Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) menghidupkan kembali semangat inovasi pada tahun ini dengan penganjuran berskala besar, apabila Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan pelaksanaan festival ini diperluas di seluruh negara bermula Oktober ini.
Festival berprestij ini bertemakan konsep “MADANI: Melakar Masa Depan, Merealisasikan Idea”, yang menjelajah ke 13 buah negeri di seluruh negara melalui Universiti Awam (UA), dengan kerjasama daripada Politeknik dan Kolej Komuniti.
Acara kemuncak festival pula bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula dari 4 hingga 8 November 2025, dengan menghimpunkan pelbagai pihak termasuk mahasiswa, penyelidik, pemain industri serta komuniti untuk berkongsi idea dan pandangan masing-masing.
Menurut KPT, penganjuran kali ini melibatkan pelbagai kementerian, agensi dan pihak industri, selaras dengan usaha membuka ruang wacana intelektual serta memupuk budaya inovasi dalam kalangan masyarakat.
Antara pengisian utama yang dirancang termasuklah persidangan, forum, pameran serta sesi libat urus yang menumpukan kepada bidang pendidikan tinggi, penyelidikan, inovasi dan keusahawanan, di samping menyediakan ruang khas kepada mahasiswa untuk menampilkan kreativiti dan inovasi mereka serta memberikan peluang kepada generasi muda berkongsi pandangan segar sebagai pewaris masa hadapan negara.
Selain itu, KPT juga optimis terhadap penganjuran Putrajaya FOI 2025 ini selaras dengan agenda Malaysia MADANI, yang akan memperkukuh pembangunan modal insan, mengukuhkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi, industri dan komuniti, serta mempercepat sasaran Malaysia menjadi sebagai pusat ilmu pengetahuan dan inovasi serantau.
Sementara itu, majlis perasmian Festival Idea Putrajaya akan disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat (YAB), Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang dijadualkan pada 5 November 2025.
Sebagai tambahan, sesi Titah Diraja turut dirancang sebagai satu daripada acara istimewa dalam festival kali ini, sekali gus memperkukuh nilai intelektual dan budaya yang ingin diketengahkan melalui penganjuran berskala nasional ini.
Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) pada tahun ini merupakan penganjurannya yang kedua sejak diperkenalkan pada tahun 2024, yang bukan sahaja menjadi platform pentas pertemuan idea, malah merupakan merupakan medan untuk mencari penyelesaian kreatif demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.