Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bermula pada hari ini 27 hingga 28 Februari 2023 bertempat di Akademi DBP telah berlangsung Kursus Keterampilan Moderator yang dibimbing oleh Encik Ahmad Fedtri Yahya, personaliti TV3 yang tidak asing lagi dan Encik Irfan Syahmi Nasution, personaliti televisyen dari Didik TV.
Kursus ini mendedahkan ilmu yang berkaitan persediaan dan serta kaedah yang tepat untuk persiapan diri individu sebagai moderator.
Perkongsian daripada Encik Ahmad Fedtri Yahya berkaitan dengan insiden atau “musibah” yang mungkin boleh terjadi kepada moderator telah membuka minda para karyawan yang terlibat dalam kursus ini. Sebanyak 25 jenis musibah yang boleh terjadi kepada moderator ini antaranya termasuklah apabila seorang moderator tiada pengetahuan akan topik atau isu yang akan diperbincangkan. Malah sikap sambil lewa seorang moderator kepada slot atau sesuatu program akan menyebabkan moderator terbabit dilihat seolah-olah tidak cukup persediaan. Selain itu, gangguan yang berkaitan dengan teknikal dan manusiawi juga akan menjejaskan keterampilan moderator. Musibah lain seterusnya menjadi panduan penting kepada peserta kursus ini untuk benar-benar dapat menjiwai tanggungjawab sebagai moderator yang profesional.
Menurut Puan Sanisah Hashim, Pengurus Projek bagi kursus ini, tidak semua orang berminat dan bersedia untuk menjadi seorang moderator. Sebagai badan ilmu yang berkaliber, karyawan DBP perlu tampil dengan lebih meyakinkan ketika menjadi moderator dalam program-program anjuran DBP. Oleh itu, kursus yang dianjurkan oleh Akademi DBP ini akan memberikan nilai tambah kepada keterampilan keseluruhan karyawan DBP yang menyertai kursus ini.
Bagi Encik Irfan Syahmi (Didik TV) pula, menerusi kursus ini peserta akan dapat menimba pengalaman daripada kalangan penggiat industri ini dan sudah tentu ilmu yang dibekalkan dapat menyerlahkan lagi bakat karyawan DBP dalam bidang ini.
Kursus yang berlangsung selama dua hari ini menerima penyertaan sebanyak 25 orang karyawan DBP dari pelbagai bahagian dan jabatan.