Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJurufoto: Mohd Farid Janudin
Kuala Lumpur – Ahli Dewan Negara, Yang Berhormat (YB) Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan menyatakan bahawa pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Persatuan Kebudayaan Han Malaysia perlu meneruskan usaha penterjemahan dan penerbitan karya dari China ke dalam bahasa Melayu, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan.
“Selain itu, sudah tiba masa untuk kita perkenalkan sastera, seni, budaya dan bahasa Melayu kepada masyarakat negara China. Saya menyarankan DBP untuk membawa masuk karya sastera bermutu tinggi lain, seperti karya Sasterawan Negara ke dalam pasaran China.”
Pada majlis yang sama, beliau turut menyampaikan set buku “50 Buku Kanak-kanak dan Remaja China-Malaysia” kepada 12 buah sekolah yang terpilih.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Yang Berbahagia (YBhg.) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan menyatakan bahawa DBP telah bekerjasama dengan Radio Antarabangsa China dalam projek kerjasama penerbitan buku, seperti Kenali Beijing dan Koleksi Cerita Klasik China pada tahun 2015 dan 2018. Tambah beliau,
“Buku tersebut telah diterbitkan dalam bahasa Melayu dan dijual di Malaysia. DBP berpengalaman luas dalam penerbitan buku terjemahan dari China. Komitmen tersebut mampu menerbitkan pasaran buku secara global.”
Beliau berharap agar kerjasama seterusnya dapat dilakukan dengan menterjemahkan karya sastera ke dalam bahasa Mandarin. Langkah ini diharapkan dapat mengeratkan hubungan masyarakat dari kedua-dua buah negara.
Presiden Kebudayaan Han Malaysia, Dato’ Goh Hin San pula menyatakan bahawa penerbitan 50 buah judul buku tersebut perlu mengikuti kriteria yang sudah ditetapkan.
“Buku yang diterbitkan tersebut mencakupi karya klasik dan kontemporari. Terbitan buku tersebut menjadi bukti bahawa bidang seni, budaya dan bahasa mempunyai kepentingan yang sama seperti hubungan ekonomi.”