Diterbitkan pada 24 Februari 2025, 19:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), iaitu Siri Titah I dan Siri Titah II Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berjaya merangkul Anugerah Khas Buku Negara 2024 bagi Anugerah Penulis dan Editor Terbaik.

YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar Zaini sebagai editor buku berkenaan memenangi anugerah tersebut dalam majlis Anugerah Khas Buku Negara 2025 dan Pelancaran Buku Pesan Hulubalang: Membongkar Rahsia Falsafah Kepahlawanan Melayu Generasi Kini yang diadakan di Hotel Seri Pacific pada  pagi tadi.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam kepada editor buku, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar Zaini dan juga kepada Pengarah Jabatan Penerbitan, Encik M. Azahari Edin yang mewakili Ketua Pengarah DBP.

Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Penulis dan Editor Terbaik kepada YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar Zaini (dua dari kanan) sambil diiringi oleh Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN), YBhg. Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar (paling kiri) dan YBrs. Encik M. Azahari Edin (paling kanan).
YBrs. En. M. Azahari Edin menerima anugerah bagi pihak DBP.

Siri Titah I Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengumpulkan sebanyak 36 titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak yang dizahirkan antara 9 Ogos 2009 hingga 5 Oktober 2016, manakala Siri Titah II Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengumpulkan 35 titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak yang dizahirkan antara 6 Februari 2017 hingga 21 Mac 2022. Kedua-dua siri buku ini disusun kepada empat bahagian, iaitu Institusi Raja, Tadbir Urus, Agama Islam serta Masyarakat dan Kebudayaan.

Buku Siri Titah I Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Siri Titah II Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, terbitan DBP.

Ketika dihubungi oleh wartawan JendelaDBP, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar Zaini berkongsi keistimewaan buku ini yang memaparkan nilai ilmu yang tinggi dalam setiap kandungan titah, dilengkapi dengan nota kaki dan diolah dalam bahasa yang indah.

Saya bersyukur ke hadrat Ilahi atas pengiktirafan ini dan berasa sangat terhutang budi kepada DBP dan pasukan editorial DBP yang sangat membantu.

Idea penerbitan ini bermula daripada cetusan cadangan YB Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan semasa beliau menjadi Ketua Pengarah DBP kemudiannya sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP sebelum ini. Sekiranya bahan berilmu sebegini tidak diterbitkan, pasti hal ini menjadi suatu kehilangan besar kerana khazanah ilmu sebegini merupakan sumber rujukan berharga, terutamanya yang melibatkan titah daripada institusi diraja.

Menurut pegawai projek untuk Siri Titah I, Puan Hasliha@Nor Hasliha Mat Zabidi pula, antara cabaran awal dalam menerbitkan Siri Titah I Sultan Nazrin Muizzuddin Shah termasuklah berdepan dengan kesukaran dalam mendapatkan bahan yang perlu dikumpulkan dan mendapatkan pengesahan daripada individu dari istana tentang titah-titah yang disusun mengikut tema, yang akhirnya menemukan YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar Zaini sebagai penghubung untuk dirujuk, seterusnya sebagai editor buku tersebut.

Agak sukar untuk mengumpulkan kesemua titah tersebut, jadi saya berusaha mencari bahan daripada portal Pejabat DYMM Sultan Perak. Namun begitu, untuk Siri Titah II Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, prosesnya lebih mudah kerana bahan diperoleh daripada Tan Sri Annuar Zaini sendiri.

Sepanjang berurusan dengan beliau, Tan Sri merupakan seorang yang berpendirian, dapat menerima pandangan sekiranya kita mempunyai rujukan atau bukti dan menghargai usaha yang dilakukan.

Yang berikut merupakan senarai penerima Anugerah Khas bagi kategori lain:

  • Anugerah Buku Mewah Terbaik (Sektor Korporat): Petrolium Nasional Berhad (PETRONAS)
  • Anugerah Suntingan Terbaik: YBhg. Profesor Dato’ Dr. Sivamurugan Pandian, YBrs. Profesor Madya Dr. Paramjit Singh a/l Jamir Singh, YBhg. Profesor Ir. Ts. Dr. Md Yusoff Taib dan YBrs. Profesor Madya Dr. Zaheruddin Othman.
  • Anugerah Khas Borneo Book Award Penulis Prolifik (Penulis Negara Borneo): YBrs. Tuan Dr. Haji Mohd Ali Haji Radin
  • Anugerah Buku Umum Terbaik (Sejarah dan Budaya): Warisan Melayu Sarawak terbitan Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak
  • Anugerah Penulis Prolifik (Sektor Keselamatan): Tuan ACP (B) Selamat Sainayune
  • Anugerah Buku Umum Terbaik (Fiksyen): Kritikan Kuratorial terbitan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA)

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, YBhg. Tuan Haji Mohd Khair Ngadiron; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Polis YBhg. Dato’ Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) mewakili Ketua Pengarah,  YBrs. Encik Mohd Radzi Omar; Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Polis YBhg. Dato’ Rusdi Mohd Isa; Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, YBhg. Datuk Wira Azuan Effendy Zairakithnaini serta tetamu kehormat lain daripada pelbagai agensi dalam penerbitan buku.

Kredit Foto: Mohamad Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi