Diterbitkan pada 11 Februari 2025, 22:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuching – Sarawak bersedia menubuhkan institusi kepimpinan untuk memperkasakan kepimpinan kontemporari bagi melahirkan pemimpin yang berwawasan dan inklusif di Sarawak.

Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, berkata usaha melahirkan pemimpin yang berpandangan jauh penting dalam menghadapi cabaran dunia pada hari ini dan institusi tersebut menjadi pemacu dalam melahirkan pemimpin yang berpandangan strategik, berintegriti dalam tadbir urus serta inklusif dalam tindakan.

YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari berkata demikian dalam Sidang Kemuncak Kepimpinan Kontemporari Antarabangsa (CLIS) 20205 di Institut Pengurusan Sarawak (MASA) dan Yayasan Penyelidikan dan Pendidikan Malaysia (MyREF) pada pagi tadi di Riverside Majestic Hotel, Kuching, Sarawak.

Jelas beliau, “Kepimpinan yang cemerlang tidak berlaku sekelip mata, ia memerlukan latihan berstruktur, pembelajaran dan bimbingan berterusan serta pengalaman asas yang kukuh dengan prinsip sejagat.”

Oleh itu, beliau berharap agar usaha melahirkan kepimpinan kontemporari bukan sekadar konsep malahan diterjemahkan dalam tindakan dan diamalkan secara tersusun dan berinstitusi.

“Kepimpinan perlu dipupuk, dilatih, dibimbing dan dilengkapi dengan prinsip pandangan jauh yang strategik, kebolehpercayaan serta inklusif,” tambah beliau.

Beliau menjelaskan bahawa kepimpinan yang lemah akan membawa kepada ketidakstabilan, ketidaktentuan ekonomi serta hilangnya kepercayaan rakyat.

Menurut beliau, kepercayaan rakyat kepada pemimpin penting untuk memacu kemajuan dan pembangunan negara.

Dalam usaha membangunkan ekonomi negara, beliau turut menitikberatkan tadbir urus yang telus dan pemimpin yang berpandangan jauh bagi memupuk keyakinan pelabur.

Selain itu, tranformasi digital dengan elemen kreativiti dan inovasi juga perlu diseiringkan dalam pembangunan negara dan perkara ini juga memerlukan tindakan pemimpin yang berwawasan yang berupaya membawa negara jauh ke hadapan dalam pembangunan dan bersedia menghadapi keadaan dunia yang tidak menentu.

Menurut Pengerusi MyREF, Prof. Emeritus Datuk Abang Abdullah Abang Ali, Sidang Kemuncak Kepimpinan Kontemporari Antarabangsa (CLIS) 20205 yang berlangsung selama dua hari, iaitu pada 11 dan 12 Februari 2025 ini melibatkan 12 orang pembentang kertas kerja dari pelbagai negara dan 1200 orang peserta.

Terdahulu, MyREF telah mengukuhkan jangkauan antarabangsa melalui kerjasama dengan Markfield Institute of Higher Education di United Kingdom bagi meningkatkan standard pendidikan kepimpinan serta menyediakan platform global bagi pertukaran amalan terbaik dan pemikiran kepimpinan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi