Diterbitkan pada 22 Disember 2025, 20:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perjanjian Pangkor yang dimeterai pada 20 Januari 1874 menjadi perdebatan dalam kalangan sejarawan apabila timbul persoalan mengenai perbezaan tafsiran perjanjian antara versi bahasa Inggeris dengan versi bahasa Melayu bertulisan Jawi yang menyentuh aspek kefahaman politik, undang-undang dan budaya antara pihak pemerintah Melayu dengan penjajah British pada era ketika itu.

Demikian inti pati forum yang menampilkan pembentangan oleh pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Mohd Fahrulradzi bin Mohamad Sapiee menerusi aplikasi Zoom, yang membincangkan tafsiran perbezaan antara versi bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu Jawi tentang Perjanjian Pangkor 1874 serta implikasinya terhadap kedaulatan Perak.

Menurut beliau, dokumen versi bahasa Inggeris menggambarkan bahawa sultan mesti meminta nasihat Residen British dalam pelaksanaan perjanjian tersebut, manakala versi bahasa Melayu Jawi yang ditandatangani oleh sultan dan pembesar pula menggambarkan terdapat perbezaan penggunaan istilah yang membawa maksud saranan, dan bukannya kewajipan mutlak.

“Keadaan ini menunjukkan bahawa persetujuan yang dicapai oleh pihak Melayu adalah berdasarkan kefahaman terhadap teks Melayu yang selari dengan konsep pemerintahan beraja dan adat Melayu”, katanya.

Tambahnya, isu konflik ini menimbulkan tuduhan bahawa pemerintah Melayu gagal mematuhi perjanjian, sekali gus menjadi asas kepada campur tangan British yang lebih meluas dalam pentadbiran Perak.

“Perbezaan tafsiran itu akhirnya melemahkan kedudukan sultan dan pembesar tempatan serta membuka laluan kepada penguasaan British ke atas negeri tersebut,” tambahnya lagi.

Mohd Fahrulradzi turut menegaskan bahawa rakyat Malaysia perlu memahami konteks sejarah sebenar mengenai perjanjian ini, termasuklah niat dan kefahaman pihak Melayu ketika itu bagi menilai peranan sultan dan pembesar Perak secara adil serta menghargai perjuangan mereka dalam mempertahankan kedaulatan negeri.

 

Perjanjian Pangkor pada tahun 1874.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi