Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Gunung Kinabalu – Program Pemerkasaan Pantun di Taman Kinabalu berjaya melakar sejarah tersendiri apabila papan tanda yang merakamkan keunikan pantun Melayu selesai dipasang oleh karyawan DBP Cawangan Sabah di sepanjang laluan Gunung Kinabalu, Rabu lalu.
Selaras dengan Pelan Strategik DBP 2021–2025, iaitu mengadaptasi program DBP dengan kegiatan bersifat sohor kini, seperti ekopelancongan dan rekreasi, kegiatan berimpak tinggi ini berhasil dilaksanakan dengan kerjasama dan sokongan Taman-Taman Sabah (TTS).
Sebanyak 10 buah papan tanda dipasang di hentian strategik sepanjang laluan pendakian, iaitu Pondok Timpohon, Pondok Kandis, Pondok Ubah, Pondok Lowii, Pondok Mempening, Pondok Vilosa, Restoran Panalaban, Pelantar Ranau View Point dan Stesen Sayat-sayat.


Untuk rekod, Stesen Sayat-sayat berketinggian 3653 meter dari aras laut, sekali gus menjadikan papan tanda pantun yang dipasang di hentian ini tertinggi di Malaysia.

Proses pemasangan papan tanda ini bermula pada 7 Mei 2024, dari pondok Timpohon hingga pondok Vilosa.
Pemasangan selesai sepenuhnya pada 8 Mei 2024 dari Stesen Sayat-sayat hingga Restoran Panalaban.
Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah, yang terlibat dalam ekspedisi pendakian ini turut berbesar hati menyempurnakan pemasangan papan tanda terakhir di Restoran Panalaban.
Kegiatan yang julung-julung kalinya diadakan ini selaras dengan harapan DBP dan TTS, iaitu pemasangan papan tanda pantun yang bercirikan tempatan dapat mempromosikan pantun sebagai warisan negara dan khazanah puisi Melayu tradisional, di samping memberikan nilai tambah terhadap industri pelancongan tempatan.