Oleh Nasrul BK
Diterbitkan pada 28 Februari 2026, 17:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Raub – Susulan tragedi kebakaran menyayat hati yang meragut nyawa lima sekeluarga pada 26 Februari lalu, Pengarah Bahagian Matrikulasi, Encik Azman Abd Karim telah turun padang bagi menyantuni waris mangsa tragedi berkenaan, pada semalam.

Waris tersebut, Ruby Adalia Balqis Mohd Alawi yang merupakan pelajar semester dua jurusan Perakaunan di Kolej Matrikulasi Pahang (KMPh), diziarahi oleh rombongan pimpinan Bahagian Matrikulasi di kediaman bapa saudaranya, di sini.

Turut mengiringi Pengarah KMPh dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Pelajar, Encik Khairudin Nozari dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Dasar dan Perancangan, Encik Jeffry Azmi Nasruddin. Hadir sama mewakili Pengarah KMPh ialah Timbalan Pengarah KMPh, Encik Riedznan Sutrisno serta Ketua Jabatan Pengurusan Pelajar KMPh, Cik Siti Aishah Mohaini binti Mohak.

Dalam pertemuan bermakna tersebut, Encik Azman telah menyempurnakan penyerahan sumbangan ikhlas daripada pihak Bahagian Matrikulasi. Sumbangan tersebut merupakan manifestasi keprihatinan dan sokongan moral institusi pendidikan itu terhadap nasib malang yang menimpa keluarga pelajar berkenaan.

Pengarah Bahagian Matrikulasi, Encik Azman Abd Karim (kiri) menyantuni serta memberikan kata-kata semangat kepada Ruby Adalia Balqis dan adiknya agar terus tabah menghadapi dugaan kehilangan ahli keluarga tersayang.

Ketika menyantuni Ruby Adalia Balqis dan adiknya, Encik Azman turut menitipkan kata-kata semangat dan nasihat agar beliau terus cekal berdepan dengan ujian yang amat berat ini.

Pada lawatan tersebut, beliau turut memberikan suntikan motivasi agar pelajar tersebut terus melangkah meneruskan perjuangan akademiknya di KMPh yang kini hanya berbaki lebih kurang sebulan sahaja lagi.

Menyedari kesan psikologi dan trauma akibat kehilangan ahli keluarga tersayang secara mengejut, pihak KMPh turut memberikan jaminan untuk menyediakan sokongan yang berterusan. Bantuan dari sudut pengurusan emosi, pemulihan semangat, serta bimbingan kaunseling akan diberikan secara khusus bagi memastikan kebajikan dan kesihatan mental pelajar berkenaan sentiasa terpelihara.

Seluruh warga kerja Bahagian Matrikulasi dan rangkaian kolej matrikulasi di seluruh negara menzahirkan ucapan takziah yang mendalam. Rata-rata warga pendidik terus mendoakan agar Ruby Adalia Balqis dan ahli keluarga yang masih ada dikurniakan kekuatan, ketabahan dan ketenangan jiwa dalam menempuh fasa duka ini.

Kredit Foto: Mohd Ismail bin Mohd Jais
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi