Diterbitkan pada 17 Mac 2025, 14:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Terengganu − Encik Ridzwan Khozam telah dinobatkan sebagai Pelatih Terbaik Teori bagi Diploma Lanjutan Sains Kebombaan (DLSK) Siri 1/2024. Majlis ini telah diadakan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Terengganu, kelmarin.

Setelah lebih 10 bulan menimba ilmu di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah, sikap berjiwa penyelamat dan suka akan aktiviti yang mencabar telah membuka langkah Eksekutif AFRS, Encik Muhammad Ridzwan bin Mohd Khozam untuk menyertai Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS).

Ketua Pengarah JBPM, YAS Dato’ Ts. Nor Hisham bin Mohammad menyampaikan trofi kapak silang pelatih teori terbaik kepada YBrs. Muhammad Ridzwan bin Mohd Khozam dalam Majlis Pentauliahan Diploma Lanjutan Sains Kebombaan (DLSK) Siri 1 Tahun 2024.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, YAS Dato’ Ts. Nor Hisham bin Mohammad sewaktu Majlis Pentauliahan Diploma Lanjutan Sains Kebombaan (DLSK) Siri 1 Tahun 2024.

Encik Ridzwan Khozam yang kini berusia 27 tahun berasal daripada Kampung Memali, Kedah. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Psikologi dan Pengurusan Sumber Manusia daripada Universiti Teknologi Malaysia.

Dalam majlis tersebut juga, Encik Ridzwan Khozam turut berkongsi pengalamannya selama belajar dalam Diploma Lanjutan Sains Kebombaan (DLSK) Siri 1/2024.

“Saya beserta dua orang lagi Eksekutif telah menghadiri kursus ini bersama-sama 27 orang Penolong Penguasa Bomba yang akan berkhidmat dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.”

“Sepanjang kursus ini berlangsung, pelbagai pendedahan yang berkaitan dengan ilmu kebombaan dan penyelamatan telah dipelajari antaranya termasuklah kawad kaki, mencari dan menyelamat, teknik pemadaman api, ikatan dan simpulan, teknik penyelamatan dan ilmu dalam bidang penyiasatan kebakaran serta keselamatan kebakaran,” tambah beliau.

“Pembelajaran di akademi terbahagi kepada dua,iaitu secara teori dan praktikal. Perkara yang dipelajari secara teori akan dipraktikkan di lapangan. Sebagai contoh, apabila selesai pembelajari teori berkaitan penyelamatan bagi kemalangan jalan raya, pelajar akan membuat praktikal cara-cara yang betul dan selamat seperti usaha menyelamatkan mangsa yang tersepit akibat kemalangan” ujar beliau dalam majlis tersebut.

Sebagai tambahan, AFRS ditubuhkan untuk mematuhi Akta Penerbangan Awam 1969, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam (Pengendalian Aerodrom) 2016, dan Standard and Recommended Practices (SARPs) yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Kredit Foto: Nazrul Aziz
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi