Diterbitkan pada 2 September 2024, 16:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

 

Pegawai PPD Sepang Datin Wan Nor Ashikin Abu Kassim (kanan) menyerahkan kunci kelas kabin kepada guru besar SK Cyberjaya Puan Norma Edrus (kiri, tudung biru gelap).

Cyberjaya – Sebanyak 12 bilik darjah kabin pasang siap, termasuklah kerja-kerja ubah suai seperti pendawaian elektrik, penyediaan perabot, peralatan dan kemudahan tandas, telah diserahkan semula kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya, Selangor.

Dalam Majlis Penyerahan Projek Siap Kelas Kabin/Modular IBS SK Cyberjaya yang berlangsung pada pagi ini, pihak kontraktor telah menyerahkan kunci simbolik kepada pihak sekolah melalui guru besarnya, Puan Norma Edrus dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sepang yang diwakili oleh Datin Wan Nor Ashikin Abu Kassim.

Penyerahan kunci disaksikan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dato’ Indera Nik Nasarudin Mohd Zawawi.

Menurut Dato’ Indera Nik Nasarudin, projek bernilai lebih daripada RM2 juta ini dapat memberikan penyelesaian dalam jangka pendek kepada isu sekolah padat yang dihadapi oleh sekolah terbabit.

Tambah beliau, inisiatif ini dapat memberikan keselesaan kepada murid dan guru yang mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Bagi penyelesaian jangka panjang pula, sekolah baharu, iaitu SK Cyberjaya 2 kini sedang berada dalam fasa untuk memulakan pembinaan dan dijangka siap pada tahun 2027.

Sekolah baharu yang dilengkapi dengan 36 bilik darjah dan pelbagai kemudahan lain ini dapat membantu menangani isu sekolah padat di Cyberjaya dan di kawasan sekitar.

KPM proaktif mengatasi isu sekolah padat di seluruh negara. Pelbagai pendekatan diambil, termasuklah menerusi pembinaan bilik darjah kabin, pelaksanaan kelas terapung dan penyuraian murid ke sekolah berhampiran.

Sebagai rekod, kerajaan telah meluluskan pembinaan sejumlah 26 buah sekolah baharu di seluruh negara pada tahun ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi