaan. Saya berpandangan bahawa formula terbaik untuk membentuk kerajaan adalah dengan dokongan parti Melayu yang terbesar dan jika diperhatikan sudah tentulah PN yang menepati ciri ini. Dalam hal ini juga, keputusan PRU-15 secara jelas membuktikan bahawa PN mempunyai kelebihan dalam segala komponen untuk membentuk kabinet kerajaan yang baharu,” ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Azizuddin Mohd Sani, menjelaskan bahawa keputusan PRU-15 merupakan senario yang harus diterima oleh semua pihak.

“Sejak awal, kita sudah menjangkakan bahawa apabila banyak pertembungan parti berlaku, maka akan mengakibatkan undi pecah dan sudah tentu majoriti sukar dicapai untuk mana-mana parti. Kita sudah meramalkannya. Sememangnya akan berlaku Parlimen tergantung. Malah, di Pahang dan Perak juga masih belum ada majoriti yang dapat membentuk kerajaan negeri. Inilah hakikat yang perlu kita terima kerana rakyat mengundi pada kali ini berasaskan parti, walaupun pada awalnya kita menjangkakan banyak calon yang berpengaruh akan menang atau mengekalkan kerusi masing-masing, namun hal itu sebaliknya. PRU-15 telah membuktikan bahawa saingan tidak lagi bergantung pada kekuatan calon, tetapi berasaskan kekuatan parti yang bertanding.

Dalam gabungan kerajaan yang akan dibentuk ini, Profesor Dr. Azizuddin percaya bahawa perundingan menjadi kunci utama. Perundingan ini harus mengangkat kepentingan rakyat melebihi segala-galanya kerana apa-apa yang dimahukan oleh rakyat ialah kerajaan yang stabil dan mampu membawa negara ini keluar daripada kemelut politik dan ekonomi.

“Pemimpin politik yang terlibat dalam penggabungan ini perlu mencari jalan yang terbaik untuk membentuk kesepakatan yang benar-benar stabil agar pilihan rakyat pada PRU-15 ini tidak disia-siakan seperti yang berlaku pada PRU-14 yang lalu,” ujarnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.