Diterbitkan pada 9 Februari 2025, 17:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Kangsar – Program Welcome Back to School 2025 atau Program Kembali ke Sekolah 2025 anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kuala Kangsar berlangsung dengan meriah di Dewan Chandan Putri, Kuala Kangsar. Program ini bertujuan membantu murid membuat persediaan bagi menghadapi sesi persekolahan baharu serta memperkukuh budaya membaca menerusi penyertaan aktif Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Selaras dengan peranannya dalam memperkasakan budaya membaca, DBP turut memperkenalkan inovasi pendidikan digital melalui pameran aplikasi Buku Teks Digital Interaktif (BTDI) Cekap Baca. Aplikasi ini menyediakan platform digital yang membolehkan murid menguasai kemahiran membaca dalam bahasa Melayu secara interaktif dan lebih menyeronokkan.

Seiring dengan perkembangan teknologi, DBP terus mengorak langkah dalam memperluas akses kepada bahan pembelajaran digital dan memperkaya pengalaman pendidikan generasi baharu.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Yang Berhormat (YB) Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, inisiatif DBP dalam menyemarakkan budaya membaca amat signifikan dalam pembangunan akademik pelajar.

Murid-murid mencuba aplikasi BTDI Cekap Baca dan permainan realiti maya (VR).

“Kami berbesar hati dengan penyertaan DBP yang bukan sahaja menyediakan bahan bacaan berkualiti, malah turut memperkenalkan teknologi pendidikan yang canggih. Inisiatif ini merupakan lonjakan besar dalam usaha mempersiapkan murid untuk sesi persekolahan yang lebih progresif,” ujarnya.

Pengurus Program Kembali ke Sekolah 2025, Mohd Radzuan Mohd Rafee turut menekankan kepentingan menyediakan persekitaran yang kondusif bagi memastikan keselesaan peserta dan pengunjung.

“Kami memastikan setiap khemah dilengkapi dengan kemudahan yang terbaik termasuklah kipas, televisyen pintar dan ruang interaktif bagi membolehkan murid serta ibu bapa mengenali produk digital DBP dengan lebih dekat,” jelasnya.

Penyertaan DBP dalam program ini mencerminkan komitmennya yang tidak berbelah bahagi dalam memupuk budaya ilmu sejak usia muda. Dengan memperluaskan akses kepada sumber bacaan menerusi program literasi serta inovasi digital dalam pendidikan, DBP terus menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan negara.

Usaha ini bukan sahaja memastikan murid mendapat bahan rujukan yang berkualiti, malah turut menjadikan pembelajaran sebagai satu pengalaman yang lebih menarik dan berdaya saing.

Selain pameran BTDI Cekap Baca, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan sepanjang program ini termasuklah pertandingan mewarna, pertandingan busana kreatif, ceramah Jom Masuk Universiti serta acara berbasikal.

Sebanyak 1000 murid dari kawasan sekitar menerima sumbangan keperluan sekolah seperti beg, kasut, pakaian dan alat tulis.

Program Kembali ke Sekolah 2025 merupakan sebahagian daripada inisiatif Program Kasih yang bertujuan membina komuniti sejahtera melalui pendidikan. Sokongan daripada pelbagai pihak termasuklah DBP  mencerminkan komitmen tinggi terhadap pembangunan pendidikan dan sosial di kawasan ini.

Melalui pelibatan DBP,  program ini bukan sahaja meraikan permulaan sesi persekolahan, malah turut membuka lembaran baharu dalam transformasi pendidikan yang lebih dinamik, inklusif dan berpaksikan teknologi.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi