Diterbitkan pada 9 September 2024, 09:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seperti Bangladesh, Thailand turut menerima kepimpinan baharu. Berbeza dengan mantan Perdana Menteri (PM) Bangladesh, Sheikh Hasina yang memegang tampuk kuasa selama 15 tahun, Srettha Thavisin yang menerajui parti Pheu Thai, hanya mampu bertahan kurang setahun. Pemecatan tersebut menjadikan dirinya PM Thai keempat dalam tempoh 16 tahun yang dipecat oleh mahkamah.

Lima daripada sembilan orang hakim Mahkamah Perlembagaan negara itu mengundi untuk memecat Thavisin dan kabinetnya dengan memutuskan bahawa pemimpin tersebut sedar bahawa beliau melantik Pichit Chuenban yang tidak mempunyai standard dan integriti moral serta etika, selain menjerumuskan Thailand ke dalam ketidakpastian politik. Penghakiman dibacakan oleh Hakim Punya Udchachon, lapor Al Jazeera.

Chuenben yang rapat dengan keluarga bekas PM bertaraf jutawan, Thaksin Shinawatra, dipenjarakan selama enam bulan lantaran menghina mahkamah pada tahun 2008 atas dakwaan cubaan merasuah kakitangan institusi mulia itu (mahkamah). Meskipun dia meletakkan jawatan daripada kabinet dengan matlamat mahu menyelamatkan Thavisin, mahkamah tetap meneruskan kes tersebut.

Sebenarnya, petisyen terhadap PM ke-30 Thai itu telah dibawa oleh sekumpulan 40 orang Senator Konservatif dengan kesemuanya dilantik oleh junta tentera yang menggulingkan kerajaan Pheu Thai (yang dipilih dalam rampasan kuasa pada tahun 2014).

Bercakap kepada AFP, penganalisis politik, Thitinan Pongsudhirak berkata, pihaknya tidak menjangka figura berusia 62 tahun itu akan dipecat. Pandangan berkenaan dikemukakan kerana Thailand dilihat sukar mencari pengganti yang sesuai. Dalam wawancara bersama Reuters, veteran parti pemerintah Pheu Thai, Prommin Lertsuridej pula berpendapat, Thavisin sudah melakukan semua perkara mengikut prosedur undang-undang.

Dari satu sisi lain, hartawan hartanah berkenaan dianggap sebagai ahli politik yang belum cukup matang dalam pentas politik. Alasannya cukup mudah. Beliau hanya beberapa bulan menerjah ke bidang penuh pancaroba itu sebelum pemilihan pada tahun lalu. Thavisin juga dilihat masih gagal dalam mengembalikan kestabilan ekonomi Thailand.

Dalam tinjauan Institut Pentadbiran Pembangunan Negara pada Jun lalu, hanya 12.85 peratus responden menyokong kepimpinannya, iaitu mencatatkan penurunan daripada 22.35 peratus pada Disember tahun lalu, lapor Channel News Asia (CNA).

Skim Dompet Digital yang diperkenalkan mantan bekas ketua eksekutif Sansiri itu, disifatkan sesetengah pakar termasuk bekas bank pusat sebagai skim tidak bertanggungjawab secara fiskal. Skala pemberiannya juga mendapat perhatian dari Bank of Thailand yang juga telah bertelagah dengan kerajaan mengenai kadar faedah utama.

Seperti yang diperkatakan, ekonomi negara itu masih bergelut sejak pandemik COVID-19 melanda dunia. Hutang lapuk termasuk indeks sentimen perindustrian Thai dilaporkan jatuh ke paras terendah dalam tempoh dua tahun pada Jun lalu, dengan sektor auto utama merosot teruk dan pengeluaran turut menjunam. Thavisin juga dikritik hebat kerana sering mengadakan lawatan kerja ke luar negara sepanjang sepuluh bulan memegang jawatan.

Sejurus selepas pemecatannya pada 14 Ogos lalu, Speaker Dewan Rakyat Thailand, Wan Muhamad Noor Matha menghantar notis kepada semua Ahli Parlimen pada hari yang sama meminta kesemua hadir ke mesyuarat khas memilih PM susulan keputusan mahkamah yang mengejutkan ramai itu.

Akhirnya, dua hari selepas itu, Paetongtarn Shinawatra mengambil alih posisi berkenaan. Parti Pheu Thai memilih Shinawatra sebagai calon pengganti. Wanita tersebut mendahului Chaikasem Nitisiri yang berusia 75 tahun. Seperti yang diketahui, jawatan PM Thai pernah disandang oleh bapanya, Thaksin yang digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada tahun 2006.

 

Tugas sukar

Pelantikan tersebut sekali gus menjadikan Shinawatra sebagai PM termuda dalam sejarah Thailand, dan pada masa yang sama direkodkan sebagai PM ketiga dengan nama Shinawatra, selepas bapa dan ibu saudara beliau, Yingluck Shinawatra (disingkirkan daripada jawatan pada tahun 2014). Pada tahun 2008, abang ipar Thaksin, Somchai Wongsawat pernah menjadi PM buat seketika. Pemerhati menyifatkan, apa yang terjadi di Thailand kini menunjukkan Thaksin kekal berpengaruh.

Sama seperti Thavisin, Shinawatra merupakan pemimpin wanita yang kaya raya juga seorang pendatang baharu politik, yakni sekitar tahun 2021. Sebagai rekod, Shinawatra mula membuat penampilan terbuka pertama dalam arena penuh liku ini pada pemilihan tahun lepas dan telah mencuri perhatian ramai. Ketika itu beliau ialah Ketua Parti Pheu Thai. Walaupun beliau pernah berkata, jawatan PM Thai bukanlah “sasarannya”, namun pemerhati politik tidak percaya dengan kata-kata tersebut.

Shinawatra dengan nama samaran, Ung Ing seorang yang sangat muda, iaitu berusia 37 tahun dan hanya kira-kira empat tahun “bergelumang” dalam kancah politik. Beliau berkahwin dengan juruterbang komersial, Pidok Sooksawas pada tahun 2019 dan dikurniakan dengan dua cahaya mata. Ujar Shinawatra, dirinya dengan politik bagai aur dengan tebing. Ujar beliau: “Ketika saya berumur lapan tahun, bapa saya menceburi bidang politik. Sejak hari itu, hidup saya turut diselubungi dengan hal-hal politik.”

Graduan Universiti Chulalongkorn di Bangkok dalam jurusan Sains Politik, Sosiologi dan Antropologi pernah menceritakan saat-saat getir diselar oleh pensyarah yang tidak senang dengan bapanya. Bukan itu sahaja, para pelajar menggantung poster dengan muka Thaksin diconteng. Beliau juga seakan dipulaukan apabila ramai tidak mahu menghampiri dan sengaja menjauhkan diri daripadanya, lapor The Guardian.

Selepas menamatkan pembelajaran di Bangkok, Shinawatra terbang ke England untuk menyambung pengajian dalam bidang Pengurusan Hotel Antarabangsa di Universiti Surrey. Ilmu yang diraih kemudian dicurahkan untuk empayar perniagaan kelaurganya. Beliau juga merupakan pemegang saham terbesar SC Asset Corporation dan Pengarah Yayasan Thaicom. Setakat tahun 2022, Shinawatra mengendalikan 21 buah syarikat bernilai AS$2 bilion.

Dalam Mesyuarat Agung parti pada tahun 2022, Shinawatra secara terang-terangan berkat bahawa beliau mahu melihat perubahan rejim di Thailand dan ingin menimba lebih banyak pengalaman sebelum bertanding jawatan PM. Pada April 2023, beliau secara rasmi dicalonkan sebagai seorang daripada tiga calon PM daripada parti Pheu Thai untuk pilihan raya umum bersama Thavisin dan Nitisiri.

Persoalan yang membelenggu ramai ialah dengan berbekalkan pengalaman yang sedikit, adakah anak bongsu daripada tiga orang adik beradik itu mampu mengemudi Thailand yang dihuni oleh hampir 72 juta orang penduduk? Beliau tidak pernah berkhidmat dalam sektor kerajaan dan kurang mahir dalam pentadbiran. Populariti yang diraihnya juga disumbangkan daripada kemasyhuran seorang bapa yang hartawan dan ibu saudara. Oleh itu, keupayaan figura dengan raut wajah jelita itu menjadi tanda tanya.

Secara analitikal, Shinawatra pasti akan berdepan dengan tugas berat untuk mengekalkan gabungan dalam parti termasuk membina semula imej (parti). The Guardian melaporkan, kehadiran beliau yang ketika itu sarat mengandung pada kempen pilihan raya Pheu Thai tahun lalu antara lain berusaha untuk meningkatkan sokongan rakyat yang masih setia pada bapanya. Pun demikian, pengaruh Thaksin semakin pudar apabila gerakan muda Move Forward yang menawan paling ramai pengundi (sebelum pemimpinnya, Pita Limjaroenrat gagal dipilih jadi PM Thailand).

Apa pun tanggapan, ramai masih percaya dengan kredibiliti ibu kepada dua orang anak yang masih kecil itu. Meski masih “belum matang”, dirinya ialah seorang pemidato yang hebat yang semestinya dipelajari daripada bapanya. Menyokong kenyataan tersebut, seorang profesor Sains Politik, Universiti Chulalongkorn, Thitinan Pongsudhirak berkata, kebolehan Shinawatra diwarisi daripada ahli keluarganya. Ujarnya lagi: “Beberapa bakatnya seperti berpidato, berhubung dengan pengundi, bercakap di hadapan khalayak ramai termasuk berkempen ketika sedang mengandung.”

Apabila sudah berada di kerusi PM, kata-kata yang terpacul daripada mulutnya suatu ketika dahulu pasti akan ditagih rakyat. Memetik ucapannya pada kempen pilihan raya lalu, beliau secara lantang menyatakan: “Empat tahun akan datang ialah tahun di mana negara kita akan bangkit dan mendapatkan semula maruah dan kebanggaan kita. Berfikirlah pada skala besar dan bertindak bijak. Hal ini akan membantu membina semula negara kita dan meningkatkan kehidupan rakyat Thai. Hanya kestabilan politik yang akan membantu.”

Pemilik Instagram @ingshin21 dengan 683,000 pengikut itu juga telah menggariskan beberapa cadangan yang memberi manfaat kepada rakyat termasuk menggandakan gaji minimum harian, memperluas liputan penjagaan kesihatan dan mengurangkan tambang sistem pengangkutan awam Bangkok, lapor AP.

Memang benar Shinawatra memiliki sekelumit pengalaman dan tentunya mendatangkan kerisauan yang optimum dalam kalangan rakyat. Tambahan, politik Thai masih bergolak dan taraf ekonomi masih lembap. Beliau juga perlu berhati-hati dalam mengelak rampasan kuasa tentera dan campur tangan mahkamah yang menumbangkan empat pentadbiran terdahulu partinya. Meski dikaitkan dengan legasi bapa dan ibu saudara, mahu atau tidak, beliau perlu berdiri di atas kaki sendiri.

Ujian sebenar baru bermula. Tidak salah sekiranya Shinawatra yang masih bertenaga itu menjadikan si bapa sebagai mentor dalam mengurus pentadbirannya yang bukan mudah. Ayahnya juga mungkin menjadi pengaruh besar dalam kepimpinan pemimpin muda itu. Sulit untuk mengelak daripada terus dibayangi Thaksin mahupun Yingluck. Seperkara lain, bagaimanakah pula nasib penduduk Selatan Thai yang kurang pembelaan? Hanya masa yang akan menentukan segalanya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi