Diterbitkan pada 16 Februari 2026, 16:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis Belia Malaysia (MBM) komited untuk memperkasakan kefahaman generasi muda terhadap kepentingan institusi beraja dalam pembinaan dan kelangsungan negara.

Selaku badan induk pertubuhan belia yang mewakili suara anak muda di Malaysia, MBM melihat usaha ini sebagai tanggungjawab besar untuk memastikan belia memahami asas kenegaraan yang menjadi teras kestabilan negara.

Presiden MBM, Encik Mohd Izzat Afifi, dalam ucapannya menegaskan bahawa institusi beraja sebagai tiang seri negara wajib dipelihara, dijunjung dan dihormati sepanjang masa.

Tambah beliau,

Hal ini merupakan amanah MBM untuk memastikan golongan belia selaku pewaris kepimpinan masa hadapan diberikan kesedaran yang mendalam tentang sejarah, peranan dan tanggungjawab institusi beraja, termasuk sumbangannya yang signifikan dalam pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat.

“Sebagai pewaris kepimpinan masa hadapan, belia perlu memahami sejarah, peranan serta amanah yang dipikul oleh institusi beraja untuk menjamin kestabilan, perpaduan dan kesejahteraan negara,” ujar beliau.

Maklumat tersebut telah dipersembahkan oleh Presiden MBM kepada Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada akhir Program Kayuhan Berbasikal anjuran MBM yang berlangsung di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

Keberangkatan Raja Muda Perlis ke Program Kayuhan Berbasikal membuktikan bahawa institusi beraja amat prihatin terhadap belia, sekali gus memberikan sokongan yang berterusan.

Presiden MBM menyifatkan keberangkatan dan sokongan berterusan institusi beraja terhadap program belia sebagai simbol keprihatinan serta dukungan berterusan terhadap pembangunan generasi muda negara.

“Sesungguhnya, hubungan erat antara institusi beraja dengan belia akan menjadi asas penting untuk membina Malaysia yang berdaulat, progresif dan bersatu padu,” ulas beliau.

Program ini mendapat kerjasama strategik pelbagai agensi termasuk Pusat Belia Antarabangsa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dan Transit Training Group Kuala Lumpur (TTG KL).

Kredit Foto: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi