Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peluasan pemberian Baucar Buku MADANI kepada sebanyak lebih 400 ribu orang guru di seluruh Malaysia.
Perkara tersebut disampaikan oleh beliau ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Pesta Buku Antabangsa (PBAKL) 2025 di Pentas Utama PBAKL, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Pada tahun lalu, kita telah berikan baucar buku kepada pelajar. Tahun ini, kita beri baucar kepada semua guru pula.
Tahun depan, kita akan melihat kepada keadaan ekonomi kerana kita sedang bertarung dengan tarif Donald Trump (Presiden Amerika Syarikat).
Tambah beliau,
Untuk universiti, kita akan kekalkan peruntukan pada tahun lalu dengan pengubahsuaian daripada Kementerian Pengajian Tinggi.
YAB Dato’ Seri Anwar berkata, berdasarkan pengalaman pada tahun lalu, perlu ada garis panduan yang jelas tentang penggunaan baucar buku, iaitu digunakan hanya untuk pembelian judul yang berkualiti.
Hal ini dikatakan demikian kerana menurut beliau, tidak semua buku sifatnya bermutu dan menggalakkan pembelajaran ilmu.
Tidak semua maklumat dikatakan ilmu, dan tidak semua ilmu mengandungi hikmah (wisdom).
Saya berharap dengan bantuan baucar buku ini, para guru dapat menjalankan tanggungjawab mereka dan menggalakkan anak-anak kita membaca.

Mengulas lanjut tentang penganjuran PBAKL 2025 yang bermula sejak 23 Mei lalu dan bakal melabuhkan tirainya pada hari ini, YAB Perdana Menteri menzahirkan rasa besar hati beliau apabila melihat berlaku peningkatan terhadap jumlah pengunjung ke acara tersebut pada kali ini.
“Kehadiran pada tahun lalu sebanyak 1.8 juta orang pengunjung.
“Tahun ini melepasi 1.8 juta orang dan mungkin menghampiri sebanyak dua juta orang jumlah keseluruhan pengunjung yang hadir,” jelasnya.
Beliau menyifatkan peningkatan tersebut membuktikan bahawa terdapat kesedaran dan komitmen yang semakin tinggi dan berkaitan rapat dengan pembudayaan amalan membaca sebagai suatu gaya hidup yang positif dalam kalangan masyarakat.
“PBAKL kini tersenarai sebagai antara 12 Festival Sastera Terbaik Dunia, kajian oleh Zicasso.com dan diiktiraf,” katanya lagi.
Yang turut hadir dalam majlis ini termasuklah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina binti Sidek; Menteri Pendidikan Tinggi, Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin Abdul Kadir; Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amiruddin bin Shari; Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh; Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PBAKL, Tuan Haji Mohd. Khair bin Ngadiron; dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, YBrs. Dr. Hazami bin Jahari.