Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTapah – Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) menunjukkan kekuatan kerjasama pelbagai pihak dalam menjayakan pendidikan yang holistik. Demikian ucapan Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Dr. Mior Hamdan Haji Ghazali yang mewakili Pengarah Pendidikan Negeri Perak semasa Majlis Perasmian Penutupan Program Kembara MDK Peringkat Negeri Perak.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atas kerjasama strategik bersama-sama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Perak, khususnya melalui Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP), dengan sokongan Unit Sumber Teknologi Pendidikan (USTP) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batang Padang serta Sekolah Menengah Sains Tapah selaku tuan rumah.
Tambah beliau lagi,
Majalah masih memainkan peranan yang penting dalam pendidikan dan tidak boleh diketepikan. Maka itu, majalah sewajarnya diteruskan dan digunakan secara meluas seperti mana program dan aktiviti yang diadakan pada hari ini.
Pelaksaan program Kembara MDK ini bukan sahaja mengetengahkan pendekatan didik hibur kepada murid dan pelajar. Malahan, program ini menjadi platform yang membantu golongan pendidik, khususnya guru bahasa Melayu untuk mempelbagaikan kaedah dan teknik dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas.
Murid dan pelajar juga berpeluang mengasah kemahiran penulisan kreatif dan mempelajari teknik memanfaatkan majalah di dalam kelas sebagai instrumen pembelajaran yang dinamik dan interaktif. Tambahan pula, program ini mampu membimbing murid, pelajar dan guru untuk menjadi editor majalah terbitan sekolah yang celik akan ilmu bahasa dan penyuntingan.
MDK yang mula diperkenalkan pada tahun 1989 oleh Bahagian Majalah DBP merupakan satu inisiatif untuk membantu guru bahasa Melayu mempelbagaikan teknik pengajaran, selain mendekatkan pelajar dengan majalah terbitan DBP. Memetik ucapan Pengarah DBP Wilayah Utara, Encik Sharrul Rizal Hashim.
Program ini bukan sahaja mencungkil bakat murid, tetapi juga membina kemahiran komunikasi, pemikiran kritis dan semangat berpasukan. Nilai murni seperti kepekaan terhadap isu semasa dan kebijaksanaan membuat keputusan turut disemai sepanjang aktiviti dijalankan.

Pelaksanaan Program Kembara MDK secara berterusan di sekolah rendah dan sekolah menengah terpilih turut membuktikan sambutan menggalakkan daripada warga sekolah, khususnya dalam menyemai budaya ilmu melalui medium majalah.
Program Kembara MDK Peringkat Negeri Perak 2025 yang dianjurkan oleh DBP Wilayah Utara bersama-sama Bahagian Majalah DBP dan Akademi DBP dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perak ini, berjaya menghimpunkan sebanyak 261 orang peserta yang terdiri daripada murid sekolah rendah, pelajar sekolah menengah dan guru.
Program yang telah diadakan di Sekolah Menengah Sains Tapah ini memberikan peluang kepada 124 orang murid sekolah menengah dari 21 buah sekolah dan 94 orang murid sekolah rendah dari 25 buah sekolah sekitar negeri Perak untuk mengikuti pelbagai aktiviti bimbingan secara langsung bersama-sama dengan editor berpengalaman dari Bahagian Majalah DBP yang menangani majalah Dewan Siswa dan Dewan Pelajar.


Selain itu, sebanyak 24 orang guru sekolah rendah dan 19 orang guru sekolah menengah sekitar Perak turut berpeluang menyertai Bengkel MDK Guru yang dibimbing oleh Encik Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub (Nimoiz T.Y.).
Pengarah DBP Wilayah Utara turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Pejabat Pendidikan Daerah di Perak, pihak pengurusan Sekolah Menengah Sains Tapah, guru pembimbing serta peserta yang telah menjayakan program ini. Semoga Program Kembara MDK ini terus diperkasakan demi melahirkan generasi yang celik akan bahan bantu pembelajaran dan menjadi penulis muda yang berwibawa.