Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKepong – Ilmu tidak akan berkembang tanpa disiplin diri, budaya membaca dan kesungguhan menghasilkan tulisan yang bermanfaat.
Demikianlah inti pati penting yang diketengahkan oleh YBhg. Profesor Emeritus Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dalam sesi bual bicara sempena Majlis Apresiasi Sastera dan Penyampaian Hadiah Sembara Penulisan Anekdot Membaca dan Alam yang berlangsung pagi tadi di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).
Dalam perkongsian selama hampir satu jam itu, YBhg. Profesor Emeritus Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang yang juga Pengerusi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) mendedahkan disiplin kerja yang ketat membolehkannya menulis sehingga 52 buku selain lebih daripada 300 artikel jurnal berindeks.
Ujar beliau,
Sejak kecil lagi saya tidak gemar melakukan kerja yang mengambil masa terlalu lama. Saya akan menyelesaikan kerja sama ada dalam tempoh empat jam, lapan jam, seminggu atau sebulan. Oleh sebab itu sebahagian besar buku saya siap dalam tempoh dua minggu.
Beliau turut menambah bahawa setiap karya yang dihasilkannya lahir daripada komitmen terhadap masa dan fokus penuh terhadap tugasan.
“Disiplin hidup menentukan perkara yang kita hendak buat. Kalau bertangguh, tidak akan siap. Apabila saya mula menulis buku, sesiapa pun tidak boleh mengganggu saya,” ujarnya berseloroh.
YBhg. Profesor Emeritus Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang mendedahkan bahawa kecenderungan minat membaca bermula sejak zaman kanak-kanaknya apabila melihat buku milik pakciknya yang belajar di FRIM.
“Saya mula membaca sebab buku itu cantik. Menilai buku berdasarkan kulit boleh merangsang minat membaca,” katanya.
Beliau turut mengakui bahawa sehingga kini, faktor reka bentuk sering mempengaruhi pilihannya membeli buku.
Banyak kali saya beli buku bukan kerana isi, tetapi kerana cantik. Semua buku puisi saya berwarna kerana saya mahu orang tertarik sebelum membaca.
Apabila ditanya tentang karya paling signifikan, YBhg. Profesor Emeritus Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang menamakan beberapa judul yang memberikan impak besar terhadap wacana pendidikan tinggi dan kelestarian negara.
Antara karya tersebut termasuklah New Academia: UTM as A Global Brand, Eco-shift: Holistic Transformation towards Environmental Sustainability dan 40 Hadis Pelestarian Alam Sekitar.
Jelas beliau,
New Academia: UTM as A Global Brand sangat penting kerana buku itu menjadi rujukan banyak universiti. Eco-shift: Holistic Transformation towards Environmental Sustainability pula mengubah cara saya melihat penyelesaian masalah bukan dari segi teknikal semata-mata, tetapi secara bersepadu.
Beliau turut berkongsi bahawa buku 40 Hadis Pelestarian Alam Sekitar lahir daripada usahanya menggabungkan pemikiran Islam dengan isu kelestarian moden.
YBhg. Profesor Emeritus Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang turut berkongsi kejayaan buku puisinya, Kumpulan Puisi: Dari Penjuru Sofa yang telah beberapa kali dicetak ulang meskipun buku puisi lazimnya jarang mendapat sambutan besar.
Menurutnya, khalayak buku tersebut bukanlah penyair, tetapi pegawai kerajaan, pensyarah, guru dan golongan profesional yang menggunakan frasa puisinya dalam ucapan rasmi.
“Yang membaca buku ini bukannya penyair. Sebaliknya, golongan tersebut memerlukan ayat yang baik, tepat dan memberikan makna. Oleh sebab itu saya merangka puisi supaya setiap bait boleh diambil secara berasingan,” katanya.
Beliau memberikan contoh guru yang menggunakan puisinya sebagai kata hikmah dalam bilik darjah, malah terdapat sekolah yang memaparkan petikan puisinya sebagai inspirasi harian.
Dalam sesi tersebut, YBhg. Profesor Emeritus Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang juga mendedahkan satu inisiatif peribadi, iaitu sebuah “pondok buku” di hadapan rumah beliau.
Menurutnya, buku-buku yang diletakkan di situ untuk sesiapa sahaja yang ingin membaca, meminjam atau mengambilnya terus.
“Tidak pulang pun tidak menjadi masalah asalkan mereka baca. Yang penting ilmu itu sampai. Saya cuma tidak mahu orang ambil buku tersebut dan menjual sahaja,” jelasnya.
Sesi perkongsian ilmu tersebut dikendalikan oleh YBrs. Dr. Norhayati Ab. Rahman. Beliau berharap agar perkongsian oleh YBhg. Profesor Emeritus Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang menjadi pencetus semangat kepada pelajar, guru dan khalayak yang mengikuti sesi itu sama ada secara fizikal atau secara dalam talian.


Yang turut serta dalam sesi perkongsian tersebut termasuklah Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari; Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan), Institut Perhutanan Malaysia (FRIM), YBrs. Dr. Norwati Muhammad yang mewakili Ketua Pengarah FRIM; Sasterawan Negara, YBhg. Dato’ Rahman Shaari; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar, serta barisan pegawai DBP.