Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya—Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi perhatian terhadap dapatan Laporan Ipsos Malaysian Education Monitor 2025 berhubung persepsi masyarakat terhadap sistem pendidikan negara, selain menyambut baik hasil laporan itu sebagai panduan memperkukuh kualiti pendidikan.
Menurut laporan tersebut, Malaysia berada pada kedudukan kesembilan daripada 30 negara yang mengambil bahagian. Sebanyak 44 peratus responden berpuas hati dengan sistem pendidikan negara, 29 peratus tidak pasti, manakala 25 peratus lagi kurang berpuas hati.
Antara isu utama yang diketengahkan adalah kesaksamaan akses pendidikan, penggunaan teknologi selamat dan aspek kesihatan mental.
Menurut kenyataan KPM;
Kementerian baru sahaja memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025 yang akan mewajibkan pendidikan menengah. Langkah ini bertujuan untuk menangani masalah keciciran murid serta memastikan akses pendidikan lebih saksama untuk semua.
Reformasi pendidikan yang sedang berjalan juga akan diperkukuh melalui pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang memberi tumpuan kepada pendidikan inklusif dan mampan. Ia merangkumi pembinaan sekolah baharu, menaik taraf infrastruktur serta penekanan terhadap prasekolah, penguasaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta literasi digital termasuk kecerdasan buatan (AI).
Dalam aspek keselamatan dan kesejahteraan murid, Dasar Pendidikan Digital (DPD) memberi penekanan kepada penggunaan teknologi secara kreatif, inovatif, selamat dan beretika. Pada masa sama, isu kesihatan mental turut ditangani melalui pelaksanaan Saringan Minda Sihat dan program intervensi di semua institusi pendidikan.
KPM kini dalam proses memuktamadkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2026-2035 serta Kurikulum Persekolahan 2027 yang dilihat penting bagi memacu pendidikan negara ke arah kecemerlangan.