Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Sebanyak 500,000 mahasiswa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) seluruh negara bakal menikmati manfaat Baucar Buku MADANI bernilai RM100 yang telah diumumkan oleh kerajaan.
Menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), inisiatif ini merupakan usaha berterusan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, untuk membantu pelajar mendapatkan bahan bacaan dengan lebih mudah dan murah. Baucar ini boleh ditebus dari 28 Ogos sehingga 12 Disember 2025.
Pelajar yang layak untuk menerima inisiatif ini termasuklah mereka yang sedang melanjutkan pengajian di Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti dan juga Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS).
Proses penebusan baucar ini boleh dibuat secara digital melalui portal khas MySiswaPlace: https://mysiswaplace.my/welcome yang menjadi pusat sehenti untuk semakan kelayakan, penebusan baucar, dan pembelian bahan bacaan.
Portal ini menawarkan lebih sejuta pilihan buku termasuk buku-buku akademik, e-book, bahan rujukan, bahan bacaan ilmiah dan buku-buku umum dengan sokongan lebih daripada 250 rakan niaga.
Langkah ini bukan sahaja bertujuan meringankan beban kewangan pelajar, malah turut menggalakkan budaya membaca dalam kalangan generasi muda, terutamanya golongan mahasiswa.
Pada masa yang sama, usaha sebegini diharapkan dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi dalam industri buku tempatan.
Para pelajar digalakkan memanfaatkan sepenuhnya baucar ini untuk menambah ilmu, meningkatkan kemahiran diri serta menyokong perjalanan akademik mereka.
KPT turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas sokongan terhadap program ini yang dilihat selaras dengan matlamat Malaysia MADANI dalam melahirkan bakat yang berkualiti dan menyokong pembangunan modal insan negara.