Diterbitkan pada 24 Mei 2025, 16:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Langkawi – Aset-aset aeroangkasa negara perlu sentiasa terkini dalam melaksanakan tugas pemantauan ruang udara secara berterusan, bukan sekadar di kawasan daratan dalam Kawasan Tanggungjawab (KTJ), tetapi turut merangkumi KTJ di Laut China Selatan (LCS), Selat Melaka serta Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara.

Seperti mana Domain Maritim, ruang udara dan aeroangkasa negara juga melibatkan dua wilayah operasi (theatres) yang memerlukan pemantauan berterusan sepanjang masa bagi menjamin keselamatan dan kedaulatan negara.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan melawat kapal perang milik Tentera Laut Indonesia (TNI-AL), KRI Bung Karno (369) yang berlabuh di Resort World Langkawi sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25).

Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan mencemar duli melawat Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25).

Baginda turut diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda, Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail dan Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.

Keberangkatan tiba baginda telah disambut oleh Komander KRI Bung Karno-369, Leftenan Kolonel Laut (P) Tomosa Uskarlind Larosa.

Turut mengiring ialah Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Muda Datuk Pahlawan Mohd Fadzli Kamal Mohd Mohaldin.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut bertitah bahawa bagi memenuhi amanah dan tanggungjawab mempertahankan ruang udara negara, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam perancangan pembangunan angkatan masa hadapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memerlukan pelbagai aset strategik untuk memperkukuh keupayaan mereka.

Aset-aset ini termasuklah bagi tujuan Serangan Strategik, Pertahanan dan Rondaan Udara, Bantuan Udara Rapat (Close Air Support), Rondaan Udara Maritim, Peperangan Anti-Kapal Selam dan Peperangan Anti-Permukaan, Pengangkutan Udara Strategik dan Taktikal, Misi Mencari dan Menyelamat Tempur (CSAR) serta Operasi Ketenteraan Selain Perang (MOOTW).

Tuanku Raja Muda Perlis yang juga merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah turut bertitah bahawa sebagaimana dalam Domain Maritim, LIMA merupakan platform terbaik untuk TUDM dan agensi aeroangkasa berkaitan dalam mengenal pasti aset-aset yang termoden, canggih dan berasaskan keupayaan (capability-based) bagi melaksanakan peranan serta tanggungjawab mereka.

Titah baginda,

LIMA juga memberikan peluang untuk mempamerkan aset-aset aeroangkasa negara yang bersifat pelbagai dimensi (multi-dimensional), boleh beroperasi secara bersama (interoperability), berorientasikan misi (mission-oriented) dan menepati keperluan tugas (fit-for-purpose).

Sebagai rekod, Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25), atau singkatannya LIMA, merupakan pameran dwitahunan untuk sektor maritim dan aeroangkasa yang berkhidmat untuk rantau Asia Pasifik yang berlangsung dari 20 hingga 24 Mei 2025 di Pulau Langkawi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi