Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Bharu – Penulisan biografi perlu mengangkat fakta yang ditapis dengan rapi serta menggabungkan imaginasi yang wajar, tanpa mencampuradukkan dengan pendapat peribadi atau unsur fantasi yang boleh memesongkan naratif kehidupan mana-mana tokoh.
“Kalau perkara yang ditulis itu hanya melibatkan elemen positif sahaja, maka jadilah naskhah itu sebagai kisah hidup tokoh yang didewa-dewakan,” tegas pembimbing seminar yang merupakan Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, YBrs. Dr. Roosfa Hashim, semasa Bengkel Penulisan Biografi di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT), hari ini.

Beliau turut menasihati bakal penulis biografi agar tidak gentar apabila berhadapan dengan sebarang kontroversi yang mungkin timbul.
“Tulislah paradigma demi paradigma, dan tonjolkan gagasan tokoh secara objektif, ceritakan kesemuanya dengan kata-kata yang ekonomi tanpa membuat penilaian sendiri dengan membiarkan pembaca sendiri yang menilainya,” jelasnya.
Katanya, terdapat dua jenis biografi yang mendapat persetujuan tokoh, iaitu biografi yang disemak oleh tokoh itu sendiri dan biografi tanpa semakan tokoh.
Mengimbau pengalamannya menulis biografi YABhg. Tun
Muhammad Ghazali Shafie, Dr. Roosfa mendedahkan bahawa tokoh berkenaan kerap meminta peguamnya meneliti naskhah, khususnya dalam bab yang berkaitan dengan Lee Kuan Yew, memandangkan mantan Perdana Menteri Singapura itu pernah mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menulis tentangnya.
Menurutnya lagi, biografi memerlukan penceritaan yang memanfaatkan fakta kukuh sebagai titik tolak, disertai kisah menarik yang jarang-jarang diketahui oleh masyarakat umum.
Dialog dalam biografi juga harus tulen, serta melibatkan hasil rakaman atau catatan yang tidak boleh dipertikaikan kesahihannya.
Mengulas karya terdahulu, Dr. Roosfa memuji biografi Tun Abdul Razak: Negarawan dan Patriot, hasil tulisan Sejarawan Nik Anuar Nik Mahmud dengan kerjasama Sasterawan Negara Profesor Dr. Muhammad Haji Salleh dan Abd. Ghapa Harun.
“Buku ini menggabungkan perspektif sejarawan yang menekankan fakta dengan sentuhan imaginasi sastera yang memberikan nuansa segar terhadap penceritaan,” jelasnya.
Tambahnya lagi, autobiografi bukan sekadar melibatkan catatan hidup seharian, tetapi perlu memaparkan perjalanan penuh warna-warni yang mengandungi nilai, pengajaran, dan inspirasi. “Sekiranya tokoh tersebut masih hidup, karya tentang beliau boleh diakhiri dengan penutup yang tergantung, sekali gus memberikan ruang kepada kesinambungan yang selanjutnya,” ujarnya.
Bengkel yang dihadiri hampir 80 peserta itu berlangsung dalam suasana interaktif, dengan memberikan peluang kepada peserta untuk mengajukan soalan dan berkongsi pengalaman masing-masing.
Bengkel anjuran Pertubuhan Peradaban Negeri Kelantan (PERADABAN) itu dirasmikan oleh presidennya, YBhg. Dato’ A Aziz Deraman.