Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPauh Putra – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa dalam era dunia tanpa batasan pada hari ini, kejayaan tidak lagi bergantung pada kelulusan akademik semata-mata, sebaliknya turut bergantung pada kebijaksanaan menyesuaikan diri dengan perubahan dan cabaran semasa.
Baginda turut menegaskan bahawa kemajuan tidak seharusnya mengorbankan nilai bangsa. Dalam mengejar aspirasi global, bahasa, budaya dan maruah asal usul wajar dipertahankan.
Menurut baginda, siswazah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) perlu menjadi contoh rakyat Malaysia yang berilmu, berdisiplin dan beradab, serta mampu bersaing pada peringkat antarabangsa tanpa mengabaikan adat dan nilai ketimuran.
“Siswazah yang berjaya ialah mereka yang mampu menghubungkan teori dengan realiti, serta mengaplikasikan ilmu untuk manfaat masyarakat. Kepakaran harus digerakkan untuk memimpin inovasi, memupuk nilai kemanusiaan dan meningkatkan kesejahteraan sejagat. Perkara itulah makna sebenar seorang intelektual yang berwawasan dunia,” titah baginda.
Titah tersebut disampaikan ketika DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Tuanku Canselor UniMAP menyempurnakan sidang pertama Istiadat Konvokesyen ke-20 UniMAP yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra.
Keberangkatan tiba baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Tuanku Pro Canselor UniMAP.
Yang turut berangkat ialah Pro Canselor 2 UniMAP yang baru dilantik berkuat kuasa pada hari ini, Yang Amat Mulia (YAM) Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, serta anakanda kedua baginda, YAM Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP, Tan Sri Datuk Sri Sufri Hj. Mhd Zin; Naib Canselor UniMAP, Profesor Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli, serta barisan pengurusan tertinggi universiti.
Sidang pertama konvokesyen ini melibatkan seramai 378 graduan dari Pusat Pengajian Siswazah (PPS), serta Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia (FKTK).
Mantan Menteri, YBhg. Dato’ Sri Mustapa Mohamed turut dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan atas jasa dan sumbangannya kepada negara.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra dalam titah juga berpesan agar ilmu yang diperoleh di UniMAP dimanfaatkan sepenuhnya bagi membina masa hadapan yang lebih cemerlang demi kemajuan diri, industri, negara dan kesejahteraan seluruh manusia.