Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Pusat Dakwah Jepun (JDC) telah menjalankan sesi secara dalam talian bersama-sama Ustaz Zulkarnain Hasan Basri dengan pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Pagoh, yang mengambil mata pelajaran Introduction in Japanese Culture and Society (JPCO). Sesi ini menceritakan tentang keadaan Islam di Jepun dan JDC mengambil peluang untuk mengajak para pelajar untuk bersama-sama berdakwah di sana.
Menurut Zulkarnain Hasan Basri dalam sesi ceramah:
Orang Jepun masih berpusu-pusu mencari Islam di Jepun. Walaupun mereka beranggapan bahawa orang Islam merupakan kaum yang suka berperang, namun mereka sering bertemu dengan orang Islam yang baik. Mereka terpegun dan tertarik dengan kecantikan adab dan budaya yang dimiliki oleh umat Islam …

Ustaz Zulkarnain Hasan Basri yang lebih mesra dipanggil Ustaz Zul merupakan Pengasas JDC, Presiden Japan Muslim Foundation, CEO Nippon Muslim Corporation dan Pengarah Urusan AWQAF Japan Corporation. Beliau bergiat aktif menyebarkan dahwah Islam sejak tahun 2008 secara individu dan dari semasa ke semasa mengajak orang Islam untuk berdakwah bersama-samanya demi meningkatkan umat Islam di negara Jepun.
UIAM juga telah mengadakan kerjasama dengan pelajar Jepun di Universiti Sophia. Kerjasama tersebut diadakan pada setiap semester untuk pelajar JPCO membincangkan tentang hala tuju Islam di Jepun.
Menurut Ustaz Zul, usaha kerjasama antara orang Islam dengan orang Jepun ini memberikan maklum balas yang positif dalam kalangan masyarakat Jepun. Encik Sato misalnya, tertarik dengan usaha yang dijalankan oleh orang Islam, yang tidak mementingkan wang semata-mata dalam menjalankan sesuatu pekerjaan. Hal ini menyebabkan Encik Sato terbuka hati untuk memeluk Islam melalui JDC. Namun begitu, menurut Ustaz Zul, Islam di Jepun masih belum berkembang secara meluas, tetapi Islam merupakan agama yang paling pesat berkembang di Jepun.
Menurut Azmi et al. (2023), kebanyakan masyarakat Jepun beranggapan bahawa agama hanyalah budaya dan tradisi manusia. Oleh itu, mereka tidak mengambil peduli tentang agama yang dianuti oleh mereka, tetapi tetap mengakui kewujudan Tuhan dan mengamalkan kehidupan dan peraturan yang ditetapkan oleh Allah SWT. Selain itu, makanan halal di Jepun agak sukar didapati dan harganya agak mahal berbanding dengan makanan tidak halal, walaupun jenis makanannya sama. Katanya lagi:
Untuk mendapatkan makanan halal di Jepun agak sukar. Jika ada sekalipun, harganya agak mahal. Contohnya, burger yang tidak halal dijual dengan harga RM10, manakala burger yang halal dijual dengan harga RM30 …
Perkara ini terjadi kerana makanan halal di Jepun tidak mempunyai persaingan yang tinggi dengan peniaga lain. Oleh itu, penjual makanan halal di Jepun boleh meletakkan harga yang tinggi pada makanan halal yang dijual. Penjual beranggapan bahawa, makanan halal tersebut akan tetap dibeli oleh orang muslim walaupun harganya berlipat ganda kerana mematuhi syariah standard makanan halal.

Kotoha Amano, yang merupakan pelajar di Universiti Sophia berkata, si Universiti Sophia ini juga mempunyai beberapa orang pelajar Islam, oleh itu terdapat surau dan kafe halal yang dibina untuk kemudahan para pelajar muslim.
Menurut Ustaz Zul lagi, kepekaan terhadap kepentingan logo halal kepada orang Islam dalam kalangan pengusaha makanan di Jepun masih berada pada tahap yang rendah. Oleh itu, setiap umat Islam yang melancong atau menetap di Jepun perlu mempelajari bahasa Jepun untuk mengetahui bahan-bahan yang digunakan dalam makanan yang tidak mempunyai logo halal. Jika tidak, sukar untuk umat Islam mendapatkan makanan yang boleh dimakan tetapi tiada logo halal.
Namun begitu, terdapat aplikasi yang dibangunkan oleh Jepun untuk mendapatkan makanan halal atau yang boleh dimakan di sekitar Jepun. Umat Islam hanya perlu belajar menggunakan aplikasi tersebut bagi memudahkan urusan pembelian makanan. Jepun merupakan sebuah negara yang bukan dalam Organisation of Islamic Cooperation (OIC) yang menduduki tempat ketiga dan menjadi pilihan pelancong Islam dari seluruh negara. Oleh itu, Jepun telah membina sebuah organisasi yang dipanggil Persatuan Halal Jepun (JHA). Mereka bertanggungjawab mengawasi pensijilan halal kedai dan makanan serta membina beberapa masjid atau tempat solat bagi umat Islam. Jepun juga menggalakkan syarikat pelancongan di Jepun menawarkan pakej mesra Muslim, terutamanya di Tokyo dan Osaka (Nur’aini dan Sucipto, 2021).

Dalam sesi secara dalam talian ini juga, Encik Shigeo dan Puan Risa telah berkongsi tentang kehidupan orang Islam di Jepun, terutamanya isterinya, Puan Risa. Encik Shigeo telah pergi ke Syria dan melihat banyak peperangan yang berlaku di sana. Beliau kagum dengan semangat orang Islam yang sangat tenang ketika peperangan dan terkesan dengan perkara yang berlaku sehinggakan beliau ingin mendalami ilmu agama Islam. Oleh hal yang demikian, Encik Shigeo telah bertemu dengan seorang wanita dan memulakan dakwah bersama-samanya selama lapan tahun dan kini seluruh keluarga kecilnya beragama Islam. Menurut Puan Risa:
I just convert almost two years. So, for me it’s feeling nervous to wear hijab because its nobody wear hijab in Japan. And then, when I wear hijab, the people think I’m a foreigner, not Japanese.
Puan Risa berkongsi pengalamannya ketika mula-mula memeluk Islam. Dia berasa gementar untuk berhijab kerana tidak ada orang Jepun di sekelilingnya yang berhijab. Jika dia memakai tudung, orang sekelilingnya menganggap dia bukan orang Jepun, tetapi seorang pelancong muslim. Namun begitu, suaminya sentiasa menyokongnya untuk menjadi seorang muslim yang berani.
Menurut Encik Shigeo, orang Jepun mempunyai tujuan hidup dan perwatakan serta akhlak yang baik, mereka juga sangat menitikberatkan nilai tradisional yang terdapat di dalam diri rakyat Jepun. Oleh itu, mereka akan sentiasa menjaga kebersihan, kesopanan, kejujuran, kebaikan dan segala ajaran Islam seperti yang terdapat di dalam al-Quran. Beliau berkata bahawa penerimaan Islam di Jepun adalah lebih baik daripada negara Islam yang lain.

Kesimpulannya, masih ramai lagi warga Jepun yang belum menganut agama Islam. Walau bagaimanapun, Pusat Dakwah Jepun (JDC) mengadakan pengambilan pelajar latihan praktikal untuk belajar sambil berdakwah di Jepun pada setiap tahun. JDC menawarkan pelbagai kemudahan dan kelebihan jika menyertai mereka mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.