Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Kontinjen hoki dalam dewan negara yang meraih pingat perak bagi kategori lelaki dan wanita pada Sukan SEA Thailand 2025 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 21 Disember lalu, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di pentas Asia Tenggara.
Kepulangan skuad negara disambut dengan penuh kebanggaan oleh ahli keluarga, rakan-rakan serta wakil institusi dan agensi yang terlibat dalam pembangunan sukan negara, sebagai penghargaan terhadap semangat juang dan prestasi cemerlang yang dipamerkan sepanjang kejohanan dwitahunan itu.
Antara pemain yang turut mencuri tumpuan ialah Nur Shafiqah Ishak, pelajar Politeknik Merlimau Melaka (PMM), yang membuat penampilan sulung bersama-sama skuad hoki dalam dewan kebangsaan pada temasya berprestij tersebut.
Bagi Nur Shafiqah, penyertaan di Sukan SEA Thailand 2025 bukan sekadar pencapaian peribadi, malah menjadi titik permulaan kepada perjalanan yang lebih panjang bersama-sama dengan pasukan kebangsaan. Beliau menyifatkan pengalaman menyarung jersi negara buat pertama kali sebagai satu amanah besar dan pembakar semangat untuk terus meningkatkan prestasi pada masa hadapan.
Prestasi konsisten pasukan hoki dalam dewan negara sepanjang kejohanan turut mencerminkan tahap disiplin permainan, kerjasama pasukan dan semangat juang yang tinggi, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara pasukan yang disegani di rantau Asia Tenggara.
Mengulas pencapaian itu, Ketua Jabatan Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan Politeknik Merlimau Melaka, Encik Amir bin Awang@Muda, merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menyokong pembangunan atlet politeknik sehingga mampu bersaing pada peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, sokongan berterusan daripada Pengurusan Tertinggi Politeknik Merlimau Melaka serta kerjasama erat dengan Majlis Sukan Politeknik Malaysia merupakan antara faktor utama kejayaan pelajar dalam bidang sukan, khususnya apabila mereka diberikan ruang dan peluang untuk menonjolkan potensi pada peringkat tertinggi.
Encik Amir turut menyuarakan keyakinan bahawa pasukan hoki mempunyai potensi besar untuk melangkah lebih jauh sekiranya diberikan persediaan rapi serta sokongan menyeluruh, terutamanya menjelang Sukan SEA 2027 apabila Malaysia bakal berperanan sebagai tuan rumah.
Kejayaan di Sukan SEA Thailand 2025 bukan sahaja melibatkan pencapaian pingat, malah mencerminkan kesungguhan, pengorbanan dan kerjasama semua pihak yang terlibat dalam memastikan kecemerlangan sukan negara terus diperkasakan.