Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Kinabalu – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah merangkap Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, meninggal dunia pada awal pagi Khamis, di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu, ketika berusia 66 tahun.
Berita pemergian ahli Parlimen Kinabatangan enam penggal itu disahkan oleh anaknya, Naim Kurniawan Moktar, melalui hantaran dalam Facebook. Menurut Naim, bapanya menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1.46 pagi, 5 Disember 2025.
“Dengan penuh dukacita dimaklumkan bahawa ayahanda kami, Moktar bin Radin, telah menghembuskan nafas terakhir pada 05 Disember 2025, jam 1.46 pagi. Mohon semua mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman. Al-Fatihah,” tulisnya.
Sebelum ini, Bung Moktar dimasukkan ke hospital selepas mengalami komplikasi pada paru-paru, jantung dan buah pinggang. Beliau dilaporkan dalam keadaan kritikal ketika menerima rawatan.
Pemergian Bung Moktar berlaku kurang seminggu selepas beliau berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 yang diadakan pada 29 November lalu. Beliau menang dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.
Dilahirkan pada 15 September 1959 di Kampung Bilit, Sukau, Kinabatangan, Allahyarham mula menceburi bidang politik pada tahun 1999 apabila dipilih sebagai ahli Parlimen Kinabatangan.
Beliau telah memegang jawatan itu selama lebih dua dekad dan berkhidmat di bawah enam orang perdana menteri, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain itu, Allahyarham juga pernah menjawat jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah 1 dari tahun 2020 hingga 2023 dan memegang portfolio Kerja Raya ketika berada dalam pentadbiran negeri Sabah.
Beliau meninggalkan dua orang isteri, Datin Seri Nor Asidah Alimuddin dan Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, serta tujuh orang anak. Sepanjang kariernya, beliau terkenal dengan kelantangannya di Dewan Rakyat dan sangat berpengaruh di kawasan Kinabatangan serta mempertahankan kerusi Parlimen itu dengan majoriti kukuh sebanyak 4,330 undi pada Pilihan Raya Umum 2022.
Jenazah Allahyarham dijangka akan disolatkan di Masjid Bandaraya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Likas, Kota Kinabalu, Sabah.